"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Wednesday, March 11, 2015
Saya pura-pura .....
Pagi Selasa yang ceria.
Saya ke Pusat Perubatan University Malaya sekali lagi. Tetapi pagi ini saya tenang dan sepanjang perjalanan berbual santai dengan suami saya mengenai warna-warni hidup harian.
Saya "kiv" kes jantung saya dan hari ini ke PPUM untuk menawarkan diri menjadi seorang sukarelawan menjadi bahan kajian untuk satu penyelidikan dalam kes pesakit Diabetis. Lebih kurang begitu...lebih kurang. Saya baru menawarkan diri dan sebelum diterima saya kenalah menjalani pemeriksaan kencing dan darah. Apa yang akan dilihat saya kurang arif tetapi saya akur dengan peraturan yang ditentukan.
Cepat sahaja proses itu selesai dan saya pun keluar menanti suami saya untuk pulang. Saya menuju ke deretan kerusi-kerusi untuk menunggu kenderaan.
"Assalamualaikum...." saya ucapkan pada dua orang wanita yang sudah sedia duduk. Seorang nampak seperti warga emas dan seorang lagi saya kira dia warisnya, anak atau menantu.
Yang tua yang sememangnya sudah memerhati saya menjawab salam dan kami bersalaman. Saya duduk dan menalipon suami saya. Perempuan yang tua ini asyik melihat saya dan tersenyum lebar.
"Jumpa doktor ke?" dia bertanya.
Tidak....saya jumpa nurse untuk ambil darah," saya menjawab sambil menunjukan padanya bekas suntikan yang ada dilengan saya.
"Ohh.....sakit apa?" ia terus bertanya.
"Saya ada macam-macam penyakit..." saya menjawab santai sambil melihat wajahnya.
"Achik sakit apa?" saya bertanya kembali, sebagai adab perbualan orang-tua-tua.
"Mak chik pun sakit macam-macam....Mak Chik dari Perlis, ubat dah habis. Anak bawak sini untuk ambil ubat...."
"Ohh.... eluklah", saya kata dengan senyum cuba bersimpati padanya.
Wanita ini seperti ingin bersembang seterusnya, bertanya pada saya tinggal di mana dan berbagai soalan yang berkaitan sakit. Ia bercerita betapa sukanya kalau ia sihat dan dapat pergi menunaikan fardhu Haji. Saya pun bercerita bahawa saya sudah ke Makkah dan terserlah di wajahnya betapa ia iri hati dengan cerita saya.
"Giliran saya tahun 2017," katanya. "Tapi anak-anak tak dapat temankan saya. Harap-harap anak kakak dapat pergi sama." dia berkata dengan nada berharap yang amat sangat.
"Umur berapa sekarang.....nampak macam sihat tapi kena ambil ubat" dia mengulang soalan yang tadinya tidak saya jawab.
"Oh...dah tua, saya 68 tahun."
"Eh...macam muda saje tak kan dah 68?" sepertinya ia kurang percaya. "Saya pun dah 68. Samalah kita."
"Tapi nampak muda...betul ke ni?....Apa rahsianya...? Tiba-tiba anak menantunya mencelah. Dia duduk berhampiran dan mendengari celoteh dua orang warga emas.
"Betul....tidak ada rahsia. Saya pura-pura buat tak sakit. Saya sebenarnya takut sakit.....tapi saya buat tak layan fikiran saya. Saya buat macam tak sakit....". Saya kata dengan sedikit gelak ketawa.
Teman kenalan baru ini terus gelak seperti tidak percayakan cakap saya. Saya turut seronok mentertawakan diri sendiri.....mana munkin boleh pura-pura tak sakit.
Tiba-tiba merekla bangun untuk beredar. Katanya anaknya sudah menunggu dan mereka perlu ikut.
Saya bangun untuk bersalaman....tandanya saya seronok berbual dengan mereka. Tersentuh hati saya bila teman baru ini memeluk dan mencium saya.
"Saya pun nak belajar pura-pura....pura-pura sihat. Nak pegi Mekah 2 tahun lagi." dia berkata bersemangat.
Dia melepaskan pelukan dan beredar dipimpin oleh aanak menantunya. Rasa sayu seketika. Saya tidak menyangka kata-kata saya memberi kesan padanya. Allah maha Mengetahui maha Bijaksana.
"Saya doakan Allah mudahkan...." dan melambaikan tangan saya....berpisah.
Saya lihat dia samapai hilang dari pandangan kerana ramai orang di hospital pagi itu. Pagi yang ceria menjadi agak muram dalam ingatan, betapa saya menginsafi diri......
Semoga Allah mengampuni kami....teman pesakit di persimpangan.
Aamiin....
.....
Monday, March 9, 2015
Karenah Jantung Ku....
ALLAH KATA MATI, MAKA JANTUNG BERHENTI.
BUKAN JANTUNG BERHENTI BARU KITA MATI.
Jam 3.30 pagi empat malam yang lalu, saya rasa kejjutan sakit di dada saya sebelah tengah. Ketika itu saya baru sahaja duduk di atas katil untuk tidur awal sedikit dari biasa. Tiga kali kejutan itu mengasak saya dalam masa tiga atau emapat minit....entah. Sepertinya sekejap...tapi menakutkan saya. Mungkin kerana selalu sahaja membaca penulisan-penulisan mengenai serangan jantung....
Panik..? Ye, agak panik juga....
Lantas saya menggerakan suami saya yang sudah tidur untuk menghantar saya ke Hospital. Kemudian ia menggerakan anak lelaki saya dan denagan mengambil sweater kami terus sahaja memandu menuju University Malaya. (PPUM).
Ruang Kecemasan agak lengang. Denagan jalan bersendirian saya menlangkah ke dewan tempat Saringan Pesakit. Sudah tidak ada kerusi roda untuk kegunaan saya. Saya senyum sahaja dalam hati. Sudah tidak rasa panik kerana sudah hampir dengan pertolongan. Hampir lupa bahawa pertolongan itu datangnya dari Allah. Khuatir sedikit, itu sahaja. Manusia....sering lupa!
Saya diminta menunggu sebentar. Degup.......saya terasa sedikit kejutan lagi di dada saya. Saya diam cuma memohon pada Allah semoga dimudahkan. Dalam lima minit seorang nurse mengambil maklumat dari saya seperti bila mula terasa, adakah saya pening, adakah saya berpeluh, adakah saya muntah yang mana jawabnya semuanya tiada. Kemudian saya dibawa ke bikik pemeriksaan ECG dan setelah selesai saya menunggu sebentar sebelum saya dibawa masuk ke Bilik yang lain pula untuk berjumpa doktor.
Saya minta izin untuk ke bilik air dan setelah itu saya di arah untuk ke dewan menanti untuk pendaftaran dan kemudian ke dewan menanti giliran pula. Agaknya semasa saya di bilik air nurse sudah melaporkan pada Doktor dan sudah melihat rekod ECG saya.
Saya berfikir agaknya kes saya tidak kritikal maka saya diarah menanati di dewan umum dan bukan di bilik Trauma. Sejam saya menanti, tidak ada pergerakan pesakit yang saya lihat. Sepertinya hanya 2 orang doktor sahaja bertugas. Saya mula merungut dalam hati.
Dua jam....tiga jam......tidak ada panggilan giliran saya. Pesakit lain makin ramai menanti. Ada yang saya perhati lebih tua dari saya dan lebih uzur.
Saya menanti lagi. ......Jam 3.30 pagi saya dipanggil masuk berjumpa doktor. Hampir emapt jam saya menanti. Rasa resah...rasa takut semuanya ada. Tetapi apakan daya . Saya tiada kemampuan untuk ke Hospital Swasta.
Doktor Wan yang memeriksa saya. Pertanyaan yang sama....
Kemudian saya mengambil ECG sekali lagi sebab katanya doktor mahu kepastian kalau sebenarnya ini kes Jantung. Protokol pemeriksaan membuat saya resah juga. Lepas lebih kurang 10 minit saya berjumpa Doktor lagi. Katanya ECG saya biasa. Tekanan darah saya tidak terlalu tinggi. Boleh terima. Besar kemungkinan ini bukan kes jantung. Ia mencadangkan saya mengambil darah untk pemerikasan lanjut.
Untuk perikasa apa? saya bertanya. Kata doktor ia ingin tahu kalau "cardiac enzyme" ada dijantung saya. Tetapi saya semestinya menunggu 2 jam lagi untuk keputusan. Saya rasa kecewa diminta menanti lagi. Waktu itu jam sudah pukul 4 pagi. Tidak berfikir panjang saya tidak setuju dan tanpa berunding lanjut saya katakan saya tidak daya menanti 2 jam lagi. Kalau ada tempat perbaringan mungkin saya terdaya. Tetapi duduk di atas kerusi saya tidak terdaya. Saya warga emas, ..... Dan dalam jua jam akan masuk waktu Solat Subuh.
Saya buat kata putus dan pulang ke rumah tanpa keputusan muktamad apa sebenarnya yang terjadi pada jantung saya.
Saya berehat sepanjang hari........
Esuknya saya rasa seperti biasa....
Tetapi awal subuh semalam saya rasa kejutan itu sekali lagi. Saya katakan pada suami eluk saya pergi ke IJN untuk mendapat kepastian.
Maka setelah minum pagi alas perut suami dan anak menghantar saya ke IJN. Protokol yang biasa. Saya diminta buat ECG sekali lagi dan mengambil darah untuk pemerikasaan. Saya diminta menunggu dan diberi maklumat bertulis bahawa kes seperti saya tidak kritikal. Anggaran masa menanti satu jam. Oleh kerana tidak ada kes yang kritikal di Emergency, maka saya berjumpa doktor dalam masa setengah jam.
Alhamdulilah cepat......bukan hampir 5 jam seperti di PPUM. Kami diberithu ia memakan masa lama kerana protokol mengambil maklumat berubah untuk sistem maklumat yang baru. Saya diam. Tetapi hati merungut kerana pesakit tidak dapat didahulukan. Itu di PPUM.
Di IJN cepat sekali. Doktor melihat saya tenang sahaja. Katanya besar kemungkinan jantung saya normal setelah melihat laporan ECG dan darah. Fikiran saya pening tetapi rasa lega....alhamdulilah.
Kalau bukan kes jantung, kes apa ye? Mengapa saya diberikejutan seperti itu di dada saya.
Doktor kata tidak perlu apa-apa ubat dan tarikh berjumpa doktor akan ditentukan masa terdekat ini untuk rawatan dan pemerhatian susulan.
Itulah karenah jantung saya. Pastinya Allah mahukan saya berfikir sesuatu. Entahlah.....
Yang pasti saya akan teruskan kerja-kerja yang sudah diaturkan untuk tahun ini. Mudah-mudahan saya sihat. Ustaz kata tunggu berehat di akhirat nanti. Jangan manjakan diri di sisni. Bersara bukan untuk bersantai. Ia untuk diguna mencuba menyelesaikan apa yang sewajarnya untuk bekalan. Bila sampai masanya ia tidak sesaat cepat dan tidak sesaat lambat.
Semoga Allah mengapuni segala ketidaksempurnaan dan Allah kurnia iktiraf Hamba pada saya. Semoga di Syurga Firdaus akhirnya.....dengaan RahmatNya semata-mata.
Aamiin....
....
Wednesday, March 4, 2015
Melihat diri seketika......
Tiba-tiba bermonolog....
Warna ungu melambangkan kasih. Dahulu semasa remaja saya katakan ia sebagai "the symbol of secret love". Fikiran mahu terbabas.
Kini sudah diperbatasan umur menanti jemputan, entah sebentar lagi entah bila giliran jemputan Ilahi pula. Maka saya selalu dinasihatkan jangan lagha.....
Alhamdulilah..... Allah memberi peringatan bahawa tiada lagi masa untuk bersangan-angan dan berfikir-fikir yang tidak membawa munafaat untuk kehidupan kini dan masa akan datang.
Sebenarnya saya baru sahaja sampai pulang dari hospital mengambil ubat-ubatan untuk dua bulan. Kali ini tidak lama menunggu panggilan giliran mungkin kerana orang-orang keturunan Cina masih sibuk menghabiskan cuti perayaan. Saya menalipon anak untuk datang mengambil saya seperti biasa di Pusat Perubatan University Malaya.(PPUM). Saya boleh sahaja mengambil teksi tetapi saya kekadang suka dijemput anak supaya membolehkan saya menunggu sambil melihat dan meneliti dan menginsafi diri melihat pesakit-pesakit yang sibuk mengambil ubat ditemani waris atau datang berseorangan seperti saya.
Ada yang menaiki kerusi roda di tolak oleh anak atau suami /isteri. Ada juga yang ditolak oleh pembantu rumah orang Indonesia. Saya bersyukur kerana masih agak sihat dan masih sempurna ingatan untuk pergi seorang. Saya tidak suka memandu kereta kerana tempat pakir sangat terhad dan sering membuat saya stress mencari ruang yang kosong.
Saya perhatikan ada yang namapak tergesa-gesa mengurus pesakit yang sudah tidak upaya, ada yang nampak bersahaja dan ada juga yang nampak tidak punya kesabaran kerana menunggu lama sementara kerusi roda dipulangkan ke tempatnya. Karenah si sakit berbagai rupa dan tidak asing juga bahawa karenah yang sihat juga bolih menyentuh perasaan pesakit yang lumrahnya menagih kepedulian yang setia dari waris terutamanya anak-anak yang dari kecil dijaga.
Di celah-celah masa menanti, teringat saya dua minggu dulu saya terkejut bila saya dapati seorang teman saya sudah jelas menghidap sakit pelupa. Kami sebaya dan dia sudah tidak mengenali rupa wajah saya walaupun sering juga kami berhubung di talipon. Subhanallah. Saya hubungi seorang teman lain untuk mendapatkan bantuannya mencari waris terdekatnya supaya tidak membiarkan dia tinggal berseorangan. Pengalaman saya menjaga ibu mertua saya yang pelupa sudah cukup untuk saya menginsafi diri dan menghargai apa itu ingatan. (the power of a good memory). Saya khuatir teman saya ini lupa jadual mengambil ubat dan lupa hendak memadam api di dapur. Saya dan dua tiga teman yang lain akan berusaha sentiasa menghubunginya supaya dapat membatu sewajarnya. In sya Allah. Semoga Allah memudahkan urusan kami semua.
Lama juga saya menanti anak saya tidak kunjung tiba. Mula resah di hati takut-takut ada kesesakan yang tidak dijangka. Mulut saya komat-kamit cuba menenangkan perasaan dengan mengingati Allah yang pasti maha mengetahui apa yang dalam perancanganNya. Cuma manusia (seperti saya) yang sering lupa. Penentuan Allah tidak lambat dan tidak cepat walau sedetik pun jika sudah sampai ketetapanNya.
Secara sedar dan tak sedar saya rasa seperti jantung saya berdebar...
Entah mengapa rasa seperti agak penat menanti. Saya pujuk diri supaya bersabar dan meneruskan berfikir-fikir. Teringat pulak apa kata seorang Ulamak tentang jantung kita. Degupan jantung kita itu seperti ia bertasbih: "A llah, A...llah, A...llah".....(Lihat Sheikh Hamza Yusuf dalam u tube mengenai Jantung kita). Jantung kita kenal pada Allah. Kebetulan saya baru tamat menjadi bahan kajian mengenai jantung saya oleh sekumpulan penyelidik di PPUM. Jantung saya selalu sahaja berdebaran pantas dan kajian ubatan yang saya volunteer adalah mengenai fenomena itu. Jantung merupakan satu-satunya anggota badan kita yang tidak dikuasai oleh otak kita. Perilaku anggota kita semua mengikut arahan otak melainkan jantung. Ini suatu perkara yang kita harus berfikir-zikir.........Allah maha Pencipta.
Saya releks sebentar........
Saya memandang jauh setiap kereta yang lalu di hadapan saya. Tidak nampak kereta merah yang saya nanti tiba. Fikiran saya bukan diam sahaja. Saya perhati kereta-kereta yang lalu lalang kebanyakannya kereta yang sederhana dan yang kurang dari itu. Tidak seperti kereta-kereta yang berkunjung ke Hospital swasta yang saya lihat bila menziarahi teman pesakit di sana. Banyak kereta mewah-mewah menghantar dan mengambil pesakit. Itulah corak hidup di dunia. Allah kurnia dan Allah duga berbagai cara. Cuma kita manusia harus sedar kewajipan kita sebagai hamba. Jika kita ingat kesemuanya milik Allah jua, maka kuranglah kita rasa seperti kurang harga diri dan sikap-sikap negatif yang lainnya. Bila Allah uji dengan sakit, atau dengan apa jua, itu tandanya Allah sayang pada kita.......tercetus ingat kata-kata ustaz.
Anak saya tidak kunjung tiba. Setelah berhubung kembali, saya mengambil keputusan untuk menaiki teksi sahaja. Maka tamat di sini sahaja fikir-fikir saya.Belum sampai ke mana saya lihat diri saya. Yang pasti masih banyak yang belum sempurna dan masih banyak yang perlu dibina. Semoga Allah sentiasa memudahkan dan menunjuki jalan yang diRedahiNya. Kita hamba dan Allah jua yang maha berkuasa. Kita mohon belas kasihanNya dan semoga di Syurga Firdaus tempat kembalinya kita. Aamiin.....
.....
Friday, February 27, 2015
Siapa yang pergi dahulu.....
Minggu yang lepas suami dan saya dan anak dan cucu-cucu bermalam di Perumahan Kerajaan Persekutuan di Cameron Highlands dengan ehsan kelayakan seorang teman yang senior di Perkhidmatan Awam.
Dalam duduk dan bersembang santai suami saya mencetuskan lagi persoalan yang sukar dan tidak mungkin ada jawapan.
"Antara kita dua, siapa agaknya Allah ambil dahulu?" soalan yang sering ditanya setahun dua kebelakangan ini. Maklumlah kami sudah dipebatasan umur tujuh-puluhan.
"Kita hak Allah. Mana mungkin kita boleh tahu...." jawab saya dengan senyuman, tetapi serious. Agak mendebarkan juga soalan seperti itu. Ustaz pernah kata: Hidup itu nikmat, Mati pun Nikmat. Mati memungkinkan kita masyuk Syurga dan bertemu Allah....nikmat yang tiada bandingan. Maka Ustaz sentiasa menasihati supaya bertaubat dan beramal soleh hingga ke akhir hayat.
Semoga kami sentiasa beringat.....
Saya dan suami boleh dikatakan sihat berbanding sesetengah orang lain. Alhamdulilah, kami amat bersyukur. Tetapi hakikatnya kami sudah mula di huni oleh berbagai masaalah kesihatan. Kami adalah pesakit diabetis lebih dua puluh tahun yang lalu. Ia agak terkawal buat masa ini dan sentiasa berdoa semoga Allah menganugerah umur panjang yang bermunafaat untuk bekalan ke akhirat.
'Tidak mengapa siapa pergi dahulu. Kita buat sahaja persiapan yang sewajarnya. Kesihatan zahir tidak boleh menjadi indikator tetap siapa yang akan pergi dahulu. Hidup dan mati adalah ketentuan Allah yang Mutlak." Selalu itu menjadi jawapan standarad bagi saya. Namun kekadang saya kata: "Abang susah apa kalau isteri pergi dulu. Carilah ganti, bukan susah...." kemudian kami panjangakan beberapa andaian mengenainya dan diselang seli dengan gelak ketawa bersama. Namun di celah-celah gurau senda itu pasti ada juga rahsia yang belum nyata. Biar masa yang menetukannya.
Pokoknya kita harus bersedia secara individu. Saya 'berceramah" pada suami saya. Kita perlu sibukan diri masing-masing dengan aktiviti yang memberi munafaat pada diri dan pada orang lain. Lebih banyak pada orang lain, lebih baik. Itu amal jariah namanya. Bila salah seorang antara kita tiada, pandai-pandailah bawak diri. Kalau boleh jangan bergantung sangat pada anak-anak. Jika kita mendapat perhatian dari anak-anak, kita kira itu 'bonus point'. Kita berusaha mengurus diri sendiri sedaya upaya. Dalam kebebasan berurusan sendirian, insya Allah kita mendapat perhatian yang lebih dari Allah. Kebergantungan kita hanya padaNYA.
Maka semasa di Cameron Highlands kami bersetuju untuk menghadiri majlis perkahwinan di kedah bagi suami saya dan di Johor untuk diri sendiri.
Ini satu cara untuk melatih diri berbuat sesuatu tanpa rakan kongsi dalam hidup.

Suami saya mengambil peluang ke Kota Kuala Muda sementara majlis perkahwinan di Sungai Petani belum bermula. Kemudian ke Pantai Merdeka. Di situ temapat nelayan dan jika suka katanya kita boleh menjamu selera masakan tempatan dengan makanan laut yang segar-segar belaka. Suami saya pergi dengan anak saya dan seorang cucu dengan ditemani anak angkat teman akrab saya bernama Annas. Suami saya kata dia baik dan pandai melayan warga tua.(Annas berbaju hijau).
Sementara itu saya pergi ke Tangkak dan singgah di Kajang untuk menemui teman seperjuangan dari Sarawak. Sudah lama saya tidak ke Kajang dan hampir tidak dapat mengenali tempat-tempat yang biasa yang kunjungi dahulu. Saya kira pembangunan pesat sekali dan saya katakan pada teman semoga pembangunan yang melambangkan ekonomi negara itu amat sihat memberi munafaat pada golongan yang benar-benar memerlukannya.
Kalau saya berpergian seorang diri pasti saya akan sesat barat tanpa pertolongan.
Nora nama teman kami ini. Ia bertudung warna putih. Saya baru 2 tahun mengenalinya tetapi teman patner saya di SmarTop sudah mengenalinya agak lama kerana ia pernah bertugas di Sarawak suatu masa dahulu.
Nora bekerja sendiri kerana mahu kebebasan membuat kerja-kerja NGO dan menumpu pada kerja-kerja pembangunan ummah. Kami makan malam bersama dan sempat bertukar-teukar fikiran secara santai mengenai perkembangan politik di Sarawak secara umumnya. Saya kurang minat politik di rantau itu. Tetapi apa pun yang kita buat dalam konteks pembangunan ummah pasti menyentuh hal politik serba sedikit. Itu satu kenyataan.
Saya lebih mendengari dari memberi pendapat dan saya fikir itu lebih baik. Cuma saya mengatakan bahawa dalam pembangunan ummah kita harus mencari dan membina titik persamaan antara kaum dan tidak membesar-besarkan perbezaan antaranya. Dengan cara ini perpaduan ummah akan lebih mudah tercapai. Tetapi ia memerlukan keikhlasan dan pengorbanan. Pertolongan dari Allah tidak datang bergolek.....
Subhanallah.....Allahu Akbar.
Kami lewat pulang dan sampai di Tangkak hampir tengah malam.
Itu baru permulaan secara sedar saya dan suami berbuat sesuatu tanpa pergantungan antara satu sama lain. Hakikatnya suatu hari nanati, mungkin tedekat, kita tidak duduk bersama lagi. Setengah orang berpendapat bahawa kita harus mengambil peluang hidup bersama seoptima mungkin dan biarkan soal perpisahan datang dengan sendirinya.
Namun saya suka bersedia supaya insya Allah tidak ada kejutaan mendadak. Apa pun yang akan berlaku kita hanya mampu berdoa semoga semuanya Allah mudahkan dan di hujung episod hidup ini kita redha dan ALLAH MEREDHAI.
Aamin ya Rabb....
....
Thursday, February 26, 2015
Bukan sekadar memenuhi jemputan.....
Panas terik pada hari Isnin lepas semasa saya dan teman
mewakil Tadika SmarTop mengiringi mempelai dari Tangkak ke Labis Johore untuk majlis menerima menantu. Sehari sebelumnya kami ke rumah pengantin perempuan untuk meraikan majlis pernikahannya.
Walaupun cuaca panas, Allah kurnia kesabaran demi silaturrahim dalam
masyarakat dan khususnya jiran tetangga. Alhamdulilah.
Ia bukan satu peristiwa sekadar memenuhi jemputan kedua ibu-bapa pengantin
tetapi ia merupakan jalinan mesra pendidik
di SmarTop dan Lembaga Pengurusnya.
Prinsip kami: Together....Yes we can !
Kejayaan SmarTop secara aqly bergantung pada hubungan rapat ibu-bapa-guru
dan pihak pengurusan. Alhamdulilah, Allah beri ruang dan peluang
untuk menterjemahkan hubungan erat ini demi kejayaan bersama
membangunkan ummah. Semoga usaha yang kecil kerdil ini Allah berkati.
Kelihatan di sini Muzaimah tersenyum gembira bersama pasangannya.
Wajahnya tidak terkesan dengan cuaca panas, tersenyum manis.
Begitulah sifatnya bertugas di SmarTop.
Sentiasa senyum dan amat penyabar mengendali karenah anak-anak
yang berumur 4-6 tahun.
Sentiasa senyum dan amat penyabar mengendali karenah anak-anak
yang berumur 4-6 tahun.
Semoga ia akan terus bersama SmarTop
dan kami amat bersyukur kerana kami di maklumkan
suaminya membenarkan Muz terus berada di Tangkak
sementara beliau akan berulang dari Tangkak ke Labis dalam menjalankan tugasnya sebagai guru di sekolah Kementerian Pendidikan.
Tahniah dan terimakasih kepada kedua mempelai.
Kami mengucapan semoga bahagia dan sejahtera di dunia dan di akhirat.
Aamin..
...
Tuesday, February 24, 2015
Dingin.......
Cuaca bertukar menjadi dingin.....
Dari Ipoh kami memandu santai ke Simpang Pulai dan terus ke Cameron Highlands. Sudah lama saya tidak ke sana...
Suami dan saya menumpang tuah seorang teman akrab dan bermalam di perumahan Kerajaan Persekutuan. Bersama kami adalah anak-anak angkatnya. Alhamdulilah, selesa, tenang dan lapang.
Dingin dan nyaman...
Cuaca yang dingin membawa ingatan saya jauh ke Bumi sebelah Tropika Utara yang bertukar musim. Cuaca dingin di musim bunga adalah kesukaan saya di samping musim gugur atau musim luruh. Maka saya rakam sedikit di sini suasana nostalgia.
Kemudian cepat-cepat saya lepaskan pergi minda nostalgia kerana saya sudah tidak mahu mengingat apa yang lampau jika ia tiada kaitan dengan apa yang saya jangka akan saya lalui masa ke hadapan ini. Ustaz saya berpesan eluk tinggalkan bukan sahaja yang makruh tetapi juga yang harus jika yang harus itu tidak membawa munafaat pada kehidupan akhirat. Maka saya mahu menepati saranannya seberapa yang terdaya.
Di sini rumah kediaman untuk bermalam. Indah pemandangan di sekeliling. Di Bumi Malaysia pun banyak tempat yang cantik-cantik. Cuma kita suka juga menjelajah ke negara orang. Itu sememangnya di galakan dalam Islam untuk memerhati dan merasai hebatnya ciptaan Allah yang maha besar dan maha berkuasa. Semoga dapat meningkatkan iman dan taqwa....anugerah yang maha Esa.
Namun kita jangan terlalu kagum dengan status ekonomi sesetengah negara yang maju hingga merasakan rendah diri dan rasa dipihak yang rugi. (Sepertinya tidak seronok menjadi seorang Muslim Mukmin). Baru-baru ini seorang teman yang sedang kembara jauh menceritakan betapa indahnya kepulauan New Zeland dan kagum dengan kualiti hidup rakyatnya yang amat tinggi.
Sungguh mereka amat tinggi dan mewah dalam serba serbi, tetapi ramai rakyatnya yang tidak pernah sujud ke bumi membenamkankan wajah muka ke tanah kotor tetapi suci. Mereka tidak mengabdikan diri pada yang maha Pencipta dan maha Pemberi. Maka pada saya hidup seperti itu tidak bererti.
Jangan kita mengkagumi mereka tetapi kita harus menginsafi diri. Seharusnya orang Islam yang harus membangun serba serbi......dibidang sains dan teknologi apatah lagi! Namun apa jua yang kita lakukan ia semestinya berpaksi pada mentauhidkan Allah yang maha Tinggi.
Dingin dan sayu....
Kita di Malaysia Allah kurnia berbagai nikmat tetapi masih banyak KehendakNya yang belum dapat dilaksana.
Bertangguh dan berhelah berbagai cara.....seperti tidak yakin Allah maha mengetahui yang tersembunyi dan yang nyata.
Biarkan dahulu monolog yang dihati itu...
Dicelah-celah melihat-lihat dan berfikir-fikir suami dan saya mengajak anak dan keluarga untuk datang bertukar angin buat seketika. Maka menjadi besar "keluarga" yang bersama. Saya rakam disini untuk kenangan mungkin suatu hari ia menjadi suatu yang "berharga".
Suami dan "ketua" kumpulan kami. Dengan ehsannya kami tinggal di sini.
Kami meronda-ronda melihat perubahan yang makin hari makin menjadi. Bangunan-bangunan baru yang agak tinggi-tinggi mula muncul dan pengunjung pun makin ramai yang datang untuk menikmati udara yang dingin dan flora dan fauna yang memikat hati. Alhamdulilah Allah kurnia semua nikmat deria untuk manusia lebih yakin pada yang maha Pencipta dan mengabdi diri sewajarnya.
Kami berhenti menikmati " scones and tea", dan kek strawberry .
Melihat ladang teh dan berfoto-foto untuk kenangan anak-cucu.
Samapi di sini dan tinggallah kedinginan di tanah tinggi hingga satu masa Allah izin berkunjung lagi.
MAKA NIKMAT ALLAH YANG MANA YANG HENDAK KAMU DUSTAKAN.
...
...
Thursday, February 19, 2015
Melawan arus ......
Bukan melawan arus air sungai akibah banjir baru-baru ini....
Cuma saya berfikiran bahawa di umur senja seperti ini saya dan beberapa teman merasakan kami tidak perlu berkejaran dalam melaksana sesuatu tetapi harus bersantai dalam melaksanakannya. Tetapi memandangkan masa sudah terlalu singkat dan tenaga sudah semakin susut, cara bekerja harus bersesuaian.
Kemampuan diri sudah Susut....
Kederat memandu kereta sudah berkurangan, terutamanya diwaktu malam dan tenaga mengangkat baramg-barang pun sudah kehabisan. Itu antaranya. Tidak terdaya menyenaraikan yang lainnya.
Bukannya pula kami bersungut kerana itu sudah fitrah badan......
Maka saya selalu mengingatkan anak-anak supaya jangan bertangguh masa untuk membuat kebajikan. Buat segera. Semoga di Akhirat nanti kita dapat berehat dan bersantai panjang .
Minggu lepas dalam perjalanan ke Ipoh saya dan teman berhenti di Teluk Intan untuk menzirahi seorang teman lain yang sudah lama tidak bersua dan bertukar-tukar pengalaman hidup sejak bersara dari perkhidmatan awam.
Dalam Islam tidak ada istilah bersara dalam hidup kita ini, kata teman saya. Kebenaran itu susah di sanggkal.
Teman saya ini (bertudung hijau) telah memulakan sebuah projek untuk anak-anak yatim, miskin dan berbagai lagi kategori anak-anak yang memerlukan pertolongan. Projek didirikan di atas sekeping tanah ibunya yang sudah diwakafkan. Sudah lama saya tidak berkunjung ke sana dan kini projek itu sudah diambil alih pengurusannya oleh sebuah NGO dan menjadi Pusat Tahfiz alQuran. Nama rasminya Sekolah Menengah Islam Tahfiz alAmin, di Kampung Pengkalan Ara, Cenderong Balai.
Konsep pengurusan projek sudah bertukar sedikit dari apa yang dimulakan olehnya dahulu. Teman saya menjelaskan dalam nada penuh kesyukuran. Saya mendengari penuh minat kerana sudah sewajarnya projek ini diurus oleh sekumpulan professional kerana teman saya ini seangakatan dengan saya dan pastinya kemampuan pergerakan minda dan fisikal sudah berkurangan. Kami semua sudah diperbatasan umur tujuh-puluhan.
Cuma kami tidak mahu mengalah dengan mudah untuk duduk diam dan membuat kerja-kerja rutin sahaja seharian. Kami yakin bahawa kecerdasan mental harus dicabar secara berterusan semoga dengan izin Allah kita tidak menjadi lemah dan baki umur yang ada tidak menjadi suatu yang membebankan diri dan juga orang lain. Itulah yang kami istilahkan sebagai melawan arus........
Kerja untuk kebajikan berterusan. Seorang ustaz mengatakan bahawa kita harus berusaha walaupun kita sudah diberi tahu esuk akan Qiamat. Allah maha mengasihani dan maha bijaksana. Teruskan berusaha. Yang lainnya adalah urusan Allah semata-mata.
Syabas saya katakan pada teman saya yang memulakan projek ini. Foto-foto di atas menunjukan betapa besarnya perubahan yang sudah berlaku.
Alhamdulilah. Usahanya boleh dipelajari dan pengorbanannya boleh dicontohi.
Kami meneruskan perjalanan ke Ipoh dan samapai jam 8 malam.
Penat tetapi seronok dapat bertemu dan bersilaturrahim disamping mengambil iktibar atas apa yang dilihat dan didengari. Kami bersyukur Allah masih memberi ruang dan peluang untuk berbakti walau pun kecil dan bergerak meniti-niti. Semoga kami tidak perlu berlabuh diri dan semoga arus yang kami tempuhi hari demi hari dapat kami layari dengan pertolongan Rabb, Allah yang maha tinggi. Aamiin.....
....
Subscribe to:
Posts (Atom)





