"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, January 20, 2021

NASIHAT WASPADA ..... @ JIKA ADA TUHAN LAIN DIHATI?


A001

Hati saya sedikit tersentak mendengari Video di atas sebab saya manusia biasa dan kerap kali LALAI mendengari isi hati sendiri, Lalai  menilai perbuatan yang dilakukan.....selalu ambil senang sahaja (take for granted) bahawa yang kita buat pastinya suatu yang baik. Kekadang hati kecil merasai hebat... mentang-mentang kita bekerja dalam perlhidmatan awam yang katanya kumpulan "Elite" .....terimbas perasaan ini semasa muda-muda dahulu. Malu rasanya...."Elite" apa ye?

Lupa bahawa saya dibuat dari Tanah. Tanah tidak pernah sombong, tidak pernah angkuh. Tanah sentiasa bersyukur mengikut perintah Allah. Tetapi manusia terdorong rasa "Istimewa" dan rasa emosi jika tidak mendapat penghargaan yang diharapkannya. Dorongan rasa begitu saya akui saya pernah mengalaminya.....(kesalan....)

Ini kesilapan yang saya mohon keampunan sentiasa........Alhamdulillah Allah tidak izin saya berterusan lupa bahawa saya "Tanah"....dipijak di ludah dan berbagai lagi. Dengan sedikit Ilmu saya rasa seperti saya ini "PRIVILIGED"......perasaan ini tidak kena pada hakikatnya. Alhamdulillah Allah beri saya kesedaran. Saya ingin jadi baik semoga Allah sentiasa kurnia kebaikan buat saya, berkat doa emak bapak. Semoga begitu. 

Maka apabila mendengari ceramah para ustaz, dan video di atas saya teringat benar peringatan mengenai  hakikat alQuran di bawah ini:


A021

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

(Al-Hasy-r 59:21



Semoga saya sentiasa memikirkannya. Justru saya sentiasa cuba mencari jalan berada dikalangan sahabat dan individu lain juga yang saya berpendapat mereka itu wara' dan sentiasa peka bahawa manusia berada di dunia ini untuk mengabdikan diri padaNYA. Kita di dunia sebentar sahaja. Kita kekal di akhirat. Kita bertanggongjawab pada semua umat manusia, pada haiwan dan pada apa jua yang Allah kurnia untuk memudahkan kehidupan manusia dan pengabdian padaNYA. 

Video di atas menasihatkan kita untuk cuba sedaya upaya semoga Allah kurnia hati nurani yang bersih dan tidak dinodai dengan fikiran dan perasaan yang mengakibatkan kita menjadi manusia yang keliru siapa sebenarnya yang mempunyai kuasa atas kehidupan kita di dunia ini.

Apabila saya mendengari ceramah video di atas, terdetik di hati pertanyaan, iaitu sama ada kita,( tidak kira rakyat biasa atau pemimpin masyarakat) sedar bahawa dalam cara kita berfikir dan cara kita bertindak, sudahkah kita cukup memahami dan menyedari bahawa pemikiran manusia tidak pernah tuntas dan tidak pernah sempurna tanpa kita mohon pertolongan Alah dalam segala-galanya. Kita rasa kita pandai membuat perancangan dan membuat keputusan. Sebenarnya itu hanyalah andaian sahaja. Sering kita lupa Allah itu maha Perancang dan maha Bijaksana. Sering juga kita keliru dan menyangka bila sesuatu keputusan itu membuahkan hasil yang baik, kita rasa kita hebat. Jom kita lihat ayat di bawah ini :

A017

Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Al-Anfaal 8:17

Maka dengan ayat itu jangan pernah kita lupa bahawa Allah swt itu sentiasa memerhati segalanya. Dan jika kita ada niat yang tidak Ikhlas dan mempunyi rasa dendam maka Allah itu maha Tahu.  Lihat juga ayat di bawah ini:

A054

Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

(A-li'Imraan 3:54)

A030

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.


Dalam kita merenungi ayat di atas kita sering diingatkan bahawa kita orang Islam sentiasa dimusuhi oleh mereka yang bukan Islam, dan mereka yang mengaku Islam tetapi sebenarnya mereka mempunya muslihat yang lainnya. (Mungkin mereka inilah yang munafik semoga kita terhindar dari mereka yang seperti ini,) Ada yang memusuhi secara terang-terang dan ada yang memusuhi secara senyap. Dan yang lebih bahaya dari itu ada yang berbaik-baik seolah-olah mereka hormat dengan pendirian orang Islam tetapi sebenarnya itu mereupakan strategy halus mereka untuk merosakan Islam.

Sehubungan dengan ini saya sentiasa khuatir dengan perkembangan permusuhan politik dalam negara kita sekarang. Saya kurang mengerti mengapa kita berbalah sesama orang Islam dan seolah-olah tidak ada jalan keluar melainkan dengan permusuhan hingga ke akar umbi...... seperti permusuhan "total", seperti tidak ada ruang langsung untuk berbaik sangka dan memberi peluang sebaik mungkin untuk suatu kumpulan membuat keputusan mengikut fahaman yang dipercayai betul dan pernah diakui betul bersama pada suatu ketika. Saya perhatikan juga orang Islam (termasuk pemimpin) berbolak balik dalam fikiran dan tindakan hanya kerana ada perselisihan faham yang cetek. Peselisihan faham itu bukan peselisihan fahaman dasar.

Dasar yang saya maksudkan di sini ialah perselisihan fudamental dari segi fahaman sebenar untuk menjaga kepentingan orang Islam tanpa menzalimi kaum lain..... 

Menapalah orang-orang Islam terus berbalah hingga lupa siapa musuh sebenarnya......
Orang Islam lah saya khuatiri yang merugikan orang Islam itu sendiri. Fenomena ini saya perhatikan berlaku secara global. Sedih..........

Jom kita ingat semula apa Iblis kata semasa Allah perintah sujud hormat semasa Allah ciptakan Nabi Allah Adam. Mereka engkar dan berazam sekuat-kuatnya untuk menyesatkan manusia.

A013

Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina".

(Al-A'raaf 7:13

A014

Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)".

(Al-A'raaf 7:14

A015

Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)".

(Al-A'raaf 7:15

A016

Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

(Al-A'raaf 7:16

A017

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".

(Al-A'raaf 7:17

A018

Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;

(Al-A'raaf 7:18


Maka dengan ayat-ayat di atas  semoga kita beringat dan peka berkaitan perancangan Iblis yang terkutuk. Semoga kita tidak tenggelam dalam pujian-pujian yang diterima dalam hubungan harian dan semoga dalam perbalahan politik yang berlaku sekarang di sekeliling kita, kita dapat menginsafi diri dan berfikir berasaskan Iman dan Taqwa dan bukan mengikut logika fikiran saja. Hentikanlah perbalahan dan berhenti bercakaran. Saya amat khuatir  dan amat takut akan ada kekerasan fisikal berlaku. (Na'uzubillah).

Jom kita bawa banyak bersabar. Mohon pada Allah kita rela bermaafan dan kita ambil yang jenih dan buang yang keruh. Kita semak balik siapa musuh kita sebenarnya. Kita fikirkan juga bahaya pengaruh Zionist dalam kemelut sekarang ini. Kita fikir kita Islam tetapi pengaruh Zionist bersarang tebal di hati kita dan kita tidak sedar dan tidak dapat melihat apa disebalik kata-kata indah dan manis mereka. Semoga Allah meyedarkan kita dan menolong kita. Tiada pertolongan yang lebih baik dari pertolongan Allah. Allah hanya minta kita berimadan bertaqwa padaNYA dan bukan dari selainnya.

Jom kita ramai-ramai bermunajat memohon pertolongan dan kekuatan dan kebijaksanaan dari Allah swt. Allah yang maha Mengetahui dan Allahlah yang maha Mendengari. Allah yang maha mengetahui apa yang Tersembunyi dan apa yang Nyata dan Allah jua yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Jangan kita merasai kitalah yang hebat berfikir dan hebat membuat perancangan. Kita mohon Taufiq dan Hidayah dari Allah. Allah sahaja yang maha Sempurna. Kita kembali merapatkan saf dan meluruskan saf dan yakin siapa musuh orang-orang Islam sebenarnya.(Di Malaysia dan di luar sana).

Janganlah kita bersikap mudah dan mencari penyelesaian jangka pendek sahaja. Akhirat itu lebih lama dan berpanjangan tiada tepinya. Dan Akhirat pasti kedatanagannya. Kita jaga apa yang akan berlaku di Akhirat lebih dari apa yang berlaku di dunia. Di Akhirat tidak ada U-Turn. Dunia ini amat sementara. Kalau sakit menderita pun tidak lama berbanding dengan hukuman yang kita akan terima jika silap membuat penentuan muktamad dalam perjalanan hidup di dunia yang tinggal sedikit  sahaja ini.Yakinlah bahawa Takdir Allah adalah suatu yang sangat indah buat semua hambanya yang beriman di sisiNYA

Kita sudah berada di Akhir Zaman. Kita patuh dengan perintah Allah dan tinggalkan laranganNya. Semoga kita selamat dan bahagia kesudahannya.

Semoga Allah mendengari doa-doa kita dan semoga doa-doa kita itu benar-benar mengikut apa yang Allah kehendaki. Kita mohon bersungguh-sungguh semoga tidak ada "Tuhan lain di hati kita......." Allhu'alam.

Salam buat semua.



No comments:

Related Posts with Thumbnails