Saya pernah mendengari ceramah seorang ustaz yang berminat tentang kejadian Alam ini seperti yang telah banyak dibincangkan oleh ahli sains dalam berbagai bidang.
Alam ini telah wujud berbilion tahun yang lampau, peringkat demi peringat. Dalam alQuran di sebut 6 waktu. Saya tidak mampu bercerita dengan terperinici fenomena ini kerana saya bukan ahlinya. Cuma saya mendengari fakta bahawa Allah Subhanahuwataala sungguh berhati-hati menyediakan alam ini untuk dihuni oleh makhlukNya yang bernama manusia. Dijadikan langit-langit dan bumi dengan gunung ganang dan hutan belentara serta sungai-sungai dan berbagai lagi persedian termasuk oxygen dan lain-lain yang di perlukan oleh manusia supaya rasa selamat dan selesa.
Ini ada kaitan dengan agenda kami di Gua Musang minggu yang lalu. Entry saya ini sangat simplistik dari segi sudut sains dan saya biarkan demikian kerana tujuan saya menulis entry ini adalah semata-mata mahu mengatakan bahawa manusia sudah tidak mengambil indah secara serious untuk memelihara Alam sekitar supaya dapat diwariskan pada generasi akan datang dalam keadaan selamat dan sempurna.
Saya dan teteman pergi ke Gua Musang untuk membantu anak angkat kami yang saya sebut dalam entry yang lepas bekerja keras dengan kumpulan penduduk untuk mengemukakan memorandum membantah rancangan kerajaan mahu membina projek industri simin yang terbesar di rantau ini. Khabarnya projek sudah dilulus dan perasmian tapak oleh MB sudah dijalankan tanpa memberi makluman awal pada penduduk.
Penduduk terpinga-pinga bila suatu hari MB berada di kawasan gua-gua di Gugusan Kawasan Felda, khususnya Felda Ciku 7 yang amat berhampiran dengan kawasan yang akan di bina industri simen ini atau disebut Kilang Simen Bersepadu.
Pada 26 April kami dibawa oleh seorang penduduk tempatan ke kawasan yang terlibat. Kawasan ini sedang diusahakan dengan tanam semula pohon kelapa sawit dan mungkin akan terjejas qualitinya jika gua-gua kapor yang berdekatan di letupkan untuk mendapat bahan yang menjadi asas pembuataan simen.
Foto di atas adalah antara gua-gua yang dijangka terlibat. Teman saya mengatakan: Allah telah bina pasak-pasak Bumi seperti disebut dalam al Quran denagan ciptaanNya seperti ini. Mengikut yang saya difahamkan oleh kumpulan yang menyediakan Memo untuk bantahan pada MB bahawa bukit /gunung yang ada ini telah wujud selama 200 juta tahun lamanya. Besar kemungkinan akan terjejas alam sekitar di sini dan kami khuatir akan mengundang bencana alam seperti yang telah kita lihat dimerata dunia apabila manusia merosakan apa yang Allah telah binakan untuk keselamatan.
Ini antara anak sungai yang akan menjadi mangsa. Kami difahamkan penduduk miskin menggunakan air sungai terutamanya di musim kemarau. Semoga tidak menyulitkan hidup mereka. Jika sekiranya tiada lagi bebukit dan gua-gua yang ada sekarang maka sungai akan kering kerana tidak ada lagi sesuatu yang boleh menakung air hujan.
Pandangan dekat pintua gua yang dijangka terlibat. Di dalamnya ada pembentukan Stalagtites dan Stalagmites yang pasti ada gunanya. Mungkin manusia belum tahu. Kalau belum tahu, maka mengapa mahu dirosakan.
Foto di atas adalah antara rumah penduduk miskin yang telah tinggal di situ hampir 20 tahun mengikut cerita orang tua yang berumur 81 tahun yang menghuni rumah ini dengan suaminya. Anak-anaknya sudak keluar kampung dan tidak mungkin akan kembali kerana tidak ada prospect ekonomi di kawasan itu. Ada beberapa lagi penduduk yang amat dhaif di kawasan ini yang akan juga terlibat. Foto di bawah tidak kelihatan penghuninya ketika kami ke sana.
Keputusan akhir kami tidak tahu. Kami hanya berusaha kerana kami peka dan peduli pada ayat ayat al Quran seperti di bawah ini.
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.
(Al-Anbiyaa' 21:31) |
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
(Ar-Ruum 30:41) |
Semoga Allah yang maha Adil, maha Mengetahui dan maha Berkuasa menurunkan Rahmat bagi hamba-hambanya.
....
No comments:
Post a Comment