"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, May 11, 2015

Pulang menggamit kenangan....




Rasanya macam masih belum mahu pulang ke Kuala Lumpur dari Kota Bahru. Masih belum puas melihat perubahan yang ada sejak ke sini hampir sepuluh tahun yang lalu. Tetapi hidup ini bukna sentiasa memberi kita peluang untuk melayan rasa hati. Tidak selalu kita dapat merasai seolah-olah hidup ini merupakan satu pilihan.

Seorang teman berkata: hidup kita ini hanya ada  dua pilihan. "IKUT atau MAUT". Bukan begitu. Ia hanya bermaksud buat yang Syari'e atau buruk padahnya.

Dalam perjalanan pulang kami singgah di Tanah Merah di kawasan Felda keluarga anak angkat kami. Widad namanya. Kami disambut oleh keluarganya penuh meriah dan kami dijamu laksa Kelantan yang amat istimewa masakan ibunya. Tiada bandingan sedapnya hingga malam itu saya tidak perlu makan malam sampainya kami di Gerik. Alhamdulilah.

Di bawah ini saya rakam buat kenangan foto keluarga yang memahami perjuangan anaknya.



Kasihnya Ibu membawa ke Syurga. Kasihnya saban masa, tidak kira.
 Ia seronok melihat anaknya kini dewasa dan punya fikiran menjadi pembela mereka orang di desa yang mahu membina hidup selesa, sekadarnya.
Bukan mahu hidup selesa hingga tidak mengira hak sesiapa,
 jiran tetangga atau siapa sahaja. 
Dia dilahirkan di desa Felda, hatinya terpaut luar biasa hingga jika ada sesuatu berlaku di desa Felda yang lain dia akan merasai seperti ia rasa itu desanya.
Maka kami ke Gua Musang mahu membantu mereka
 di desa Felda di gugusan Chiku.

Belum selesai tetapi kami harus pulang dan Widad akan membuat kunjungan berterusan membantu dimana diperlukan.



Waktu senja kami meneruskan perjalanan dan bermalam di Gerik.


Budget Hotel di Gerik. Malam itu jam 9 malam bebrapa Hotel sudah penuh. Maka kami pilih sahaja Hotel Sri Temenggong ini kerana takut jika memilih sangat kami terpaksa tidur di kereta. Itu bahaya.....



Esuk selepas Solat Subuh, kami terus bersiap dan meneruskan perjalanan. Namun kami mencari tempat makan untuk Sarapan. Hanya restoran Mamak ini yang sudah buka dan bersedia. Kami masuk senang hati menjamu selera. Roti canai, nasi lemak, Telur dan sebagainya. Di Gerik satu daerah yang asing bagi kami, sarapan seperti itu amat enak dan kami bersyukur atasNya. Alhamdulilah. Semoga pagi penuh barakah.

Ramai pelanggan pagi itu. Setengahnya mereka seperti kami nampaknya. Mahu meneruskan perjalanan. Malamnya saya kurang lenyak tidur sebab Gerik mengingatkan saya beberapa peristiwa semasa saya bekerja di Kementerian Kerja Raya dalam tahun akhir 1980an. Saya sering mendengari cerita-cerita para jurutera senior yang terlibat dengan pembinaan  Lebuhraya Timur Barat itu dan bagaimana mereka mengambil risiko berkhemah di lokasi walaupun mereka tahu tentera "komunis" ada di seberang batasan boundry sempadan Thailand. Saya pernah lalu di Lebuh raya ini  mungkin lebih 20 tahun yang lalu, tetapi sudah tidak kelihatan serupa sekarang. Sudah ada beberapa pekan kecil di perjalanan. Maka tidak rasa sangat khuatir jika terpaksa berhenti kecemasan. Satu kenangan.....

Semasa bersembang sewaktu sarapan, kami bertemu dan bersilaturrahim dengan penduduk tempatan. Kami jemput minum sama tetapi ia enggan dan ia mendekati tempat duduk kami seronok berkenalan. Sunggu ceria orangnya. Banyak yang diceritakan mengenai bandar Gerik ini dan ceritanya penuh lawak yang membuat kami riang. Dia memeperkenalkan dirinya sebagai Haji Halim. Katanya dia terkenal di Gerik sebagai seorang yang bolih memberi pertolongan jika ada keperluan khusus seperti tempat merawat kereta dan sebagainya. Itu indahnya bandar kecil. Tidak seperti bandaraya Kuala Lumpur atau Petaling Jaya dan yang lainnya. Masih ada budaya mesra yang boleh diharapkan. 

Usai makan dan bersembang mesra buat seketika, kami memohon diri untuk meneruskan perjalanan pulang. Kami singgah di Sungai Batu di Selama Kedah untuk ziarah saudara di kampung suami saya  sambil meninjau perkembangan memajukan tanah Pusaka warisan Allahyarham ayahnya. Sungai Batu tidak membangun seperti diharapkan dan jalanraya pun baru sahaja siap untuk kegunaan. Mungin sepuluh tahun lagi akan ada perubahan.



Pemandangan terakhir di Gerik dalam perjalanan pulang. Kami sampai di rumah jam 9.30 malam. Alhamdulilah. Kepenatan tetapi amat banyak yang kami mensyukuri  Nikmat Allah yang tidak terhingga.
Semoga kami masih ada ruang dan peluang untuk meneruskan perjuangan kecil kami membela rakyat biasa dan alam sekitarnya.

Aamiin ya Rabb...

....

Tuesday, May 5, 2015

Nikmat dalam bersabar @ Kota Bahru...




Bekerja menjadi keseronokan jika nowaitu kita betepatan dengan apa yang diajarkan oleh guru dalam mencari Keredhaan. Maka tidak perlu kita kata:"Berkerja sebelum berseronok. (work before pleasure)." Jika kita kata kita mahu Allah kurnia kekuatan Iman, maka bekerja itu bukan sahaja satu keseronokan tetapi ia juga suatu yang tidak memenatkan. 

Foto di sebelah adalah  antara kumpulan kami yang menyediakan Memorandum membantah perlaksanaan projek Kilang Simen yang Bersepadu di Gua Musang. Mereka berada di pejabat Peguam yang membantu kami dari segi undang-undang. Sebelum itu kami telah melihat Lapuran penuh oleh Syarikat yang akan melaksana projek tersebut yang di pamerkan di Pejabat Alam Sekitar cawangan Kelantan di Kota Bahru. Kami amat tidak berpuas hati kerana kaum penduduk dipinggirkan dan tidak diberi maklumat yang sewajarnya. Itulah sebabnya kami meminta bantuan Perundangan dari Peguam yang bertauliah supaya penduduk mendapat pembelaan yang saksama.


Ketua kumpulan kami berbaju kemeja putih memberi penerangan pada peguam. Saya mendengari dan mengambil perhatian untuk membantu penyedian memorandum itu. Saya hanya membantu tetapi ia memberi keriangan di hati.

Usai tugas di Pejabat Peguam kami pergi bersantai  melihat perkembangan di Rantau panjang. Amat berbeza sekali terutamanya ada pemeriksaan kastam tidak seperti dahulu yang mana kastam hanya bila kita menyebrangi Sungai Golok. Tempat yang dahulu kami biasa membeli belah sudah dikategorikan sebagai Zon bebas cukai dan keluar dari situ kastam ada hak memeriksa. Rasa sedikit kecewa, tetapi kami senyum sahaja kerana tiada upaya mengubahnya.



Kami singgah juga di Masjid Beijing. Cantik dan indah. Kami bersolat dan melihat-lihat di persekitarannya. Nampak bersih dan indah. Idea membina Tandas Awam yang menarik menjadikannya seperti dalam taman. Kami teruja dan suami saya dan teman mencatat di buku pelawat menhargai minda yang kreatif.






Tidak sah jika di Kota Bahru tetapi tidak ke Pasar Siti Khadijah. Maka setelah membeli sedikit ole-ole kami makan di tingkat atas. Hari itu amat panas dan Kota Bahru memgalami Black Out. Maka rasa amat panas. Namun penerokaan pasar adalah suatu yang menyeronokan walaupun kepenatan. Kami makan Mee Sup yang biasa sahaja . Namun rasa sedap tidak terkira. Nikmat Allah ada di mana-mana asalkan sahaja kehebatan Allah ada di hati kita. Kerana teruja, saya rakam hidangan udang yang besar-besar dan menyelerakan tetapi kami tiada upaya membelinya. Hanya menjamu mata. Alahai.....begitulah sifat satu perjuangan. Ia memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Saya tersenyum memikirkan. Setiap laluan ada pengajaran.









Ada beberapa tempat lagi yang kami di bawa melihat. Antaranya wakaf Che Yeh. Ada side-show yang luar biasa. Ada seorang pencinta Haiwan yang membiarkan anak kecil monyet bemanja-manja di tangan dan badannya. Maka anak angkat kami mencuba untuk pengalaman semata-mata. Saya perhatikan beberap anak remaja mencubanya juga. Ibu bapa peka supaya anak-anak menghayati erti kasih pada makhluk Allah yang digelar Haiwan. Alhamdulilah, masyarakat Malaysia sudah mula mengerti Haiwan perlu diberi hak-hak mutlaknya dan jangan dianiyaya.

Dalam keseronokan ada juga rasa tersedih.......Saya agak tersedih tidak dapat melawat rumah Allahyarham Tuan Gutu Nik Abd Aziz kerana kekurangan masa. Kami harus pulang kerana tugas di SmarTop menanti untuk ditangani segera.

Alhamdulilah, dan kami memanjatkan kesyukuran sentiasa kerana Allah memberi kederat melakukan apa yang dicita-cita. Usaha kami ini kecil sahaja. Namun kami sentiasa memohon mendapat keberkatan semoga masa di hujung senja ini tidak terbuang begitu sahaja. Entah esuk lusa kami tiada. Semoga Allah meredhai segalanya.

.........

Monday, May 4, 2015

Mengenali Pondok Tuan Guru Hj Abdul Rahman....





Dalam perjalanan ke Kota Bahru kami singgah di Pondok Sungai Durian di Kuala Kerai. Kami di beritahu bahawa pondok ini terkenal di Kelantan dan juga di Malaysia umumnya. Ia telah di tubuhkan beperingkat-perinkat dari tahun 1957 oleh pengasasnya, Allahyarham Tuan Guru Haji Abd Rahman. 

Program di Pondok ini (faham saya)  meliputi pelajar peringkat menengah lelaki dan perempuan dan juga di peringkat dewasa. Tempat tinggal disediakan dengan bayaran untuk membantu bayaran api dan air bagi peringakt remaja. Mereka membayar rm20 sebulan. (Untuk dewasa saya terlepas pandang untuk bertanya).



Ini bangunan Masjid yang ada sekarang. Bangunan dan pengurusan guru dan lain-lain dibiayai juga oleh Yayasan Kelantan. Semasa banjir bangunan Pondok ini ada yang terjejas dan ada yang musnah sama sekali. Teman saya mewakil seorang penderma menyampaikan bantun untuk pembangunan semula perumahan tempat tinggal peserta dewasa/ warga tua. Antara yang terpaksa dibina semula adalah seperti yang tertara di foto di bawah ini.







Yang duduk berbaju merah adalah isteri Allahyarham Tuan Guru Haji Abd Rahman. Masih kuat dan masih menjadi guru di Pondok itu. Beberapa orang anaknya menjadi guru di Pondok itu dan yang mengendali pondok ini sekarang mewarisi ayahnya ialah Ustaz Basit yang juga terkenal di Malaysia kita dan di Thailand. Beliau adalah lulusan University di Madinah. Alhamdulilah.



Ini adalah foto Allhyarham Tuan Guru Hj Abdur Rahman yang mengasaskan Pondok ini. Semoga pondok ini terus maju hingga ke akhir zaman. Saya rakam juga di bawah ini sebahagian aktiviti remaja perempuan. Tempatnya nampak selesa. Remaja lelaki sedang menumpang kerana bangunannya rosak semasa banjir dan sedang dibina semula. Semoga Allah memudahkan segalanya demi pembanguanan Insan yang berIlmu, berIman dan berTaqwa.




Bangunan tempat remaja perempuan. 

Pada masa ini saya berpendapat bahawa Tradisi pengajian di Pondok ada keistimewaanya dari segi  kurikulum dan dari segi cara penyampaian. Dengan lain perkataan, dari segi pengajaran dan pembelajaran. Ini yang saya lihat secara rambang dan apa yang saya dengari dari mereka yang rapat hubungan dengan sistem Pondok. Ada perbezaan antara mempunyai Ilmu dengan mendapat barakah Ilmu. Untuk mendapat barakah Ilmu seseorang dituntut berhadapan dengan guru kerana pada hakikatnya barakah itu terpaut mengikut naluri hati ke hati, atau Ruh ke Ruh. Kalau seseorang itu hanya belajar melalui teknologi terkini tanpa menghadap guru, maka kebekesanan barakah ilmu amat minima atau tidak wujud sama sekali.

Sistem pondok yang saya tahu menekankan sistem hafalan, sama ada hafalan al Quran atau hafalan apa jua. Dengan hafalan, minda  dan aqal terbina kuat dan daya ingatan pun menjadi kuat. Saya berkeyakinan cara ini lebih unggul dari sistem lainnya. Ini saya asaskan pada fakta bahawa  Malaikat Jibrail meminta Rasulullah saw menghafal dan Rasulullah saw pun tidak menuntut ayat-ayat alQuran di catat dalam bentuk tulisan secara formal. Pasti ada hikmahnya.

Walaubagaimana pun, pada pandangan saya ada sedikit yang saya rasa kekurangan di sistem pondok, iaitu dalam mendidik dan membina sifat kepimpinan. Ini saya perhatikan dalam tugasan saya semasa saya bekerja dahulu sebagai Pengarah , Bahagian Sumber Manusia di Kementerian pendidikan. Mereka yang memegang jawatan dan lulusan pendidikan Islam sama ada  dari sistem ini atau sistem yang hampir serupa dengannya, tidak berapa berani ke hadapan berseorangan. Berani kerana benar  adalah sifat Ulul Albab tetapi tidak terserlah pada pegawai-pegawai yang mengikuti saluran Pondok atau Maahad Tahfiz atau sekolah agama atau yang lain yang seperti dengannya. Saya masih terfikir-fikir sama ada pemerhatian/pendapat  saya itu benar atau itu hanya tanggapan saya yang tidak mengikuti sistem Pondok dan ada rasa prejudis. Mungkin.......

Namun saya masih mahu mengatakan bahawa pendidikan di sistem Pondok atau madrasah perlu di lihat semua dari berbagai segi yang berkaitan dengan  kebolihan berfikir dan kebolihan bertindak. Tanpa keterampilan ini saya takut seseorang itu mudah teperangkap dalam tahap pemikiran yang rendah dan mudah jadi pengikut. Tidak salah menjadi pengikut asalkan sahaja yang diikuti itu di landasan yang Benar.

Sekarang ini kita mahukan mereka yang boleh berfikir secara intelektual berasaskan Ilmu yang Benar dan mereka ini berani mengambil risiko dan berpegang pada Fakta bahawa Yang Benar tidak pernah memihak.

Pandangan dan pemerhatian saya mungkin terlalu rambang dan sebab itu saya suka mendengari pandangan yang lain. Walau apa pun tidak salah sistem ini di lihat semula supaya semua yang melalui sistem ini menjadi seorang yang serba bolih. Mereka berpotensi menjadi professional yang unggul maka mereka harus diberi peluang dan galakan yang sewajarnya. Saya berpandangan demikian supaya mereka yang melalui sistem ini boleh membela ummah dalam semua bidang dan tidak dikotak-katikan oleh mereka yang sememangnya suka mencari kesalahan dengan tujuan meminggirkan mereka yang cinta Islam. Mereka senghaja memburuk-burukan sistem tradisional untuk kepentingan mereka sendiri.

Dalam pada itu saya tidak mengatakan bahawa sistem saluran Perdana itu  adalah lebih baik dan lebih unggul.

Allah yang maha Mengetahui dan kepadaNya kita memohon pertolongan.

Sama-sama kita berusaha dan berdoa semoga keunggulan Islam terserlah melalui pendokong-pendokongnya.
Mohon Hidayah dan Taufik dari Mu ya Rabb......

.....

Sunday, May 3, 2015

Mengingati peristiwa banjir....




Semasa di Gua Musang kami pergi juga menziarahi mangsa banjir yang belum  dapat ditempatkan semula diperumahan yang tetap. Kami amat simpati kerana kemudahan khemah yang ada sememangnya tidak selesa kerana cuaca panas dan bahangnya terasa hingga ke malam hari. Saya masuk ke salah satu khemah dan merasai apa yang mereka rasai beberapa bulan sudah. Mereka dijanjikan akan dapat berpindah sebelum bulan Ramadhan ini. Semoga tercapai hasrat ini.


Keadaan khemah amat kecil sekali dan bagi ibu tunggal ini ia tinggal dengan 2 orang anak sahaja. Ada yang tinggal hingga 7 atau 8 orang ahli keluarga. Kami hanya menghulur sedikit ...amat sedikit bantuan tanda simpati.Itu pun hanya pada 2 keluarga sahaja. Rasa bersalah, tetapi apakan daya. Dalam mengingati mereka teringat juga keadan hidup mereka yang  di khemah orang-orang pelarian. Ada yang tidak punya kemudahan asas dan ada yang tinggal dalam kesejukan atau kepanasan dan dalam  keadaan kelaparan. Sumbangan saya terlalu kecil dan semoga saya dapat berlepas diri di hadapan RabbulJalil di akhirat nanti. 
Mohon keampunan Mu ya Rabb....



Kawasan tempat khemah cantik sekali. Tetapi saya pasti ia tidak dapat menenggelamkan rasa tidak selesa kerana panas dan tidak ada kemudahan asas yang mencukupi. Mereka tidak boleh memasang kipas di dalam khemah, atau di mana-mana.




Teman saya di salah sebuah khemah.
Kami bersembang dengan beberapa mangsa banjir di situ 
mengenai makan minum dan lain-lain kemudahan, 
terutamanya persekolahan anak-anak. Semoga mereka dapat 
penempatan semula sebelum Ramadhan ini denagn harapan 
hidup harian mereka akan kembali seperti dahulu kala.
 Di dalam perjalanan seterusnya ke daerah Kota baru kami bermuhasabah diri jika kami diuji seperti ujian mereka di Kelantan dan tempat-tempat
 banjir yang lain  baru-baru ini. 

Semoga Allah melindungi....
Aamiin ya Rabb....


.....

Saturday, May 2, 2015

Menceroboh Alam Sekitar @ Gua Musang ?





Saya pernah mendengari ceramah  seorang ustaz yang berminat tentang kejadian Alam ini seperti  yang telah banyak dibincangkan oleh ahli sains dalam berbagai bidang.
  
Alam  ini telah wujud berbilion tahun yang lampau, peringkat demi peringat.   Dalam alQuran di  sebut 6 waktu. Saya tidak mampu bercerita  dengan terperinici fenomena ini kerana saya bukan ahlinya. Cuma saya mendengari fakta bahawa Allah  Subhanahuwataala sungguh berhati-hati menyediakan alam ini untuk dihuni oleh makhlukNya yang bernama manusia. Dijadikan langit-langit dan bumi dengan gunung ganang dan hutan belentara serta sungai-sungai dan berbagai lagi persedian termasuk oxygen dan lain-lain yang di perlukan oleh manusia supaya rasa selamat dan selesa. 

Ini ada kaitan dengan agenda kami di Gua Musang minggu yang lalu. Entry saya ini sangat simplistik dari segi sudut sains dan saya biarkan demikian kerana tujuan saya menulis entry ini adalah semata-mata mahu mengatakan bahawa manusia sudah tidak mengambil indah secara serious untuk memelihara Alam sekitar supaya dapat  diwariskan pada generasi akan datang dalam keadaan selamat dan sempurna.



Saya dan teteman pergi ke Gua Musang untuk membantu anak angkat kami yang saya sebut dalam entry yang lepas bekerja keras dengan kumpulan penduduk untuk mengemukakan memorandum membantah rancangan kerajaan mahu membina projek industri simin yang terbesar di rantau ini. Khabarnya projek sudah dilulus dan perasmian tapak oleh MB sudah dijalankan tanpa memberi makluman awal pada penduduk. 

Penduduk terpinga-pinga bila suatu hari MB berada di kawasan gua-gua di Gugusan Kawasan Felda, khususnya Felda Ciku 7 yang amat berhampiran dengan kawasan yang akan di bina industri simen ini atau disebut Kilang Simen Bersepadu.





Pada 26 April kami dibawa oleh seorang penduduk tempatan ke kawasan yang terlibat. Kawasan ini sedang diusahakan dengan tanam semula pohon kelapa sawit dan mungkin akan terjejas qualitinya jika gua-gua kapor yang berdekatan di letupkan untuk mendapat bahan yang menjadi asas pembuataan simen. 



Foto di atas adalah antara gua-gua yang dijangka terlibat. Teman saya mengatakan: Allah telah bina pasak-pasak Bumi seperti disebut dalam al Quran denagan ciptaanNya seperti ini. Mengikut yang saya difahamkan oleh kumpulan yang menyediakan Memo untuk bantahan pada MB bahawa bukit /gunung yang ada ini telah wujud selama 200 juta tahun lamanya. Besar kemungkinan akan terjejas alam sekitar di sini dan kami khuatir akan mengundang bencana alam seperti yang telah kita lihat dimerata dunia apabila manusia merosakan apa yang Allah telah binakan untuk keselamatan. 


Ini antara anak sungai yang akan menjadi mangsa. Kami difahamkan penduduk miskin menggunakan air sungai terutamanya di musim kemarau. Semoga tidak menyulitkan hidup mereka. Jika sekiranya tiada lagi bebukit dan gua-gua yang ada sekarang maka sungai akan kering kerana tidak ada lagi sesuatu yang boleh menakung air hujan.




Pandangan dekat pintua gua yang dijangka terlibat. Di dalamnya ada pembentukan Stalagtites dan Stalagmites yang pasti ada gunanya. Mungkin manusia belum tahu. Kalau belum tahu, maka mengapa mahu dirosakan.





Foto di atas adalah antara rumah penduduk miskin yang telah tinggal di situ hampir 20 tahun mengikut cerita orang tua yang berumur 81 tahun  yang menghuni rumah ini dengan suaminya. Anak-anaknya sudak keluar kampung dan tidak mungkin akan kembali kerana tidak ada prospect ekonomi di kawasan itu.  Ada beberapa lagi penduduk yang  amat dhaif di kawasan ini yang akan juga terlibat. Foto di bawah tidak kelihatan penghuninya ketika kami ke sana.





Ini antara ahli kumpulan kami yang peduli akan apa yang mungkin berlaku pada alam sekitar dan penduduk kampung yang miskin dan dhaif yang tidak ada pembelaan. Maka kami ingin membela mereka dengan membantu menyediakan memorandum bantahan yang akan diserahkan pada MB pada 7 Mei ini.

Keputusan akhir kami tidak tahu. Kami hanya berusaha kerana kami peka dan peduli pada ayat ayat al Quran seperti di bawah ini.

A031
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.
(Al-Anbiyaa' 21:31) | 

A041
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
(Ar-Ruum 30:41) |

Semoga Allah yang maha Adil, maha Mengetahui dan maha Berkuasa menurunkan Rahmat bagi hamba-hambanya.

....

Friday, May 1, 2015

Agenda ke Gua Musang......

Kelmarin saya di IJN. Esuknya pada 25 April saya bersama teteman dan seorang pelajar UKM menaiki ALPHAD pinjaman dengan riangnya memandu ke Gua Musang. Kami ada agenda di sana. Nanti akan saya  ceritakan. 






Buat sekarang  saya ingin kongsikan pengalaman bersantai sepanjang jalan. Mulanya saya bercerita pengalaman  di IJN yang membuat saya bimbang kemungkinan tidak selesa diperjalanan. Tetapi  teteman kata kita tawakal sahaja pada Allah yang maha Menentukan kerana kita ada tugas penting di Gua Musang yang telah kami rancangan beberapa minggu kebelakangan ini. Telah lama saya tidak ke negeri Kelantan dan musafir kali ini dekat sahaja tetapi tidak kurang seronoknya. Di pertengahan jalan pelajar Sarjana di UKM ini yang juga menjadi anak angkat kami memberi  penerangan perubahan-perubahan yang telah berlaku sejak lebih 10 tahun yang lalu. Dia anak Kelantan yang berasal dari Tanah Merah. Ada yang lapuran serious dan ada juga yang menjadi bahan lawak yang tidak putus-putus.

Itulah kehidupan dan itulah yang kita suka sebut sebagai pembangunan. Dalam kerseronokan bercerita dan gelak ketawa yang sederhana kami ingatakan diri kami juga mengenai erti pembangunan. Jangan nanti kita hebat dengan pembangunan fisikal, tetapi hati-hati menjadi bobrok tidak tentu haluan. Laluan ke Gua Musang agak lengang sahaja. Tidak ada kesesakan dan teman saya memandu sambil bercerita dan gelak ketawa.

Kami singgah ditepian jalan untuk membeli buah nangka yang amat murah harganya berbanding dengan Petaling Jaya. Suami saya teruja dan membeli hingga puas hatinya. Sambil itu kami suka menceriakan penjual kerana belian yang agak luarbiasa. Kami harus saling membantu untuk kebajikan bersama.


Di gerai buah nangka memilih dan merasa.

Kami berhenti membeli buah-buah tempatan yang sudah dijeruk.
 Ini termasuk jeruk buah petai dan tempoyak  durian.

Kami tiba di Gua Musang lebih kurang jam 3 petang dan kami terus sahaja ke rumah teman anak angkat kami di Kawasan Felda Ciku yang sudah beroperasi lebih 20 thun yang lalu. Kiranya itu seperti "Home Stay" yang percuma atas ehsan Tuan Rumah sekeluarga.

Rumah istimewa "Home Stay"

Hidangan istimewa setiap kali, mengikut budaya kampung yang mesra.

Gambar kenengan sekeluarga rumah "Home Stay" dan jiran tetangga.
Entah bila kami akan berkunjung ke sini lagi. 

Di kanan sekali En Mat yang berusaha memandu lawatan kami.

Maka apakah Agenda di Gua Musang yang ingin saya kongsikan di sini. Tunggu entry saya esuk pula. In sya Allah saya tunai janji segera. Semoga Allah memudahkan segalanya.

.....
Related Posts with Thumbnails