Dari awal minggu saya berada di Tangkak, Muar dan Johor Bahru cuba mencari jalan bagaimana hendak meningkatkan kualiti perkhidmatan dan bagaimana hendak meyakinkan staff bahawa semua yang terlibat dalam membangunkan insan kecil harus berilmu dan berketerampilan. Hanya dengan ilmu (termasuk menjalin kasih sayang) dan kesabaran sahaja dapat seseorang itu memikat hati anak kecil dan mengasuhnya ketahap yang kita mahukan. Ilmu amat perlu. Keterampilan fisikal juga amat penting.
Hasil dari net-working Ibu Norlida (melalui kursus-kursus yang dihadiri), kami pergi melawat sebuah Taska di Johor Bahru bernama Taska Anak Permata Ceria (TAPC). Pengusahanya ialah En Khairy seperti dalam foto di atas. Beliau seorang jurutera terlatih dari Leeds tetapi punya minat yang tinggi dalam bidang pendidikan hasil dorongan isterinya yang mengurus sama. Isterinya juga seorang jurutera dan kerana minat dalam bidang ini beliau mengambil diploma Pendidikan Awal kanak-kanak dari Leeds juga. Beliau bepengalaman bekerja di sebuah Institusi yang berkaitan dan bila kembali ke Malaysia mereka suami isteri menubuhkan TAPC dan kini sudah beroperasi selama empat tahun.
Saya amat tertarik hati dalam semua aspek operasinya dan membawa pulang ke SmarTop sedikit sebanyak apa yang kami lihat dan pelajari. Semoga Allah memberi kekuatan serba serbi untuk melaksanakannya.
Setelah sessi perbincangan, kami melihat-lihat sekeliling TAPC ini
bagaimana ia mengimplementasi prinsip dan theory pendidikan awal
kanak-kanak selama 4 tahun.
Dalam kawasan yang terhad TAPC masih mampu membuat tempat
permaianan di luar bangunan.
permaianan di luar bangunan.
Kebetulan kami sampai waktu tengah hari dan anak-anak sedang tidur. TAPC mengasuh seramai 51 anak-anak ketika ini.
Kami tertarik hati dengan katil kecil seperti ini yang diperbuat di negara China.
Saya pernah melihatnya di sebuah institusi pra sekolah semasa saya melawat Yunan, China baru-baru ini. Suasana nampak kemas dan teratur.
Anak-anak tidur nyenyak.
Anak-anak tidur nyenyak.
Tiga foto di atas saya rakam semasa kami di Yunan. Ini pra sekolah Islam di Yunan dan anak-anak fasih dan lancar menghafaz al Fatihah beserta maknanya. Saya kagum. Institusi ini adalah tajaan swasta dan Pemerintah tidak memberi apa-apa bantuan. Komitmen dan kerjasama penduduk setempat
amat mengkagumkan. Ia harus dicontohi.
amat mengkagumkan. Ia harus dicontohi.
Kembali semula ke TAPC. Saya rakam beberapa sudut dan dokumen pengurusan yang akan kami contohi di SmarTop, in sya Allah.
Kami akan olah mengikut keadaan semasa dan setempat.
Stuktur sosio-ekonomi di Tangkak tidak sama dengan Johor Bahru.
Kami akan olah mengikut keadaan semasa dan setempat.
Stuktur sosio-ekonomi di Tangkak tidak sama dengan Johor Bahru.
Di peringkat bayi, susun aturnya juga menarik. Lebih menarik pada saya ialah apabila diberi tahu ibu-bapalah yang menyediakan peralatan tidur bayi
dan mereka yang membasuhnya mengikut jadual yang ditetapka.
Ini pembaharuan yang kami akan contohi bermula 2015 di SmarTop nanti.
Ia akan mengurangkan beban pengasuh dari segi pengurusan dan mereka akan lebih fokus pada pendidikan dan permainan.
TAPC juga punya taman kecil binatang untuk menjana kefahaman anak-anak menyayangi makhul Allah yang lainnya. Di Yunan binatang ternakan untuk pemerhatian anak-anak termasuk lembu dan unta.
Sekembalinya dari Tangkak, saya bercerita dengan suami saya cadangan pembaharuan untuk tahun 2015. Saya mengimbas kembali kekuatan yang ada. Foto di atas menunjukan sebahagian ahli 'Parents Support Group' yang banyak membantu dan mungkin masa hadapan mereka tidak bersama kami lagi. Maka harus ada pemikiran baru terutamanya dari segi menjana dana untuk SmarTop.
Tanpa prejudis saya ingin mencungkil pengalaman laluan kerjaya berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak. Saya teringat apa yang pakar Bank Dunia mengatakan semasa berbincang mengenai hasrat Kementerian Pendidikan mahu menubuhkan dan mengurus institusi pra sekolah seluruh negara. Ini cadangan pada akhir tahun tujuh-puluhan. Ketika itu mereka tidak minat membina pendidikan pra sekolah berasaskan kajian yang mereka percayai sebagai dasar. Katanya jika anak membangun dan membesar dalam keadaan sihat fisikal dan sihat emosi, ceria dan aktif, maka tidak perlu mereka hadir pendidikan pra sekolah. Kajian mengatakan anak-anak ini mampu mencapai kepintaran dan keterampilan sama dengan mereka yang menghadirinya dan akan setaraf dalam masa setahun dua.
Ketika itu kami tidak banyak bicara dan akur sahaja kerana tidak ada bukti nyata mengenai kekuatan pendidikan pra sekolah di Malaysia. Pakar Bank Dunia ketika itu lebih minat untuk program yang mempertingkat socio-skonomi keluarga supaya mampu melahirkan anak-anak yang kuat, sihat dan cergas.
Bila saya imbas kembali hal itu, saya fikir ia sudah tidak relevan kerana wawasan institusi pra sekolah kini sudah banyak berubah. Kebanyakan pra sekolah sudah tidak lagi menitik beratkan keterampilan 3R atau 3M semata-mata tetapi mereka mahu membina minda dan emosi termasuk kefahaman dan penghayatan mereka mengenai mengapa mereka lahir kedunia ini, apa mereka mesti buat sekarang dan apa mereka mesti buat masa akan datang. Senario ini diolah mengikut kesesuaian umur anak-anak. Dengan perkataan lain pendidikan di pra sekolah juga mahu memberi kefahaman mengenai kebesaran Allah yang maha esa dan maha bijaksana. Dari seawal ini semua ilmu akan diintegrasikan dan disepadukan mengikut kemampuan.
Foundation penjanaan ilmu dan emosi yang kuat dalam umur seawal dua tahun akan dapat membina kematangan sesuai dengan proses pembesaran anak-anak tahun demi tahun.
Dalam ingatan saya Kementerian Pendidikan menubuhkan pra sekolah semasa saya belum bersara, tak silap saya awal tahun 2000. Saya berfahaman antara tujuannya ialah untuk memastikan ia selaras dengan dasar pendidikan negara seluruhnya. Tujuan asal ialah untuk melaksanakan program ini untuk semua anak-anak di seluruh negara, tetapi akhirnya perancangan itu tidak dapat di laksana sepenuhnya kerana kekangan kewangan. Namun keperluan untuk pendidikan pra sekolah masih menjadi satu kepentingan umum.
Berbagai institusi pra sekolah persendirian kini wujud di seluruh Negara. Ada yang mengiklankan sistem pendidikan yang digunakan dan ada yang mengiklankan bahasa asing yang dipelajari dan yang digunakan sebagai bahasa penghantar. Tetapi yang mampu menghantar anak ke jenis institusi seperti ini adalah terhad pada keluarga yang dikira berada kerana bayaran yuran agak tinggi. Dari pengalaman saya memantau cucu saya (berumur 2 tahun), rata-rata bayaran yuran adalah antara RM500-700 tidak termasuk yuran pendaftaran dan berbagai lagi bentuk bayaran yang di kenakan. Bagi bayi pula bayaran adalah lebih dari itu.
Dalam senario begini, saya berpendapat bahawa bantuan kerajaan amatlah tidak memuaskan memandangkan pendidikan di peringkat ini adalah sama pentingnya. Contohnya bagi TASKA yang baru ditubuhkan, kerajaan memberi grant sebanyak RM20,000 untuk sekali sahaja. Maka pra sekolah persendirian terpaksalah bekerja kuat mencari dana untuk pembangunan dan operasi. Bayaran yuran tidak mencuckupi untuk semua jenis perbelanjaan.
Sebagai dasar pembaharuan, kerajaan telah menubuhkan Permata Negara untuk peringkat pra sekolah. Dalam bajet tahun ini ia diperuntukan sabanyak RM 700 juta. Saya tidak nampak peruntukan bagi pra sekolah persendirian. Mungkin saya silap lihat.
Rakyat tidak membantah secara terbuka tentang kepincangan dasar ini. Saya berpendapat dasar ini amat ELITIST. Ia membina anak-anak pintar menjadi lebih pintar. Yang lain-lain terpinggir. Ini pemerhatian saya dan saya tahu ramai yang tidak bersetuju dengan saya.
SmarTop pre school adalah antara yang terpinggir. Saya yakin banyak lagi yang seperti SmarTop. Kami di pantau untuk lebih berkualiti dalam memberi perkhidmatan pada rakyat. Jika tidak lesen yang diluluskan boleh ditarik balik.
Maka saya bertanya seorang diri. Tanggong jawab siapa anak-anak ini ? Bolehkah Negara berlepas diri?
Tetapi SmarTop berbuat sesuatu bukan untuk di puji Negara, atau sesiapa jua sekali pun. Kami ada wawasan sendiri dan akan bermati-matian mencari dana untuk pembanunan dan operasi. Insya Allah akan kami bina kekuatan dalaman dan luaran. Asas penting dalam pendidikan adalah seperti ayat alQuran dalam surah Al Luqman.
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".
(Luqman 31:13) | Semoga Allah menunjuki jalan, memudahkan segala urusan dan meredhai usaha ini.
Aamiin ya Rabb...
...
2 comments:
I am in full agreement with you on the Permata Negara scheme. It in not right to have it in the first place and to publicise that. To me it is a publicity stunt which only makes people like us regret that the millions in the rural need just a bit of that excessive care.
I am sending you an email.
Salaam dan selamat tahun baru
TQ Pak alManar. I have replied your email. Tak ape jangan "marah sangat". Kita buat apa yang kita fikir dan yakin terbaik. Semoga Allah membantu dan menerimanya.
Post a Comment