"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Thursday, April 11, 2013
Terkejut mendengar ceritanya....
Hari Isnin selepas berakhirnya cuti sekolah yang lepas saya teruja dapat peluang bersembang dengan cucu saudara saya yang baru pulang dari Jepun setelah tamat pengajian dibidang kejuruteraan eletrik selama 4 tahun.
Saya ambil foto ini sesaja sahaja bersama suami saya di rumah neneknya yang saya singgahi pulangnya dari Johor Bahru menuju Kuala Lumpur. Saya lawak dan kata padanya dia "action" dengan ijazahnya yang saya tak faham pun. Saya seronok bersembang dengannya kerana tidak ramai anak-anak muda mahu bersembang dengan orang tua.
Emapt tahun diperantauan membuatnya matang berfikiran global. Alhamdulilah. Aktiviti usrahnya semasa di sana juga menyejukan hati saya. Alhamdulilah. Semoga ia terus memperjuangkan kebenaran di mana jua ia berada.
Cuma saya agak terkejut dengan ceritanya mengenai peristiwa mengurus jenazah di bumi di mana Islam amat terpinggir. Suatu hari ia menerima panggilan talipon dari seorang wanita yang tidak dikenali mengatakan ia dalam kesusahan kerana kematian suami dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Nada suaranya menunjukan ia keturunan Indonesia dan berkahwin dengan warga Jepun yang memeluk Islam tanpa restu keluarga Jepunnya.
Cucu saudara saya ini bernama Firdaus dan ia belajar di University Iwate di Morioko City, Iwate prefecture. Bandar ini 3 jam perjalan menaiki bullet train yang lajunya 300 kilometer sejam dari bandar raya Tokyo. Bayangkan betapa terpinggir dari "tamadun" Islam. Firdaus mengaku ia rasa panik kerana tidak cukup pengetahuan mengenai bagaimana hendak mengurus jenazah yang tidak ada kemudahan seperti di Tanah Air. Maka ia pun mengGoogle dan mendapat tahu bahawa perkuburan Islam yang ada di Jepun hanya di tiga tempat sahaja, iaitu di Hokkido, Yamanshi dan Shizuoko. Semuanya amat jauh dari tempat ia tinggal. Dan seseorang itu semestinya ada cukup belanja untuk menampung kos pengkebumian, sekurang-kurangnya lebih kurang RM20,000/- Wanita ini tidak mampu untuk membayar kos itu dan ketakutan kerana perkahwinannya secara Islam tidak diketahui keluarga Jepunnya. Firdaus menalipon beberapa pihak pertubuhan Islam yang diketahui dalam keadaan panik tetapi gagal mendapat pertolongan secukupnya. Namun ia berjaya mendapatkan seorang Jepun yang beragama Islam untuk menerangkan pada keluarga Jepun masaalah yang dihadapi. Tetapi masaalah pengkebumian jenazah tidak juga selesai.
Firdaus mula memikirkan bagaimana mahu memandikan, menyembahayangkan dan mengkebumikan. Dia bertanya saya, menguji ilmu saya. Tidak dapat saya menjawabnya.
Rumah-rumah Jepun tidak punya bilik mandi yang besar. Jadi bagai mana mahu mandi di bilik itu tanpa mendirikan jenazah. Saya amat simpati dengan Firdaus yang ketika itu hanya ada dua atau tiga teman Islam bersamanya yang sama-sama kurang pengetahuan dan kemampuan. Maka mereka membuat keputusan tidak memandikan, tidak mengkapankan dan cuma mensolatkan sahaja. Kemudian jenazah di bawa ke tembat pembakaran (Cremation Cerntre) Jepun untuk dibakar mengikut kebiasaan orang-orang Jepun. Katanya orang-orang Jepun tidak tanam mayat. Mereka tidak ada tanah perkuburan. Mereka hanya ada tempat menyimpan debu jenazah yang dibakar.
Saya amat terkejut mendengar ceritanya dan Firdaus hingga kini merasa amat bersalah kerana mengurus dengan cara yang tidak sempurna dengan ilmu sedikit yang dia ada. Saya sendiri pun tidak ada Ilmu untuk komen atas tindakannya itu.
Saya juga rasa amat bersalah kerana teringatkan akan tugas saya mengendali pelajar ke luar negara semasa saya bekerja dahulu di bawah Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan Malaysia. Ketika itu Kementerian memastikan pegawai-pegawai Pendidikan yang dihantar keluar negara boleh mengurus jenazah dan semua peraturan yang berkaitan dengannya. Tetapi ketika itu tidak terlintas membuat program supaya pelajar-pelajar pun tahu mengurus Jenazah. Mungkin kerana ketika itu kami berfikiran Kedutaan Malaysia akan menyelesaikan masaalah jika timbul apa jua kesulitan. Tidak pernah terlinats akan berlaku kes seperti yang dihadapi oleh Firdaus ke atas warga Islam yang bukan orang Malaysia.
Bagaimana saya dapat berlepas diri dalam hal-hal seperti ini !....
Ya Allah, aku mohon keampunan.
Tidaklah saya ketahui sama ada sekarang ini sudah ada pemikiran baru mengenai hal yang sama atau sekurang-kurangnya memaklumkan pada pelajar apa yang harus dibuat jika berlaku hal-hal seperti itu.
Tanggong jawab siapa ye?
Saya duduk termenung beberapa ketika menyesali apa yang berlaku walaupun tidak ada sesuatu yang saya boleh lakukan. Mungkin hanya jika ada cucu-cucu yang akan keluar ke negara bukan Islam untuk memaklumkan mereka kebarangkalian menghadapi masaalah seperti ini.
Selepas cerita itu saya rehat sementara....berfikir-fikir.
Selepas saya rasa agak tenteram, kami bercerita juga tentang kerja-kerja dakwah di negara Jepun. Semasa saya di Tokyo menjaga cucu lima tahun dulu tidak timbul cerita seperti ini. Namun saya peka bahawa di Jepun ketika itu masih amat kurang buku-buku cerita kanak-kanak mengenai Islam dalam bahasa Jepun. Maka saya membuat pesanan pada Firdaus supaya mula berfikir-fikir untuk tugas ini kerana dia tahu bahasa Jepun. Anak perempuan saya tahu juga bahasa Jepun tetapi tidak power kebolehannya. Saya mengingatkan pada mereka tanggongjawab terhadap umat Islam di sana belum selesai. Mereka jadi sebahagaian dari tanggongjawab itu.
Sementara itu Firadaus bercerita-cerita juga hal-hal sosial di Jepun. Foto di atas kelihatan ia menerangkan sesuatu pada kakak saya, iaitu nenek saudaranya yang pernah ikut saya ke Jepun buat seketika menjaga cucu sambil melancung pada tahun 2007. Kini ia berumur 77 tahun dan hanya mahu ke tanah suci sahaja jika berpeluang.
Firdaus kini telah mendapat tempat untuk berkerja dengan sebuah Syarikat Jepun di Bangi dan besar kemungkinan akan dihantar semula ke Jepun untuk menghadiri latihan khusus. Maka saya berpesan supaya mendapatkan ilmu sewajarnya supaya tidak kecundang sekali lagi jika diperlukan.
Ya Allah, berliah kemudahan baginya, tunjuki jalan yang lurus dan peliharalah ia semoga selamat dunia akhirat.
Ameen ya Rabb....
....
Wednesday, April 10, 2013
Bila berkawan......
Ini teman karib saya dari tingkatan enam di English College Johor Bahru dalam tahun 1965. Dia muda setahun dari saya dan sentiasa memanggil saya kak Sobah kerana itu budaya hidup di asrama ketika itu.
Hari Ahad musim cuti yang lalu saya pergi ke Johor Bahru untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya. Saya tidak membaca kad jemputan dan mengandaikan Majlis diadakan di rumahnya seperti majlis yang sudah-sudah.
Kelemahan manusia.....
Setiba di rumahnya saya terkejut sebab sunyi sepi. Maka menaliponlah saya akan teman saya ini. Katanya ia di adakan di sebuah Dewan (saya lupa namanya). Ia terletak berhampiran dengan Masjid Sulatan Abu Bakar di tepi pantai di Lido, Johor Bahru. Saya penduduk asli Johor, pernah bersekolah di Johor Bahru buat seketika, tetapi kini Johor Bahru amat asing bagi saya. Maka saya dan suami terbabas-babas mencari tempat ini. Saya katakan pada suami untuk minta maaf tidak dapat cari tempat dan pulang sahaja kerana waktu majlis pun sudah hampir ke penghujungnya.
Suami saya lebih 'gentleman'. Kita cari juga katanya, demi seorang teman. Terpaku saya mendengarnya kerana sepatutnya saya yang berkata demikian.
Cari punya cari, maka berjumpalah Dewan itu. Tetamu tinggal sedikit yang tinggal. Tetapi saya lega kerana dapat juga bertemu dengan teman saya ini.
Namanya Jawarih dari Pulau Pinang tetapi menetap di Johor Bahru kerana telah berjumpa dengan seorang tuan guru yang ia suka. Kini Jawariah ialah seorang guru AlQuran. Semasa bekerja ia adalah pakar guru bahasa Inggeris dan suaminya pakar guru mathamatic. Saya suka mereka. Sentiasa ada cerita-cerita menarik mengenai Islam . Suaminya seorang Mualaf. Tetapi saya salute kegigihannya mempelajari Islam dan mengamalkan apa yang dipelajari. Alhamdulilah. Kurnia Allah datang dalam berbagai bentuk. Ibunya tidak bersetuju ia masuk Islam dan untuk beberapa lama masaalah keluarga menjadi suatu yang terpaksa dihadapi.
Tetapi siapa menjangka. Di akhir-akhir hayat ibunya tinggal bersama teman saya dan ibu suaminya akhirnya mengucap syahadah dan menjadi Islam. Tidak lama ia pun meninggal dunia. Saya suka mendengar cerita cabaran hidupnya.
Baru-baru ini tahun lepas mereka ke Yamen dengan anak bongsunya. Mereka belajar di sebuah "pondok" dan saya teruja mendengar cerita-ceritanya. Suatu hari saya berazam untuk ke sana. Eluk juga rasanya kita mengetahui bagaiman jalan-jalan alternatif mendekatkan diri pada Allah. Katanya di bulan Ramadhan Pusat Pondok itu mengadakan acara khas bagi peserta antarabangsa dan terjemahan ke Bahasa Inggeris diadakan. Semoga Allah beri peluang dan ruang untuk saya ke sana.
Itu peristiwa di hujung percutian. Semoga Allah sentiasa memelihara dan mengurnia hidayahNya dan kasih sayangNya yang tidak terhingga.
Ameen, Ya Rabb.....
....
Tuesday, April 9, 2013
"Autistic and Beautiful"...
Itu tajuk sebuah catatan oleh seorang ibu muda yang saya baca di Facebook anak saya. Ibu ini bersyukur walaupun anaknya istimewa. Malahan ia kata ia dapat menghayati erti keindahan hidup bersama anak ini. MasyaAllah. Cerita-certanya menyentuh hati.
Anak saya juga punya anak yang sudah dikenal pasti menhidap 'mild autism'. Sekarang saya suka membaca apa jua cerita berkenaan anak-anak istimewa kerana dua orang cucu saya juga ada ciri-ciri istimewa. Alhamdulilah, setiap yang Allah kurnia itu pasti ada hikmahnya.
Kisah anak seorang ibu muda ini berlatarbelakangkan persekitaran di negara maju. Ingatan saya di United Kingdom. Maka di sana kemudahan yang disediakan oleh pemerintah amat baik sekali, katanya. Saya teringatkan cucu saya di Putrajaya yang tidak sering mendapat khidmat doktor pakar kerana hospital di negara kita tidak secanggih hospital di negara maju. Bilangan doktor pakar amat terhad dan kita terpaksa menunggu berbulan untuk mendapatkan perhatian dan perkhidmatan.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Kita fikir sendiri. PRU 13 tidak berapa hari lagi. Kita pilih calun yang kita rasa dapat membawa kesejahteraan kita semua (rakyat biasa) dunia dan akhirat. Kita pilih calun yang bertaqwa dan takut pada Allah.
Berbalik kita pada cerita cucu saya yang 'autistic'.
Pada hari Khamis cuti sekolah yang baru lepas saya ikut anak saya membawa cucu berjumpa doktor pakar di University Kebangsaan Malaysia. Cucu saya ini Akif nama manjanya. Sekarang berumur 6 tahun. Hari lahirnya awal April dan semasa ibunya berpantang melahirkannya, saya pergi ke Tokyo membantu menjaganya.
Gambar di sebelah saya rakam semasa ia diperhatikan oleh doktor cara pergerakan dan pemikirannya. Doktor kata Akif pintar dan kreatif. Antara kelemahannya ialah ia akan menumpu lebih bila ia suka akan sesuatu. Kini Akif tidak terlalu aktif dan sudah mahu mendengari nasihat. Cuma ia masih suka "menghilangkan diri". Jika ia teringatkan sesuatu yang membuat ia teruja ia akan lari mendapatkannya tidak mengira sama ada ia membahayakan dirinya atau tidak. Setakat ini Akif belum pandai mencari jalan balik ke rumah atau mencari ibunya. Ia akan berada dalam "dunianya" sendiri. Sering juga ibunya cemas mencarinya. Dan di sekolah Tadika yang dihadirinya, gurunya pun cemas mencarinya bile ia hilang dari kawalan. Ia ditempatkan di kelas khas tetapi di sekolah biasa kerana otismanya tidak extreme.
Kelmarin saya singgah di rumah anak saya sekembalinya saya dari Tangkak menumpang kereta seorang teman. Saya asyik memerhatikannya. Mula-mula saya samapai ia jerit nama saya "Embah! embah !" Saya teruja dan hulur tangan saya. Dia lari mendapatkan saya dan meng"karate" saya. Saya tertawa kecil sahaja melihat gelagatnya. Kemudian ia menunjukkan permainannya pada saya. Dia cuba menerangkan sesuatu pada saya. Saya tumpu pada usahanya walaupun saya tidak faham semua yang dikatakannya.
Dalam perjalanan pulang ke rumah saya, Akif duduk dengan saya di hadapan. Ia tidak mahu duduk di belakang. Agak sempit tetapi saya tidak katakan sempit dan memeluknya untuk menunjukan saya suka duduk dengannya. Sepanjang perjalanan agak sejam itu ia amat tertib. Tidak mahu beralih tempat ke belakang seperti dahulu. Tumpuannya ialah mainan tanah liat yang cuba dibentuk berbagai rupa. Alhamdulilah. Ibunya sedikit sebanyak sudah "berjaya" melatih mengikut nasihat dan panduan doktor pakar dari masa ke masa.
Bila berjumpa doktor saya orang yang suka bertanya. Maka saya tanyakan apakah kajian-kajian saintifik dan sosial yang telah dibuat di Malaysia mengenai anak-anak yang otistik. Bagaimana kita boleh mengelakannya dan bagaimana kita dapat mengatasinya dan sejauh mana peribadi seorang yang otistik dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat biasa apabila mereka dewasa nanti.
Doktor hanya senyum tawar memandang saya. Katanya tidak ada lagi kajian seperti itu. Saya agak terkilan memandangkan Malaysia negara kaya. Tetapi apakan daya. Saya rakyat biasa. Rakyat biasa hanya berkuasa pada hari pilihan raya. Maka saya kena hati-hati memilih calun yang berwibawa.
Bila bercerita mengenai anak-anak istimewa dan orang-orang dewasa istimewa sekarang ini saya berfikir lebih sedikit. Saya perhatikan secara rambang bahawa kesedaran orang ramai mengenai perkara ini belum menyeluruh dan meluas. Pusat-pusat penjagaan anak-anak seperti ini dan dewasa seperti ini amat kurang sekali. Mungkin anak-anak yang seperti cucu saya Akif itu ramai juga bilangannya. Cuma tidak ada program "awareness" yang cukup berkesan untuk membantu mereka yang memerlukan. Disebelah sekolah Tadika SUFI yang saya urus di bandar Tangkak ada pusat penjagaan dewasa yang menghidap "down syndrome". Saya lihat bangunan itu kecil sahaja. Guru Tadika saya yang punya adik yang menghidap "down suydrome" cuba menghantar adiknya ke tempat itu tetapi tidak diterima kerana katanya keadaannya agak berlainan. Tidak ada pula tempat alternatif yang disediakan. Maka guru saya ini tidak ada tempat untuk mengadu hal. Bantuan Jabatan Kebajikan kalau tak silap saya hanya rm15/- sahaja sebulan. Manakan cukup .
Dasar negara kita memang meminggirkan orang-orang seperti ini. Pasti kerana mereka tidak dapat menyumbang pada pembangunan negara. Mereka dikira satu bebanan. Maka di manakah mereka akan mendapat pembelaan !
Banyak lagi cerita anak-anak istimewa seperti Akif. Sampai di sini dahulu kali ini. Yang penting ibu bapa tidak bersikap "self denial" mengenai keistimewan anaknya. Kurnia rahmat Allah datang dalam berbagai bentuk. Gambar di atas saya rakam ayah Akif, Amin, melayan anaknya dengan kesabaran. Alhamdulilah. Yang penting kita menerima kesemuanya dengan berlapang dada dan penuh kesyukuran.
Segala puji bagi Allah, kita hamba-hambaNya yang kerdil dan memohon pertolonganNya setiap masa.
Ameen Ya Rabb.....
...
Monday, April 8, 2013
Hati mana......
Saya ke Kota Tinggi, Johor di musim cuti sekolah minggu lepas untuk ziarah kakak saya yang sakit terlantar sejak beberapa lama. Saya rasa sebak teringatkan diri sendiri kerana beza umur kakak saya dengan saya hanyalah 14 tahun.
Saya pasti ia merasai berbagai rasa di hati cuma ia sudah tidak berkemampuan untuk menyatakannya atas banyak sebab yang saya rasa agak susah memahami kesemuanya. Maka hanya doa yang saya panjatkan semoga kakak saya dalam perlindungan Allah sentiasa. Semoga anak-anak juga sentiasa menziarahinya kerana menjaga ibu bapa adalah jalan pintas ke Syurga dan amat rugi siapa jua yang tidak menghayatinya.
Ini abang ipar saya yang tekun menjaga isterinya dibantu oleh pembantu dari negara jiran. Ia sudah berumur 83 tahun. Suami saya disebelahnya dan mereka saling bercerita-cerita tentang hidup dan kehidupan. Betul kata alQuran dan memang pastinya betul. Anak-anak adalah hiasan sahaja. Kebergantungan kita hanya pada Allah jua.
Ya Allah, kasihanilah kami, ampunilah dosa-dosa kami dan semoga hidup kami dan mati kami adalah dalam redhaMu jua. Kurniakanlah kami Syurga Firdaus tanpa hisab bersama semua yang kami sayang.
Ameen, Ya Rabb....
....
Sunday, April 7, 2013
Kehijauan kurnia Allah...
Hari Khamis musim cuti sekolah yang lepas saya ke Kuala Lumour mengikuti suami berurusan dengan Bank. Mengapa tidak, saya berfikiran. Sudah lama tidak berputar-putar dalam kesibukan lalu lintas yang pada satu ketika dahulu hampir setiap minggu pasti saya berada di tengah-tengah lautan manusia berurusan entah apa. Saya lihat manusia masih sama berpusu-pusu melintasi jalan, berkejaran cuba mencari penyelesaian dalam kehidupan yang sentiasa terbeban dan saling membebani. Kita lihat dengan mata hati. Kemana arah tujuan. Rugilah sebenar manusia yang tidak terhidayah dan tidak mencari hidayah Allah, Tuhan sekelian alam.
Kesibukan yang ramai kita tidak tahu sebenarnya untuk apa. Yang penting kita sentiasa mencari habuan wang ringgit untuk terus menyambung keperluan hidup. Itu tidak salah. Cuma kesibukan kita harus berpaksi pada prnsip pengabdian pada yang maha Pencipta.
Saya senyap-senyap muhasabah diri. Masih banyak yang belum beres dari segi tanggongjawab terhadap tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Saya katakan pada suami tentang urusan kita dengan Bank. Masih belum bersih sepenuhnya mengikut hukum Syar'ie. Maka bolehkah kita kata kita di atas landasan yang benar. BN dalam kempen pilihanraya mengatakan kita di atas landasan yang benar. Betulkah itu? Masih banyak yang belum jelas.
Maka saya lapangkan hati buat sementara dengan mengambil foto pokok-pokok yang menjadiakan bandarraya Kuala Lumpur kehijauan. Kehiajuan kurniaan Allah. Tetapi manusia masih ramai yang engkar dan mengengkariNya.
Maka kita kena perbetulkan nowaitu kita, mohon ditunjukki jalan yang lurus dan dan menunaikan pengabdian yang tidak tercemar dalam apa jua bentuk sekali pun.
Sama-sama kita memohon keampunan dariNya atas segala dosa, segala kelemahan dan kekurangan dan memohon pertolongan dariNya semoga perjalanan kita sentiasa di jalan yang benar, bukan untuk meraih sokongan manusia tetapi untuk mendapat redha Allah jua.
Waallahu'alam.
.....
Saturday, March 30, 2013
Berdiri yakin.....
Yakin itu ibarat merasai detik-detik degup jantung berterusan damai
Kerana yakin itu suatu kekuatan yang membuat minda luar biasa berfikiran
Yang mengenal kekurangan, kelemahan dan kekangan di sekeliling diri
Tetapi akan terus maju ke hadapan berani mencari dan membukti
Tetapi akan terus maju ke hadapan berani mencari dan membukti
Yang membujur akan lalu, yang melintang akan patah.
Tetapi diri akan tetap ambil peduli.
Tetapi diri akan tetap ambil peduli.
Namun tidak mungkin itu akan menjadi kenyataan
Jika yakin itu hanya kata-kata di bibir mahu dilihat tampan
Mahu dilihat berani tiada bandingan.
Mahu dilihat berani tiada bandingan.
Jika itu hanya aksi
Akan tenggelam keyakinan diri, tiada nilai peribadi
Kerana yakin itu paksinya ikhlas dan jujur dihati
Kerana yakin itu paksinya ikhlas dan jujur dihati
Yakin penyaksian Allah itu maha tinggi tiada terduga akal sendiri
Dan pengabdian pada Allah tiada beza yang zahir dan yang tersembunyi
Dan pengabdian pada Allah tiada beza yang zahir dan yang tersembunyi
Tiada erti ruku' sujud jika hati belum tunduk tanpa mengira manusia menyaksi
Yakin itu satu kekebalan
Tidak akan terpedaya pada bisikan hasutan manusia dan syaitan
Tidak akan celaru akal fikiran, walau segunung emas dijanjikan
Berdiri Yakin...
Di hadapan Tuhan, Rabb sekelian alam.
Yakin itu satu kekebalan
Tidak akan terpedaya pada bisikan hasutan manusia dan syaitan
Tidak akan celaru akal fikiran, walau segunung emas dijanjikan
Berdiri Yakin...
Di hadapan Tuhan, Rabb sekelian alam.
Wednesday, March 27, 2013
Pesan emak.....
Pesanan emak saya banyak yang lekat di hati terutamanya mengenai hubungan kasih adik beradik. Kini emak sudah lama tiada dan saya juga kini seorang emak yang sudah hampir ke destinasinya. Tetapi tidaklah saya tahu anak-anak zaman cyber ini patuh pada pesanan emak seperti orang-orang generasi saya. Pesanan dan saranan emak ibarat "keramat". Takut tidak "berkat" kalau tidak diikut.
| Deretan rumah baru anak saya. |
Beberapa minggu yang lalu saya di ajak anak melihat rumah barunya untuk memberi tahu kerosakan-kerosakan yang ada sebelum rumah itu di serahkan. Rumah itu di Presint 15 Putrajaya dan saya rasa teruja kerana kalau saya berpindah ke Putrajaya maka rumah itu tidak berapa jauh dari rumah saya. Dapatlah selalu bersama cucu-cucu. Ini dalam perancangan. Semoga Allah kurnia yang terbaik di sisiNya.
Teringat saya pertama kali saya membeli rumah baru ialah pada tahun 1975 dan saya masih bujang ketika itu. Rumah itu di Damansara Utama. Ketika itu kemudahan Bank untuk membeli rumah amat mudah sekali dan saya membeli link house berukuran 22 X 70 hanya sebanya RM 56,000/- sahaja. Emak saya pun amat teruja kerana ini pertama kali ia akan ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama anak yang padanya rumah itu amat cantik. Saya selalu sebak mengingatkan emak saya menghias rumah saya di sebelah luar dan di dalam dengan caranya sendiri. Pastinya cara hiasannya adalah secara kampungan dan saya membiarkannya sahaja asalkan dia seronok.
Biasanya pagi-pagi ia telah bangun dan sebelum matahari memanasi halaman rumah ia akan mencabut rumput-rumput termasuk yang mengelilingi pasu-pasu bunga yang beberapa buah saya beli dari nursery di Sungai Buluh. Waktu itu tidak ramai yang suka ke Sungai Buluh kerana masih takut dengan wabak Kusta. Sebenarnya ia tidak membahayakan. Emak saya tekun di laman yang besarnya benar-benar sekangkang kera. Bila sudah mula panas ia masuk dan kami akan minum pagi pada hari-hari yang saya bercuti atau di hujung minggu. Itulah emak saya. Saya yang bongsu dan padanya saya sentiasa anak kecil baginya....
PESANANNYA : "Jangan kau jual rumah ini. Nanti tak berkat harta engkau". Saya tidak membantah walaupun dalam hati seperti saya mungkin tidak dapat memenuhi pesanan itu. Di pendekan cerita terjual juga rumah itu pada tahun 1986 untuk membeli rumah lain di kampung Tunku Petaling Jaya. Saya sembunyikan fakta saya jual rumah yang ia pesan jangan jual. Saya rasa lega kerana dia tidak pernah bertanya. Dalam pada itu saya rasa seperti berdosa tidak ikut pesanannya walaupun pesanan-pesanan yang lainnya saya ikut sedaya upaya.
Maka di rumah anak saya, saya tidak berkata apa-apa mengenai jual beli rumah. Biarlah anak-anak berfikiran sendiri. Zaman telah beredar dan niali-nilai hidup sudah tidak sama. Saya seperti merasai status orang tua sekarang sudah tidak seperti status orang tua dahulu. Agaknya zaman teknologi tinggi dan lain-lain kemewahan hidup dan faktor-faktor sosial yang sudah amat berbeza telah menghakis " auora kekeramatan " status orang tua. Saya amat berhati-hati supaya tidak mengecewakan diri. Lagi pun nilai yang saya pegang bukan nilai utama. Cuma saya sahaja agaknya yang rasa begitu.
Semasa saya memasuki rumah pertama saya, emak saya bekalkan sedikit peralatan dapur dan peralatan tidur. Katanya dahulu pun embah (emaknya) buat seperti itu. Sedikit pinggan makuk, tikar bantal , periuk kuali mengiringi pindah masuk rumah baru seorang anak. Sekarang sudah beza. Sudah banyak yang ikut budaya "house warming" dan teman-teman menghadiahkan barang-barang hiasan rumah.
Saya sendiri pun tidak membekalkan priok belanga dan yang lain-lainnya. Entahlah. Seperti tidak perlu agaknya. Mungkin bukan soal keperluan tetapi hanya satu "warisan keramat" emak pada anak. Auora ini sudah hilang dan mungkin tidak akan kembali lagi.
Semoga apa jua yang kita buat tidak menghakis pautan kasih dalam keluarga. Saya khuatir kerana teknologi telah banyak mengubah cara berkomunikasi. Kalau dahulu sekurang-kurangnya kita mendengar suara, sekarang ini kita hanya membaca. Dan jarang-jarang pula bersua muka. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana selepas saya tiada.
Dalam perjalanan hidup ini semua kita tidak sempurna, termasuk saya. Banyak yang kita lupa, atau ingat tetapi sudah tidak seiring rasa. Selalu sahaja kita kata kita mangsa. Kita mangsa kesuntukan masa, mangsa kesesakan jalan raya, mangsa kerja-kerja pejabat yang bertimbun banyaknya dan lagi dan lagi......
Semoga Allah menampuni semua dan menunjuki jalan yang sempurna dan dihujung perjalanan kita mendapat RedhaNya.
Ameen, Ya Rabb.
...
Subscribe to:
Posts (Atom)