"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, December 31, 2018

Ulang semula laluan 2018......???





Kita undur dan ulang semula jejak 2018?....
Atau kita undur dan pinda Umur kita?......
Mustahil. Ibarat mustahilnya bangunan ini hendak di robohkan dalam suasana sekarang?

Masa berlalu tidak akan berulang lagi. Itu pasti. Semua peristiwa dalam laluan 2018 tidak akan dapat di rombak semula. Paling boleh kata setengah orang, kita buat U-Turn.

Jika bangunan di atas ini dinilai semula, bolehkah ia dibatalkan. Saya yakin satu sahaja..... bangunan ini dan apa jua yang lainnya mudah sahaja musnah jika Allah kehendaki. Isunya ialah dalam kita berbuat sesuatu, merancang sesuatu atau apa sahaja, janganlah kita lupa kuasa mutlak itu bukan terletak pada diri kita........

Dengan peristiwa yang berbagai yang sudah dilalui, terlalu penat rasanya hendak "mengulang semula"  2018.

Terdetik hati memikirkan semasa memasuki Era Merdeka dahulu adakah serumit apa yang sedang dilalui rakyat sekarang ini, terutamanya mengenai pembahagian kuasa pemimpin dan apa yang sedang dipertikai oleh semua golongan rakyat. Tetapi saya rasa bukan semua golongan rakyat. Cuma yang "bising" adalah mereka yang aktif dalam politik, atau aktif dalam NGO atau mereka yang baru sahaja mengaktifkan diri di kalangan keluarga lapisan atasan atau pertengahan apabila melihat dan mendengari polimik bangsa dan agama menjadi bahan bicara harian sekarang ini. Rakyat biasa dibawa untuk jadi "bising" juga. Saya rasa majoriti yang suka "bising" tidak faham sepenuhnya apa yang berlaku pun. Ada juga dikalangan mereka yang "bising" itu katanya mereka faham. Tetapi ramai yang hanya ikut-ikutan sahaja terutamanya bila mereka mendengari seruan hangat yang menyentuh perasaan yang tidak mudah dikawal dan merasakan kepentingan mereka tergugat.

Saya hanya memerhatikan sahaja, namun dapat merasakan pergolakan yang ada.

Saya rasa tidak mungkin kita boleh buat perbandingan waktu zaman hendak merdeka dan kini. Dahulu mereka yang berjuang benar-benar berjuang kerana sesuatu yang sememangnya harus diperjuangkan. Saya rasa sekarang ini mereka yang mengatakan berjuang mungkin hanya mahu mempertahankan kepentingan diri sahaja dengan menggunakan isu semasa  seperti ia adalah  kepentingan semua orang.

Apa yang berlaku kini tidak serupa dengan fakta-fakat yang wujud semasa sebelum merdeka dulu. Terutamanya fikiran rakyat belum sebijak seperti sekarang ini. Tetapi jika berfikir selapis lagi saya ingin berkata bahawa semasa menuntut Merdeka dahulu fakta agama belum difahami oleh ramai rakyat. Dan rakyat belum nampak dengan jelas apa yang berlaku di negara-negara Islam yang lainnya. Dan rakyat pun belum tahu sangat apa itu hak asasi manusia dan berbagai hak yang lainnya.

Maka di penghujung 2018 ini saya memilih untuk berbicara mengenai senario politik sekarang ini  cara sederhana sahaja diantara ahli keluarga kecil dan keluarga besar. Kami tidak sependapat mengenai politik, ekonomi, Islam dan lainnya. Kalau ada persamaan pun, kami berbeza pendapat mengenai strategi mencapai apa yang dihajatkan dan dikehendaki. Dalam umur saya sekarang ini saya ada senarai keutamaan saya sendiri kerana saya amat merasai saya sudah tidak ada banyak masa. Saya hanya akan bicara dan akan mengambil tindakan yang benar-benar relevan dengan peringkat umur saya . Walau pun demikian saya masih peka dan masih peduli tentang apa yang saya mesti fikirkan mengenai apa yang harus kita pelihara dan bina bagi generasi kita akan datang.

Walau apa pun, saya rasa agak  kesal sedikit kerana saya rasa ramai kita yang tidak cukup membaca, tidak cukup medengari, tidak  cukup bermunajat pada Allah memohon yang terbaik tentang apa yang sedang berlaku sekarang ini dan dengan itu ramai kita yang masih bertindak ikut-ikutan. Semoga saya sendiri tidak ikut-ikutan. Saya sendiri pun masih banyak kekurangan dan kelemahan. Maka saya pilih untuk diam jika kurang faham dengan fakta yang dipertikaikan.

Maaf  dan maaf.........itu pemerhatian saya. (Masih boleh diperbetulkan).Saya menyedari kekurangan pada diri dan coretan saya ini hanya merupakan imbasan apa yang berlaku pada tahun 2018.

Saya katakan pada anak-anak supaya berfikir dan menyatakan pendapat (secara lantang) jika kita benar-benar tahu semua masaalah dan isu berkaitan dengan apa yang kita lontarkan pada masyarat di luar sana. Kita harus berfikir secara menyeluruh (total). Jangan hanya bersuara dari pandang sudut yang kita tahu sahaja. Kita harus berkebolehan berfikir sepenuh minda. (whole brain thinking). Kita harus menyedari bahawa minda kita boleh bercampur aduk dan kita kurang mengambil kira "bias" pada diri sendiri. Maka apabila kita cuba berhujah cara demikian, kita akan  bertemu kebuntuan dan jika ini berlaku dalam ahli keluarga dan teteman rapat, maka  ada kalanya ia akan berakhir dengan suasana tidak seronok dan mungkin akan timbul rasa kurang senang dan mungkin akan terlahir rasa kecewa dan merasai  "aura permusuhan" pula.

Maka itu saya renung diri diambang akhirnya tahun 2018 ini.........

Saya biasanya suka bersabar dan mendidik diri untuk bersabar dalam apa keadaan sekalipun. Jika saya berhadapan dalam satu keadaan yang hangat dengan berbagai pendapat yang saya kurang bersetuju, saya akan menarik nafas panjang dan diam untuk mendengari sahaja. Biasanya saya tidak akan masuk sama-sama berbicara sekiranya saya tahu saya tidak mempunyi masa yang cukup untuk  berhujah sepenuhnya. Saya tidak suka hujah saya tergantung.

Saya boleh terima perbezaan pendapat tetapi bukan atas dasar emosi sahaja. Ia harus berdasarkan Ilmu yang benar dan faham bahawa berbicara secara logik sahaja belum bererti itu satu kebenaran. Sebabnya ialah sesuatu yang logik tidak semestinya ia menjadi suatu yang benar. Dan kita harus juga mengerti bahawa di dalam apa jua perbincangan kita bukan mencari kemenangan tetapi kita mahu mencari kebenaran.






Tahun 2018 banyak menguji saya secara peribadi kerana saya melalui banyak peristiwa peribadi yang saya tidak dapat kongsikan semuanya. Saya dan suami sama-sama tidak cukup sihat pada awal tahun 2018. Berulang kali kami turun naik Hospital. Saya belajar untuk redha atas segala ketentuan Allah yang maha Pencipta. Semoga Allah meredhai.

Tetapi walau apa pun, PRU 14 menjadi agenda besar buat saya. Saya ambil minat mengenai apa yang berlaku. Saya pernah bertugas di Perkhidmatan Awam selama 30 tahun dan rasanya cukup memahami apa yang berlaku dalam negara kita walaupun saya tidak punya ilmu teknikal yang secukupnya untuk memahami semua fakta secara terperinci. Tetapi dari segi good governance saya ada kefahaman yang mencukupi untuk mengerti jenis kepimpinan yang bagaimana yang harus menerajui negara kita. Seorang anak saya juga bekerja di Perkhidmatan awam dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomat. Maka saya sering murujuk padanya dan sering juga "berbalah" mengenai isu-isu yang kami berbeza pendapat. Interaksi dengan anak saya selalunya menyegarkan minda dan saya dapat menyelitkan pemikiran saya dimana sesuai secara santai.

Apa lagi yang berlaku pada 2018...... Oh ya. Saya berpindah rumah dari Kg Tunku Petaling Jaya ke Putrajaya Precint 8 pada bulan Ogos. Alhamdulillah. Semoga mendapat pengalaman baru yang dapat menghampirakan diri kepangkuan Redha Allah. Bukan mudah untuk berpindah rumah dalam umur yang sudah banyak kekurangan kemampuan fisikal. Tetapi kami pindah juga kerana ramai adik beradik dan anak di Putrajaya dan Cyberjaya. In sha Allah ini memudahkan jika ada hal-hal yang mencemaskan.

Di luar sana keadaan masih gawat dengan perbalahan tentang siapa atau parti politik mana yang lebih baik menerajui kepimpinan negara. Saya sudah membuat pilihan di PRU14. Maka pendirian saya ialah jalan tengah. Bukan senang hendak mengubah pemikiran manusia dan membentuak suatu yang baru. Bukan senang hendak memberi penerangan kepada semua lapisan masyarakat secara serentak. Pasti ada yang terpinggir. Allah uji manusia dengan kemenangan dan Allah uji dengan kekalahan. Allah uji dengan kemewahan dan Allah uji dengan kesempitan. Yang menentukan kejayaan bukan kepintaran berhujah semata-mata, bukan juga berapa ramai orang yang berada dibelakang menyokong kita. Akhirnya penentu kejayaan ialah adanya Ilmu yang Benar didada dan segala tugassn hendaklah beasaskan apa yang Allah tuntut. Ini kerana kejayaan sebenar harus merangkumi dunia dan akhirat. Dan strategi kita antaranya ialah mendahulukan nahi mungkar. Kemudian baru membuat amal makruf jika kita tidak mampu membuat amalan ini secara serentak.

Itu sahaja sedikit cetusan rasa hati saya di hujung 2018 ini. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan yang benar, memelihara aqidah kita semoga akhirnya Allah kurnia Syurga Firdaus tanpa hisab dengan limpah rahmatNya yang tidak terhingga. Semoga setiap kita akan juga menjalankan tugas mengikut keupayaan yang ada untuk memberi penerangan mengenai keindahan Islam pada mereka yang belum faham semoga kita tidak perlu "berperang" dan berpecah belah. Jika kita belum berusaha sedaya upaya memikat hati mereka yang belum faham Islam, maka besar kemungkinan kita akan terus begini  dan sampai bila pun kita tidak akan jadi aman damai. Jika kita dapat menunjuki contoh terbaik di Malaysia apa itu Negara Islam maka besar kemunkinan dunia luar akan mencontohi kita.

Jadikan ia Impian kita bersama......
Setiap kita dilahirkan Islam. Semua Ruh telah mengaku Allah itu Tuhan. Sejurus lahir kita lupa. Ayuh kita benar-benar kembali padaNya.
Semoga Allah mudahkan usaha kita mencari RedhaNya. Semoga 2019 hingga akhir hayat kita Allah sentiasa menganugerah Rahmatnya dan kita bahagia di Sini dan di Sana.



..........

No comments:

Related Posts with Thumbnails