"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, March 11, 2016

Rindu anak-anak di Garut.....


Dalam melalui kegawatan hidup dari berbagai sudut, saya rasa mahu "menghilangkan diri" seketika untuk berfikir-fikir bagaimana saya tidak akan kecewa dan kecundang dalam menangani karenah hidup. Kalaupun tidak sempurna di dunia, semoga di akhirat Allah terima dan semoga termasuk dalam golongan orang-orang yang mendapat anugerah rahmatNya yang tidak terhingga.

Maka saya ke Garut bersama beberapa teman yang sememangnya sudah merancang untuk ziarah "anak-anak angkat" di sana.

Garut terletak lebih kurang tiga jam dari Bandung atau lima jam dari Jakarta. Garut terletak di kawasan pergunungan dan udaranya amat nyaman. Lebih nyaman dari Cameron Highlands di Malaysia.




Ini adalah antara pemandangan di sepanjang jalan ke Garut. Cantik dan amat membuat minda saya teruja. Kelihatan petani bergotong royong menuai padi dan semangat ini membuat saya teringatkan arwah emak dan bapak saya yang berasal dari Solo di tanah Jawa. Rasa juga kesayuan di hati kecil saya teringatkan pesanan-pesanan bapak yang tidak pernah luput dari minda dan hati. "kita hidup miskin, tapi jangan sampai memintak-mintak." Dia mahukan anak-anak berkerja keras supaya boleh berdikari sebagai kaum pendatang. Alhamdulilah kami bersyukur......Allah kurnia kami rezki yang mencukupi.





Anak-anak yang kami rindui adalah pelajar sekolah di Situwangi Boarding School yang telah banyak saya ceritakan dalam entry blog saya lebih lima tahun yang lalu. Saya antara beberapa orang yang telah bersara dari bidang masing-masing tampil membantu penubuhan sekolah ini.

Dalam perjalanan ke Garut kami melalui beberapa bandar kecil. Jalan Raya sempit dan penduduk agak padat. Ada kenderaan tradisional dalam pengangkutan penduduk tempatan. Saya rakam antaranya di bawah ini. Ia membuat saya rasa insaf melalui liku-liku hidup.








Masih ada kereta kuda untuk mereka yang berpendapatan amat rendah, dan untuk pelajar mereka bersesak di atas lori kecil untuk menuju ke destinasi yang di tuju.




Jalan tetap sesak dan ada di satu situasi kami mengalami jalan yang macet (jam) selama sejam untuk bergerak 200 meter kerana ada keramaian socio politik. Begitulah perjalanan dunia. Rakyat dihiburkan untuk mencapai matlamat yang tersembunyi.



Kami melalui Masjid Iqro yang pernah kami singgahi dalam perjalanan kami beberapa tahun lalu. Sebuah nostalgia kerana di sini ada kolam ikan untuk tujuan SPA mencuci kaki. Tersenyum sendirian.

Akhirnya kami sampai setelah hampir 5 jam diperjalanan.

Kampus Situwangi Boarding School ini cantik sekali. Saya rakam di bawah ini beberapa sudut yang terpaku diingatan saya. Cuaca hujan gerimis dan langit mendung. Kamera talipon saya tidak canggih dan ini hasilnya.





Bangunan-bangunan yang ternampak jauh di seberang tasek 
itulah Situwangi Boarding School.








Kampus yang ada sekarang sudah banyak berbeza. Landskap sudah subur dan amat sejuk mata memandang.Kami dijamu makan setelah berehat seketika dan kali ini kami duduk di gazebo yang dibina secara gotong royong. Di tempat ini juga ada pelajar yang membuat hafazan harian selain di masjid dan bilik darjah. Saya rasa teruja betapa sekolah ini sudah mencapai kemajuan yang memuaskan.





Ini Ustaz Muhib,(memakai kopiah) Pegetua Sekolah ini. Dia lulusan University Madinah dan PHDnya tidak silap saya dari UKM. Alhamdulilah dia punya wawasan dan karisma yang boleh menggerakan guru dan staff ke arah yang dituju.










Saya rakam sebagai kenangan foto di hadapan gazebo.
Setelah makan kami masuk ke masjid di mana pelajar-pelajar sedang menunggu untuk bertemu kami.


Semuanya pelajar lelaki dan keutamaan diberi pada anak-anak yatim yang berpotensi tinggi. Semua pelajar ditaja oleh kumpulan usahawan yang membangunkan sekolah ini. Pelajar terdiri dari kawasan daerah-daerah terdekat kerana tujuan asal ialah untuk membangunkan masyarakat di Situwangi yang sangat ketinggalan dalam pembangunan socio-ekonomi negara.




Ini sessi perjumpaan. Ustaz menerangkan kepada pelajar bahawa kamilah antara orang-orang yang mula-mula membangunkan sekolah ini. Kini sudah ada 120 bilangan pelajar. Pada permulaannya hanya 30 sahaja. Kini sudah sampai tahun keenam dan ada pelajar-pelajar yang sudah dikenal pasti untuk menyambung pengajian di luar negara, bukan sahaja di bidang Al Quran tetapi juga dalam bidang akademik yang lain. Dan mereka sedang mengikuti pembelajaran bahasa Inggeris secara intensif.

Alhamdulilah.....Situwangi Boarding School sudah menampakan potensi yang boleh di beri pujian yang sewajarnya.

Di sekolah ini anak-anak dilatih puasa Isnin-Khamis, Qiamulail dan aktiviti ko kurikular yang membina fisikal yang kuat dan cergas. Ibu Hanifah adalah usahawan yang kini menjadi tulang belakang sekolah dan dia amat komitted untuk memastikan kejayaan sekolah ini menepati kesejahteraan dunia dan akhirat.

Dalam sessi ini kami diberi peluang menguji tahap kemajuan pelajar dalam hafazan dan dalam berpidatu dalam bahasa Inggeris dan Arab secara spontan. Amat mengkagumkan buat saya. Alhamdulilah.....



Ini antara ujian yang sedang dijalankan. Kami amat berpuas hati dan lawatan kami amat memberi munafaat. Pelajar lama yang mengenali dan ingat pada peranan kami tidak ada pada hari itu kerana ada aktiviti ko kurikula di luar. Yang tinggal hanya seorang sahaja yang ada dalam tahun lima.


Kami pulang ke Jakarta hingga lewat malam dan sempat ngopi di pertengahan jalan sambil merehatkan supir yang memandu kami.

ini sebuah ziarah yang penuh nostalgia dan semoga kami dapat ziarah lagi di masa akan datang.
 Semoga Allah terus memimpin ahli pentadbiran sekolah dan kami semua dalam perjalanan kami mencari redha Allah. 
Aamiin ya Rabb....

......

No comments:

Related Posts with Thumbnails