"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, May 27, 2012

WALAUPUN IA SEINDAH ISTANA...


(Dedicated to my Special Sister in Islam. Like this tree, She still stands Tall).

Hari ini kau beritakan,
Telah kau hadiahkan pada ku sebuah kediaman
Cantik dan indah di taman yang melambangkan kemewahan.

Dengan senyuman kau katakan
Ia untuk ku dan anak-anak kesayangan
Merencana hidup selamat dari semua bentuk kesulitan.

Sekeping kertas sebagai bukti kediaman itu bukan hanya sebutan
Ia benar-benar wujud supaya aku tidak gelisah ingatan
Tidak ternanti-nanti, tertanya-tanya apa kedudukan.

Tetapi....

Walau seindah Istana yang kau berikan
Bergemerlapan dengan hiasan yang belum pernah ku saksikan
Sudah tidak bermakna bagi ku wahai suami, teman yang ku sangka berpanjangan
Teman yang dapat ku berpaut kuat bila ketakutan,
Teman yang sentiasa mendengari rintihan ku semasa kita diselubungi kesusahan
Semasa kita tidak pasti apa habuan di masa hadapan.

Waktu itu kau teman sejati bagi ku, menggunung tingginya harapan
Walau ribut, walau taufan, badai berlalu hatiku riang, fikiranku tenang.
Kau teman yang  meyakinkan hidup ini sangat bererti kalau ada kasih sayang
Lantas aku selalu berkejaran memastikan engkau tidak kehujanan, tidak kepanasan,
Demi kasih yang kita ikrarkan dalam kesejukan salju diperantauan.

Aku sebenarnya tidak hairan dengan kemewahan
Sebelum janji ikrar diikatkan aku telah pun mewah Allah kurniakan
Melalui Ayah ku tersayang, prihatin keluarga penuh pesanan,
Hidup ini sementara jangan sampai kecundang.
Ayahku dulu pun bukan orang sembarangan, tidak merempat, tidak rasa kerisauan
Ia punya cukup sumber dan hidup ku penuh keselesaan, walaupun ia bukan jutawan.
Jadi, ... apalah kemewahan....

Kini kita jarang bertemu dan tiada lagi gurau senda gelak ketawa kedengaran
Kehadiran mu hanya untuk memastikan aku tidak kelaparan dan anak-anak selesa berkecukupan
Tidak lagi ku rasai ketenangan dari senyuman  yang diselimuti pengorbanan
Tidak lagi ku rasai sentuhan yang indah seperti dulu, nyaman dirasakan
Walaupun ketika itu kita  kepenatan  dan kelesuan tiada dana dalam simpanan.

Aku tidak menyesali pengorbanan ku kerana itu milik Tuhan sekelian alam
Aku hanya tersedih melihat engkau kebingungan mencari tapak kesenangan
Yang kau kira hanya tercapai di sisi si cantik manis seharian
Yang kau kata itu keperluan asasi yang dalam Islam tiada halangan.

Sebenarnya aku juga punya keperluan asasi yang telah pun semuanya ku korbankan
Demi kasih yang ku cari semoga berkekalan.
Engkau tidak melihatnya dengan mata hati, dan aku ini hanya sampingan.
Aku tersedih kerana rupanya itu mimpi ku sendirian dan kini aku keseorangan

Kau  hanya pulang setakat memenuhi syarat janji yang Allah sebut pasti
Hati mu tidak kau bawa bersama untuk ku lagi  seindah dulu merasai
Keriangan yang selalu ku dengari kini sunyi dan aku pun tidak engaku hampiri.
Anak-anak remaja telah memahami dan mereka rasa berbelah bagi
Mahu sahaja mereka lari mencari keriangan seperti dulu yang kini tiada lagi
Hanya pertanyaan kabar yang di sebut dibibir dan bukan dihati.

Jadi....

Walaupun Istana permata baidurii yang kau beri
Ia tiada ertinya lagi
Dan aku pun sudah hampir  tidak mahu peduli
Hanya anak-anak yang berhak mempunyai
Kekayaan yang kau raih sepertinya aku tiada peranan sama sekali
Tetapi demi anak-anak ku tunggu pasti
Kerana aku bukan pengemis kasih dan bukan engkau yang harus mengadili

Aku punya harga diri
Aku punya hati
Biar Allah yang mendengari
Pastinya dia ada perhitungan bagi setiap diri.
Maghfirahnya ku pohon hingga ke hujung dunia ku cari
Kerana aku insan kerdil, pertolongan Allah sahaja yang aku pasti.
Semoga Dia meredhai kerana luka dihati ku tidak terperi.
Ya Allah yang maha Pelembut maha Tinggi,
Pada mu aku pasrah semoga jasad dah Ruh ku ada tempat kembali.
Syurga Firdaus yang ku pohon ku nanti dan ku nanti,
Berkekalan dengan Rahmat Mu, wahai yang maha Mengasihi, maha Mengasihani.


....

2 comments:

Kerabu Jantung said...

Semoga 'Aku' akan dikurnia Allah kebahagian yang lebih dari yang ada sekarang.

ngasobahseliman said...

Salam sister KJ. Itu pun doa saya.Terima kasih. Entah kenapa hari itu saya teringat akan dia.

Related Posts with Thumbnails