"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, March 14, 2016

Halaman rumah emak......





Ini bukan halaman rumah emak saya. Ini ehsan google. Tetapi foto-foto seperti ini selalu mengingatkan saya akan kegemaran arwah emak saya. Ia amat suka menanam pokok-pokok yang berbunga di keliling rumah di kampung saya dilahirkan, di Pontian, Johor. Bunga yang mudah ialah bunga kertas atau bouginvila. Berwarna-warni dan nampak ceria dari jauh. Tetapi emak saya dari umur setengah tua apabila sudah agak tidak cukup kederat, ia menanam bunga di pasu. Dia suka juga bunga orkid.

Emak saya meninggal dunia dalam umurnya lebih kurang 96 tahun pada tahun 2004. Kakak-kakak saya di kampung yang menjaganya sudah berumur enam-puluhan lewat ketika itu dan mereka pun sudah mula kurang kederat dan tidak dapat membantu emak saya menanam pokok-pokok bunga seperti mereka muda dahulu. Maka mereka memikirkan satu idea bagaimana mahu menghibur emak saya dengan membuat halaman rumah saya namapk ceria dengan bunga warna warni.

Suatu hari saya pulang kampung (ketika awal tahun 2000 saya belum bersara) saya agak terkejut kerana dari jauh lagi saya sudah nampak di halaman rumah dan di tepi varandah rumah kelihatan bunga berwana warni dengan banyaknya. Rupa-rupanya kakak-kakak saya mencacakan bunga-bunga plastik yang terjual di pasar raya dalam pasu-pasu yang ada daun tetapi tidak ada bunga. Kalaulah saya ada kamera ketika itu dapatlah saya rakamkan untuk mengingati peristiwa unik usaha kakak-kakak saya mahu membuat emak saya ceria.

Ketika itu emak saya sudah banyak duduk di kerusi roda dan deria penglihatan sudah amat kurang. Tetapi ia masih boleh membeza warna dan keadaan cuaca. Dia hanya menayakan seperti biasa sama ada pokok-pokok sudah disiram air. Bila sudah, dia rasa puas hati dan duduk di varandah buat beberapa ketika menyedut udara nyaman di kampung dan melihat bunga berwarna warni. Emak saya tidak dapat membezakan bunga palstik dan yang asli kerana sudah tidak berkederat untuk berjalan memegang dan melihatnya dari dekat. Kakak-kakak saya hanya mahukan suasana ceria untuk emak dan tidak berkata apa-apa tentang bunga hasil kreativitinya.

Semoga Allah mengampunkan usaha mennanam bunga yang tidak natural dan asli ini. Anak-anak bukan mahu membohongi emak. Cuma mengubah cara kerana mereka pun sudah mula penat-penat untuk menanam pokok-pokok bunga yang memerlukan jagaan yang rapi. Kakak-kakak saya mahu menjaga emak sebaik mungkin dan tidak berkemampuan mendapatkan tukang kebun berbayar untuk menyeronokan emak.

Semoga Allah meredhai usaha kerdil ini dan dapat bersama emak lagi di Syurga nanti dengan kurniaan Rahmat Allah yang tidak terhingga. Aamiin ya Rabb....


.....

3 comments:

noraini said...

He he memang kreatif. Amal soleh menghiburkan ibu

noraini said...

He he memang kreatif. Amal soleh menghiburkan ibu

ngasobahseliman said...

Dear noraini. Walau apa pun hari-hari ingat emak. Esuk anak-anak kita ingat apa dari kita. Hanya boleh masak yang biasa-biasa sahaja. Pasti tak ingat pasal makanan. Agaknya ingat pasal selalu berleter.

Related Posts with Thumbnails