"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, March 15, 2016

Ibu sakit jangan dibiarkan sendiri...







Melihat foto ini yang dihantar oleh seorang teman di media sosial, saya teringat seorang perempuan yang saya duduk sekali bersamanya menanti giliran mengambil ubat di Hospital University Malaya baru-baru ini. Lama kami menunggu dan saya rasa agak resah kerana saya datang ke klinik endocrine jam 8 pagi dan pada jam 12th urusan belum selesai lagi.

Untuk menghilangkan stress menunggu saya menyapa seorang perempuan berumur dalam lingkongan awal lima-puluhan yang saya perhati dari rupa parasnya, sepertinya ia berharap kalaulah boleh dipercepatkan prosidur mengambil ubat ini. 

"Dah lama menunggu giliran ?" saya memulakan perbualan.

"Lama jugalah. Di sini memang selalu lambat. Di sini saya kena bayar untuk ubat ini" dia menjawab langsung memberi maklumat yang saya kira dia tidak seronok.

"Saya ada suami bekerja di DBPJ. Tetapi dia tidak mahu urus bayaran kerana katanya lama untuk mendapat bayaran balik dari kerajaan.

"Eh mengapa pulak gitu. Sekarang sudah ada sistem yang Farmasi ini boleh beri ubat terus percuma. Kita kena beri maklumat pada Doktor yang memeriksa kita dan dia akan tanda tangan borang ini (saya tunjuk borang yang dipegang) dan kita bagi pada kaunter ubat. Insha-Allah tidak ada masaalah. Saya pesara kerajaan dan saya tidak ada masaalah." Saya tunjuk padanya contoh borang saya dengan tanda tangan Dr. Saya memberi penerangan panjang lebar padanya untuk benar-benar ia faham supaya ia mudah mengingat.

"Oh ye ke? Saya dibagi tahu kita bayar dulu dan claim balik kemudian."

"Tidak.....Minta waris yang kerja kerajaan datang jumpa doktor dengan surat dari Majikan. Tandatangan ketua Jabatan atau wakilnya pun sudah mencukupi bukti kita boleh dapat ubat percuma."

"Ok nanti lain kali saya ajak anak saya datang, sebab anak saya pun kerja kerajaan."

Saya rasa lega kerana dia faham.

Wanita ini memberi tahu saya bahawa dia sakit kanser payudara. Selalunya dia kenna bayar ubat hingga rm500 sekali bayar. Dan ubat-ubatan ini kena ulang makan.

Terkejut saya sebab apabila saya tanya bekerja sebagai apa, dia mengatakan dia bekerja dengan kontraktor cuci bangunan. Dalam keadaan sakit demikian dia berusaha kerja kuat untuk menyara diri yang uzur. Tabah sungguh sikapnya. Saya agak hairan mengapa dia berurusan sendiri. Dia ada suami dan ada anak yang bekerja. 

Subhanallah....

Saya tidak mahu berburuk sangka mengenai keluarganya. Pasti ada masaalah yang saya tidak mengetahui. Apabila saya sampai di rumah saya ceritakan hal ini pada anak-anak saya untuk ambil iktibar.

Semoga anak-anak mengambil berat tentang kesihatan ibu. Bukan setakat menjaga makan minumnya sahaja. Jangan bersikap nafsi-nafsi dengan kedua ibu bapa. "Tiket" kita ke Syurga banyak bergantung sama ada kita menjaga kesejahteraan mereka sepenuh masa apabila mereka sakit dan uzur.

Semoga Allah memberi Taufik dan HidayahNya.


.......

No comments:

Related Posts with Thumbnails