"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Thursday, February 19, 2015
Melawan arus ......
Bukan melawan arus air sungai akibah banjir baru-baru ini....
Cuma saya berfikiran bahawa di umur senja seperti ini saya dan beberapa teman merasakan kami tidak perlu berkejaran dalam melaksana sesuatu tetapi harus bersantai dalam melaksanakannya. Tetapi memandangkan masa sudah terlalu singkat dan tenaga sudah semakin susut, cara bekerja harus bersesuaian.
Kemampuan diri sudah Susut....
Kederat memandu kereta sudah berkurangan, terutamanya diwaktu malam dan tenaga mengangkat baramg-barang pun sudah kehabisan. Itu antaranya. Tidak terdaya menyenaraikan yang lainnya.
Bukannya pula kami bersungut kerana itu sudah fitrah badan......
Maka saya selalu mengingatkan anak-anak supaya jangan bertangguh masa untuk membuat kebajikan. Buat segera. Semoga di Akhirat nanti kita dapat berehat dan bersantai panjang .
Minggu lepas dalam perjalanan ke Ipoh saya dan teman berhenti di Teluk Intan untuk menzirahi seorang teman lain yang sudah lama tidak bersua dan bertukar-tukar pengalaman hidup sejak bersara dari perkhidmatan awam.
Dalam Islam tidak ada istilah bersara dalam hidup kita ini, kata teman saya. Kebenaran itu susah di sanggkal.
Teman saya ini (bertudung hijau) telah memulakan sebuah projek untuk anak-anak yatim, miskin dan berbagai lagi kategori anak-anak yang memerlukan pertolongan. Projek didirikan di atas sekeping tanah ibunya yang sudah diwakafkan. Sudah lama saya tidak berkunjung ke sana dan kini projek itu sudah diambil alih pengurusannya oleh sebuah NGO dan menjadi Pusat Tahfiz alQuran. Nama rasminya Sekolah Menengah Islam Tahfiz alAmin, di Kampung Pengkalan Ara, Cenderong Balai.
Konsep pengurusan projek sudah bertukar sedikit dari apa yang dimulakan olehnya dahulu. Teman saya menjelaskan dalam nada penuh kesyukuran. Saya mendengari penuh minat kerana sudah sewajarnya projek ini diurus oleh sekumpulan professional kerana teman saya ini seangakatan dengan saya dan pastinya kemampuan pergerakan minda dan fisikal sudah berkurangan. Kami semua sudah diperbatasan umur tujuh-puluhan.
Cuma kami tidak mahu mengalah dengan mudah untuk duduk diam dan membuat kerja-kerja rutin sahaja seharian. Kami yakin bahawa kecerdasan mental harus dicabar secara berterusan semoga dengan izin Allah kita tidak menjadi lemah dan baki umur yang ada tidak menjadi suatu yang membebankan diri dan juga orang lain. Itulah yang kami istilahkan sebagai melawan arus........
Kerja untuk kebajikan berterusan. Seorang ustaz mengatakan bahawa kita harus berusaha walaupun kita sudah diberi tahu esuk akan Qiamat. Allah maha mengasihani dan maha bijaksana. Teruskan berusaha. Yang lainnya adalah urusan Allah semata-mata.
Syabas saya katakan pada teman saya yang memulakan projek ini. Foto-foto di atas menunjukan betapa besarnya perubahan yang sudah berlaku.
Alhamdulilah. Usahanya boleh dipelajari dan pengorbanannya boleh dicontohi.
Kami meneruskan perjalanan ke Ipoh dan samapai jam 8 malam.
Penat tetapi seronok dapat bertemu dan bersilaturrahim disamping mengambil iktibar atas apa yang dilihat dan didengari. Kami bersyukur Allah masih memberi ruang dan peluang untuk berbakti walau pun kecil dan bergerak meniti-niti. Semoga kami tidak perlu berlabuh diri dan semoga arus yang kami tempuhi hari demi hari dapat kami layari dengan pertolongan Rabb, Allah yang maha tinggi. Aamiin.....
....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment