"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, August 1, 2015

Saya jadi "Fulll-time Nanny"......



Bermula dari Syawal hari kedua.....
Suami saya "berkeras" untuk bawa cucu-cucu anak perempuan saya balik kampung di Pontian. Saya agak bimbang kerana kurang kederat untuk mengurus mereka walau pun hanya untuk beberapa hari.

Dua cucu saya di foto ini (yang terkiri dan terkanan) adalah anak-anak istimewa yang sudah saya cerita sebelum ini. Maka saya khuatir tidak dapat menangani karenah mereka. Tetapi demi keseronokan keluarga, saya setuju membawa mereka bersama...

Saudara-mara di kampung seronok dengan cucu-cucu saya ini kerana mereka mudah berinteraksi dan Akif yang otistik punya banyak idea yang di luar dugaan mereka di sekelilingnya. Ia fasih berbahasa inggeris dengan slang Mat Saleh kerana ia mudah mendengari dan mengikut apa yang di lihat dan didengari dari TV Astro. Saya kurang selesa ia terlalu "melekat" di TV tetapi oleh kerana kurang pengawasan kerana kesibukqan kerjaya ayah-ibunya maka itulah jadinya. Yang positif hanya kefasihannya berbahasa inggeris. Saya takut pemikirannya juga "terpengaruh".

Tidak ada program kesukaannya di kampung Pontian.Maka ia ligat membina kreativiti sendiri dari permainan lama yang ada. Itu salah satu ciri Otisma. Bijak dalam satu bidang tetapi agak bermasaalah dalam bidang lain. Bagi Akif ia akan berbuat sesuatu mengikut kegemaran hatinya sendiri dan tenaga fisikalnya agak sulit untuk dikawal.






Maka menjadi "nanny" buat beberapa hari pun agak sukar terutamanya dalam melatih solat pada waktunya. Saya hanya menekankan soal ketepatan masa (sejauh yang mungkin)  dan membiasakan diri bersolat. Qualiti solat saya lepaskan pada ibunya untuk mendidik dan melatih. Untuk anak-anak istimewa ini bukan mudah. Tambah rumit bagi Akif ialah kerena penyuburan "sexuality" kanak-kanak lebih sedikit dari anak biasa. Saya  terpaksalah mengawasinya dan cuba memantau gerak-gerinya.

Rumit bukan?

Selain itu saya pening bila sampai waktu makan kerana saya dapati kesukaan mereka bukan nasi masakan Melayu. Ibunya sudah membiasakan makanan bukan melayu dan itu menyulitkan saya. Mujur juga mereka masih suka spegeti atau mee. Selamat juga kederat saya.

Saya minta anak saya ambil mereka setelah 3/4 hari bersama saya. Saya pulang hanya dengan suami. Perjalanan agak sunyi kerana tidak ada cucu-cucu yang sentiasa "bergaduh" sesama mereka.

Saya pulang dan dapat berpuasa Enam dalam tiga hari sebelum suatu lagi masaalah timbul. Ujian Allah datang berbagai rupa dan kita perlu bersabar. Anak menantu saya yang sedang mengandung terpaksa masuk Wad Hospital Selayang kerana masaalah kandunganya. Maka saya kenalah pula menjaga cucu-cucu yang belum bolih ke tandas sendiri. Dua orang sahaja tetapi yang seorang itu masih peringkat toddler dan bergantung sepenuhnya pada saya. Mujur ia mudah menyesuaikan diri walaupun waktu malam ia selalu sahaja jaga dari tidurnya mencari ibunya. Maka saya sibuk dan penat siang dan malam. Tetapi melihat perkembangan penyesuain diri membuat saya teruja. Saya menjaganya di rumah anak lelaki saya di Puchong kerana saya bolih tumpang perkhidmatan pembatu rumah di sana.







Menjadi "nanny" diumur senja bukan mudah hendak mempelbagai cara untuk menghibur hati si kecil. Mujur di rumah anak lelaki saya ini banyak permainan berbagai rupa. Saya hamya memantau.

Rumah anak lelaki saya ini juga dalam kawasan banyak burung merpati. Anak saya senghaja menabur makanan sebagai "sedekah" kepada haiwan. Itu tanggongjawab manusia juga. maka setiap pagi saya akan bawa si kecil ini keluar rumah untuk mendapat cahaya matahari dan melihat burung makan. Kekadang ia akan berlari mengejar burung-burung ini dan akan beterbanganlah entah ke mana. Saya teruja melihat si kecil gembira ceria.





Kelihatan burung-burung di taman kecil rumah anak saya. Ini membantu melerai kebuntuan idea bagaiman hendak membuat anak-anak kecil tidak bosan seharian di rumah.

Saya pulang ke rumah saya setelah anak menantu saya melahirkan. Tetapi tidak panjang umurnya. Hanya satu jam di alam dunia. Tetapi tempatnya di akhirat nanti sudah dijanji Syurga. Saya terus menjaga cucu-cucu dan membantu anak menantu saya menjaga pantang bersalin buat sementara. Semoga ia sihat dan rutin saya akan kembali seperiti sebelumnya. Bila bertugas sebagai "nanny" saya terpaksa 'ponteng' kelas-kelas pengajian. Semoga Allah kira tugas "nanny" seperti berbakti pada keluarga.

.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails