"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, August 15, 2015

Ambil yang jernih.....






Isnin yang baru lalu saya dan dua orang teman akrab mengauatkan tekad untuk pergi menziarahi seorang teman lagi di Teluk Intan. Mujurlah teman saya yang seorang ini masih bekerja melepasi umur bersara dan ia menawarkan kami menggunakan kereta dan supirnya. Saya lega kerana tidak perlu bersusah payah memandu sendiri atau minta suami saya menemankan saya.

Teman saya di Teluk Intan ini punya sebuah Institusi Pendidikan Islam di tengah-tengah tanah bendang yang cantik dan nyaman yang dimulakan sejak sebelum ia bersara lagi di atas tanah Ibunya yang telah diwakafkan. Kegigihannya membina dan mengurus Institusi ini seorang diri amat berjaya. Saya dan seorang teman lagi pernah membantunya sedikit sebanyak memberi program extra curricula sebagai motivasi anak-anak yang kurang berkemampuan ini membina jati diri. Alhamdulilah boleh dikatakan Institusi ini berjalan dengan lancar dan teman saya amat riang setiap kali kami menziarahinya.

Atas sebab-sebab kesibukan tanggongjawab masing-masing walaupun sudah bersara, maka sudah lama kami tidak menziarahinya dan tidak berhubung walau pun dengan talipon. Amat malang sekali kerana baru-baru ini teman saya itu menalipon dan dalam mada sedih dan celaru mengatakan bahawa Institusi Pendidikan yang dikendalinya sudah diambil alih oleh sebuah NGO dan banyak perubahan telah dilakukan. 

Teman saya ini saya dengari seperti tidak puas hati dan minta kami membantunya untuk mengambil balik Institusi itu.

Ini satu kejutan bagi kami.

Setelah beberapa kali ia menghubungi kami dan kami menghubunginya, jelaslah pada kami bahawa masaalah yang ada bukan pada NGO yang mengambil alih tetapi pada diri teman saya sendiri.

Teman saya ini sudah agak pelupa. Saya syak ia menghidap "dementia" atau yang hampir dengannya. Pada pertama kali selepas lebih lima tahun saya tidak bersua muka, saya dapati dia sudah tidak mengenali wajah saya. Amat sedih saya rasai dan bimbang atas fakta itu kerana ia beroperasi berseorangan dan tinggal berseorangan.

Hidup ini bolih berubah mengikut kehendak Allah. 

Dalam ziarah kami yang terbaru ini, kami berjumpa dengan pihak pengurusan dan berbincang dari hati ke hati. Jelas pada kami apa yang harus kami buat. Selepas sessi itu kami menziarahi teman saya ini di rumah adik lelakinya yang tinggal berhampiran Institusi itu. 

Kali ini kami tahu bagaimana mahu "bersembang" dengannya. Mujur saya ada pengalaman menjaga ibu mertua saya yang menghidap Alzeimer beberapa tahun dahulu. Kini ia telah meninggal dunia. Pengalaman ini amat berharga dalam saya cuba memahami dan membatu teman saya ini. Tetapi tidak menjadi hasrat saya untuk bercerita panjang di sini. 

Saya hanya mahu berkongsi bahawa perjalanan hidup ini bukan sentiasa satu laluan yang mudah.  Menjaga keakraban dengan teman-teman seperjuangan amat penting dan saya amat bersyukur saya masih ada beberapa teman yang dapat berganding bahu membantu antara satu sama lain. Kami semua sudah di zon warga emas dan peristiwa seperti ini suka kami kongsikan secara umum semoga kita dapat menyedari dan memahami bahawa hubungan keluarga itu amat penting walaupun fakata status ekonomi keluarga tidak sama. Dalam masa-masa di penghujung hidup ini, teman akrab tidak mencukupi. Masyarakat di sekeliling kita akan bertanya siapa warisnya. Mereka tidak bertanya siapa teman akrabnya. Itu lumrah budaya kita. 

Malangnya kini kita sudah renggang dalam hubungan kekeluargaan, teutama dalam konteks keluarga besar. Ramai yang nafsi-nafsi.

Sedih dan bimbang kerana setip kita menghadapai risiko itu.

Setelah setengah hari bersama teman saya ini di Teluk Insan dan makan tengah hari bersana, kami pulang ke rumah.

Saya hanya membawa kenangan yang indah dari rumahnya dan rumah adik lelakinya sahaja. Namun jauh dilubuk hati, kami berjanji akan sentiasa menghubunginya.






Yang indah ialah bunga-bunga di taman rumah adik lelakinya yang sekarang memantau hidup harian kakanya. 

Kita ambil yang jernih.....

Semoga Allah sentiasa memberi taufiq dan hidayahNya dan semoga kami masih sihat untuk membantunya. Semoga Allah memudahkan kami semua menjalani hidup di hujung pentas dunia....


Semoga kita redha dan Allah meredhai.
Aaminn ya Rabb....


....

No comments:

Related Posts with Thumbnails