Bekerja menjadi keseronokan jika nowaitu kita betepatan dengan apa yang diajarkan oleh guru dalam mencari Keredhaan. Maka tidak perlu kita kata:"Berkerja sebelum berseronok. (work before pleasure)." Jika kita kata kita mahu Allah kurnia kekuatan Iman, maka bekerja itu bukan sahaja satu keseronokan tetapi ia juga suatu yang tidak memenatkan.
Foto di sebelah adalah antara kumpulan kami yang menyediakan Memorandum membantah perlaksanaan projek Kilang Simen yang Bersepadu di Gua Musang. Mereka berada di pejabat Peguam yang membantu kami dari segi undang-undang. Sebelum itu kami telah melihat Lapuran penuh oleh Syarikat yang akan melaksana projek tersebut yang di pamerkan di Pejabat Alam Sekitar cawangan Kelantan di Kota Bahru. Kami amat tidak berpuas hati kerana kaum penduduk dipinggirkan dan tidak diberi maklumat yang sewajarnya. Itulah sebabnya kami meminta bantuan Perundangan dari Peguam yang bertauliah supaya penduduk mendapat pembelaan yang saksama.
Ketua kumpulan kami berbaju kemeja putih memberi penerangan pada peguam. Saya mendengari dan mengambil perhatian untuk membantu penyedian memorandum itu. Saya hanya membantu tetapi ia memberi keriangan di hati.
Usai tugas di Pejabat Peguam kami pergi bersantai melihat perkembangan di Rantau panjang. Amat berbeza sekali terutamanya ada pemeriksaan kastam tidak seperti dahulu yang mana kastam hanya bila kita menyebrangi Sungai Golok. Tempat yang dahulu kami biasa membeli belah sudah dikategorikan sebagai Zon bebas cukai dan keluar dari situ kastam ada hak memeriksa. Rasa sedikit kecewa, tetapi kami senyum sahaja kerana tiada upaya mengubahnya.
Kami singgah juga di Masjid Beijing. Cantik dan indah. Kami bersolat dan melihat-lihat di persekitarannya. Nampak bersih dan indah. Idea membina Tandas Awam yang menarik menjadikannya seperti dalam taman. Kami teruja dan suami saya dan teman mencatat di buku pelawat menhargai minda yang kreatif.
Tidak sah jika di Kota Bahru tetapi tidak ke Pasar Siti Khadijah. Maka setelah membeli sedikit ole-ole kami makan di tingkat atas. Hari itu amat panas dan Kota Bahru memgalami Black Out. Maka rasa amat panas. Namun penerokaan pasar adalah suatu yang menyeronokan walaupun kepenatan. Kami makan Mee Sup yang biasa sahaja . Namun rasa sedap tidak terkira. Nikmat Allah ada di mana-mana asalkan sahaja kehebatan Allah ada di hati kita. Kerana teruja, saya rakam hidangan udang yang besar-besar dan menyelerakan tetapi kami tiada upaya membelinya. Hanya menjamu mata. Alahai.....begitulah sifat satu perjuangan. Ia memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Saya tersenyum memikirkan. Setiap laluan ada pengajaran.
Ada beberapa tempat lagi yang kami di bawa melihat. Antaranya wakaf Che Yeh. Ada side-show yang luar biasa. Ada seorang pencinta Haiwan yang membiarkan anak kecil monyet bemanja-manja di tangan dan badannya. Maka anak angkat kami mencuba untuk pengalaman semata-mata. Saya perhatikan beberap anak remaja mencubanya juga. Ibu bapa peka supaya anak-anak menghayati erti kasih pada makhluk Allah yang digelar Haiwan. Alhamdulilah, masyarakat Malaysia sudah mula mengerti Haiwan perlu diberi hak-hak mutlaknya dan jangan dianiyaya.
Dalam keseronokan ada juga rasa tersedih.......Saya agak tersedih tidak dapat melawat rumah Allahyarham Tuan Gutu Nik Abd Aziz kerana kekurangan masa. Kami harus pulang kerana tugas di SmarTop menanti untuk ditangani segera.
Alhamdulilah, dan kami memanjatkan kesyukuran sentiasa kerana Allah memberi kederat melakukan apa yang dicita-cita. Usaha kami ini kecil sahaja. Namun kami sentiasa memohon mendapat keberkatan semoga masa di hujung senja ini tidak terbuang begitu sahaja. Entah esuk lusa kami tiada. Semoga Allah meredhai segalanya.
.........
No comments:
Post a Comment