"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, March 29, 2016

Hak untuk meneruskan hidup.....




KELANGSUNGAN HIDUP adalah satu istilah yang seorang teman saya gunakan untuk untuk menerangkan bahawa setiap manusia mahukan hidup selesa tanpa banyak masaalah. (walaupun secara fitrah Allah turun kesusahan untuk munguji dan meningkatkan Iman hamba-hambanya).

Sepertinya ia menjadi hak seseorang untuk meneruskan hidup mengikut cara yang terbaik dan termampu yang ia boleh lakukan. Biasanya ini berlaku jika seseorang itu mahu melepasi sesuatu masaalah yang mendesak atau sesuatu trauma hidup yang berlaku yang mesti dilalui bersendirian. Maka seseorang itu akan membina sikap berani untuk mengambil sesuatu tindakan yang ia fikirkan itu baik dari padangan matanya dan mata hatinya walaupun jika dilihat oleh orang lain ia adalah tindakan yang salah dari kelangsungan hidup dan dari segi hukum hakam yang sebenarnya.

Apabila sesuatu tragedi berlaku pada seseorang ia berhadapan dengan beberapa cara untuk ia mengambil tindakan bagaimana mahu memahami dan menerima fenomena ini dan kemudian mengambil tindakan yang difikirkan sesuai dan efektif untuk menangani trajedi itu. Kekadang trajedi itu kecil sahaja pada kebiasaan pandangan orang. Tetapi bagi yang menanggunganya ia mungkin besar. Kata pepatah Melayu : Berat mata memangdang, Berat lagi bahu memikul.

Denagan lain perkataan seseorang yang berhadapan seperti ini akan berfikiran bagaimana ia boleh "survive", iaitu bagaimana ia boleh terus hidup. Deria naluri "mesti cari jalan untuk hidup" atau "survival instinct" akan memfokuskan mindanya kesuatu fikiran yang mudah dan selamat. Apabila seseorang itu dalam keadaan terdesak bagai mana mahu terus hidup, dia percaya dia semacam ada satu hak untuk berbuat apa sahaja asalkan ia hidup dan selamat. Kekadang tindakan itu bukan untuk dirinya sendiri sahaja tetapi mungkin anaknya yang masih kecil-kecil atau untuk orang tuanya yang tua dan uzur.




Itulah manusia.

Manusia bukan haiwan seperti koala bear yang di atas ini. Perangai dan sikapnya untuk hidup mudah sahaja. Apabila sudah kenyang makan ia akan tidur lenyak dan tidak hirau apa yang berlaku di sekelilingnya. Itulah maklumat yang saya dapat semasa melancung ke Australia beberapa tahun yang lalu. Bagaimana makan? Seperti ia tawakal sahaja. Pastinya nanti ada habuan makan. Begitu fahaman saya.

Manusia pula akan berikhtiar. Dalam berikhtiar ia akan terpaksa berbuat sesuatu yang kadang kala membahayakan dirinya. Contohnya seperti orang-orang pelarian ekonomi yang mahu mencari peluang pekerjaan yang baik di negara yang maju. Ada yang menaiki kapal laut yang lebih muatan dan apabila ada taufan akan terkandas dan tenggelam. Ada yang selamat. Kita selalu membaca atau mendengari cerita-cerita seperti ini.

Dalam contoh yang mudah, seorang bapa atau ibu akan mencuri semata-mata mahu membeli susu atau makanan untuk anak-anak yang masih kecil. Kita selalu juga mendengari kes ibu-ibu tunggal yang mencuri untuk memastikan anaknya dapat makan dan terus hidup. Berbagai lagi yang kita dengar cerita-cerita "survivalist" seperti ini.

Di sini saya ingin kongsikan cerita seorang yang sudah dewasa tua dalam lingkungan umur tujuhpuluhan yang ditinggalkan suami kerana menikahi seorang perempuan muda, amat muda yang mampu dikurnia zuriat. Isteri tua tidak mendapat perhatian yang secukupnya atas berbagai sebab. Mungkin kerana kedudukan ekonomi suami tidak mantap atau kerana seorang yang begini tua sudah pastinya tidak mampu ke sana dan kesini melayani dua isteri. Terutamanya di bandar besar yang selalu menghadapi kesesakan lalu lintas.

Isteri yang tua ini pastinya kecewa kerana dalam umur yang begitu lanjut suaminya masih berangan-anagn besar untuk memulakan keluarga baru. Mahu membuktikan ia masih "macho". Isteri tua ini tidak banyak pilihan dan mengikut deria naluri mahu terus hidup (survivalist) pastinya ia membina sikap berani dan kadang kala dikatakan tidak sopan dalam mendapatkan nafkah yang mecukupi kerana sang suami tidak melayanai dan menyantuninya seperti biasa. Dia bukan engkar hukum hakam dan tidak boleh dikira dia durhaka. Cuma ia perlu mendapat keselesan seperti dahulunya dan padanya ini adalah suatu hak asasi seorang isteri. Jika ada anak, sang suami tidak boleh melepaskan tanggogjawabnya pada anak-anak kerana dia masih kuat dan berkemampuan. Kalau tidak manakan ia berkahwin lagi.

Isteri mudanya pun bertindak tanpa usul periksa. Mungkin kerana hawa nafsu atau mengira mahu tumpang kaya. Suami yang sudah lanjut umurnya itu boleh dikira sebagai mangsa kerana dapat nasihat yang kurang sempurna. Tidak berfikiran panjang mengenai masaalahnya. 

Kasihan saya dengan ibu tua ini. Anak-anak mereka yang sudah dewasa hanya memerhati sahaja...........entah apa-apa difikiran mereka.

Saya juga megenali seorang wanita yang di tinggalkan suami dengan anak-anak kecil. Dia bukan terpelajar dan tidaklah boleh mencari pekerjaan untuk menyara anak-anak. Maka ia mencari upah kerja kasar itu dan ini mengikut keadaan. Ia meminta-minta di pejabat pusat zakat mahu membuktikan ia tergolong dalam kumpulan asnaf yang sewajarnya diberi perhatian. Kasihan saya juga padanya.

Banyak lagi cerita-cerita seperti ini. Apa yang harus kita fikirkan ialah bagaimana masyarakat mengadili kes-kes seperti ini dan bagaimana membantu yang benar-benar berkeperluan mendesak supaya mereka tidak mengambil tindakan yang tidak sah dan tidak selamat. Ada wanita yang kemudiannya menjadi pelacur demi sesuap nasi dan bumbung untuk tidur dan demi tidak menjadi golongan yang bergelandangan, duduk di bawah jambatan dan rumah-rumah buruk yang ditinggalkan tuannya.

WaAllahu'alam.

Mohon perlindungan Mu ya Rabb....


.......

No comments:

Related Posts with Thumbnails