"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, May 28, 2012

TERINGATKAN EMAK.






Hari Ahad yang lalu saya ke rumah anak lelaki saya di Puchong untuk melihat-lihat apa yang perlu dibuat sebelum ia berpindah rumah dari Kelana Jaya. Dalam umur saya sebegini tidaklah banyak yang dapat saya bantu. Saya hanya membaca surah alBaqarah kerana mengikut nasihat seorang ustaz bahawa eloklah rumah diisi dulu dengan ayat-ayat alQuran.

Sebak sedikit dihati teringatkan emak saya semasa saya masuk rumah yang saya baru beli nun dalam tahun 1976. Ketika itu bukan ramai golongan muda membeli rumah dan belum banyak taman-taman perumahan dibina. Saya membeli kerana rakan-rakan pegawai JKR yang menggalakan saya membeli. Pinjaman Bank pun amat mudah ketika itu. Tetapi saya tidak pandai mengaji dan tidak ada sesiapa yang menasihatkan saya bagaiman cara terbaik masuk ke rumah baru.

Cuma Emak saya yang datang membantu. Saya belum berumah tangga waktu itu dan pengalaman hidup amat sedikit sekali. Emak saya tinggal bersama untuk beberapa hari dan dibawanya bersama alat dapur dan tikar bantal untuk saya. Katanya itu "adat orang Jawa". Ia sebagai asas memulakan kehidupan berasingan dari emak. Saya tidak banyak soal dan menerima seadanya.

Emak saya membersihkan tanah yang hanya berapa jengkal luasnya di hadapan rumah jenis rumah terrace. Saya ingat lagi saya terpaku melihat kerajinannya. Dicabutnya rumput-rumput yang ada dan dibuangnya batu-batu yang tidak sepatutnya ada disitu.Halaman rumah saya jadi bersih dan kemas.

Ia berpesan: "Jangan kau jual rumah ini walau apa pun. Nanti tak berkat."
"Kenapa gitu, Mak ?" Saya tanya.
"Itu kata orang-orang tua."

Saya diam tidak membantah.
Bila teringat pesanan itu, sebak dihati. Kerana rumah itu saya jual dan menjadi sebahagaian bayaran kos rumah yang saya tinggal sekarang ini.

Pada hari Ahad itu saya terfikir. Mungkinkah anak-anak kita mengingati kita begitu. Setua mana dan sepandai mana seorang anak itu, emak tetap emak. Pesanan-pesanan tetap ingat dihati. Walau tinggi kelulusan kita sekalipun dan canggih dalam banyak hal, emak punya rahsia hidup dan punya warisan pedoman hidup yang tidak lapok dek zaman. Itu saya amat yakin dan suka "mendengari" apa yang emak saya tidak katakan. Lihat dipandangan matanya ketika bercakap-cakap, kita boleh merasai sesuatu. Emak saya selalu berkata "Orang tua tumitnya ada mata". Saya selalu sahaja memikirkan apa lagi yang saya mesti faham dari kata-kata itu walaupun sekarang dia sudah tidak bersama lagi.

Saya rasa anak-anak sekarang tidak begitu. Sudah banyak perubahan budaya berlaku di luar sana, maka pengalaman dan sedikit pegetahuan yang ada pada emak sudah tidak diambil kira dalam mereka membuat keputusan mengenai hidup. Agaknya begitulah peredaran hidup sekarang. Tidak perlu berfikir-fikir. Terima seadanya.

....

2 comments:

Makbonda Hasimah Hj Zailani said...

Salam,

Semasa saya mula-mula masuk rumah sendiri,emak datang membawa talam besar,kuali,lesung batu dan cerek.

Saya sengaja tidak membeli lesung batu kerana sudah ada blender,tidak beli talam sebab dah ada meja,tidak membeli cerak kerana sudah ada electric kettle.Pada masa itu emak masih susah,saya adalah anak pertama yang bekerja,adik-adk masih sekolah.

Jawapannya;
"Dulu pun masa mak masuk rumah baru embah bagi barang-barang macam ni"

"Yalah,dulu mak susah,sekarang kan saya dah kerja"

Sekarang barang-barang pemberian beliau itulah yang kerap saya guna.

ngasobahseliman said...

Salam Asimah. Ingatan nostalgia. Saya dah tak ada peninggalan emak saya. Cuma saya terfikir dulu embah di Indonesia agaknya bawakan apa pada emak dan bapak bila berhijrah ke Malaya. Tak sempat tanya. Agaknya parang dan kapak-kapak tajam untuk tebang hutan. Dulu tak pandai tanya. Bapak saya meninggal saya umur 16 tahun, belum habis SPM dulu Senior Cambridge Examinations. Simah mungkin tahu sejarahnya. Eluk Asimah tulis warisan Jawa kerana masih ada emak dan embah untuk ditanya. Saya tunggu.

Related Posts with Thumbnails