Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
(Al-Baqarah 2:34) Iblis di arah sujud hormat pada Adam.
Tetapi Iblis enggan kerana sombong dan takkabur.
Sujud adalah satu perbuatan yang melambangkan kepatuhan manusia pada Haliqnya. Kita sujud dalam solat dan di luar solat untuk menyatakan kesetiaan, ketaatan dan kesyukuran.
Ia satu pengakuan bahawa manusia itu hamba yang paling rendah kedudukannya.
Allah jua yang paling tinggi, maha Agong dan maha Berkuasa.
Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.
(Al-Hajj 22:18) Bukan sahaja manusia yang sujud pada Allah, bahkan kesemua makhluk yang Allah ciptakan sujud patuh pada Allah swt. Hanya bentuk sujud itu tidak dinyatakan bagaimana. Dan dalam ayat lain disebutkan juga bahawa semua ciptaan Allah bertasbih padaNya, memujinya dan membesarkanNya.
Manusia sujud dengan membenamkan muka ke bumi, tempat paling rendah dan paling "kotor" kerana bumi dipijak-pijak oleh berbagai kejadian Allah yang lainnya. Manusia dijadikan dari tanah dan akan pulang ke tanah bila jasadnya dikuburkan bila sampai janjinya. Maka manusia yang benar-benar berilmu dan bertaqwa akan merasakan sesuatu di dalam qalbunya apabila dalam keadaan sujud, sama ada dalam solat atau di luar solat.
Maka dalam konteks ini saya terkesan di hati dan berdoa semoga saya sentiasa dapat sujud hingga ke akhir hayat walaupun saya tahu bahawa pada mereka yang tidak mampu atas sebab-sebab yang Syar'ie ia di bolehkan sujud sebagai isyarat sahaja tanpa membenamkan muka ke bumi.
Saya perhatikan ramai antara kita yang solat dengan duduk di atas kerusi dan sujud dengan menundukan kepala sahaja. Saya bayangkan pastinya kesan sujud itu kurang "impaknya'. Maka saya katakan pada teteman saya supaya jangan mengambil mudah untuk solat di atas kerusi kerana saya takutkan akan hilang "kemanisan" dan kenikmatan erti sujud itu. Saya bayangkan kita kurang rasa "hina" di hadapan Allah kerana muka kita tidak sampai ke bumi. Namun saya mengakui bahawa mereka yang halus imannya akan sentiasa rasa khusyuk dan tawadhuk dalam apa jua keadaan.
Saya perhatikan ada juga manusia yang akan cuba sedaya upaya tidak duduk di kerusi kerana mahu sangat sujud membenamkan muka ke bumi. Ia akan terkial-kial menahan kesakitan dalam perbuatan duduk antara dua sujud buat beberapa ketika supaya ia mampu sujud bila dikehendaki sujud dalam rukun solat yang sedang dilakukan itu.
Namun.....Allah maha mengetahui, maha kasih dan maha mengasihani hamba-hambanya. Maka sujudlah dalam bentuk yang termampu.
Saya hanya berfikir sendirian dan merasa-rasa sendirian. Semoga Allah menerima pengabdian saya yang serba kekurangan ini.
Aamiin ya Rabb....
....
No comments:
Post a Comment