"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, March 5, 2019

Tidak sama.......




Ini buat ingatan saya di Hospital mata PPUM. Alhamdulillah kini sudah 3 minggu dan sudah beransur pulih. Lensa baru kini ada di mata saya. Doktor telah buang selaput yang menghalang penglihatan saya. Ia kabur dan sains perubatan ada jalan untuk memulihkannya. Kata doktor ia mengambil masa sedikit untuk pulih sepenuhnya. Apa erti "pulih sepenuhnya" belum saya tahu sekarang ini. Yang saya tahu ia belum serupa dengan kuasa penglihatan yang pada mata saya yang sebelah lagi yang asli.

Apa pun.... Alhamdulillah dan alhamdulillah.

Semasa di dalam bilik bedah saya harus bersabar. Ia sakit juga kerana doktor hanya menggunakan ubat bius di mata sahaja. Saya dapat mendengari semua yang dikata oleh doktor pada mereka yang ada bersamanya. Cuma saya tidak faham semuanya. Saya dapat merasai ada sedikit kelainan mata saya dengan mata orang lain. Maka doktor kena lebih berhati-hati. Itu yang saya fahami dalam diam-diam ketakutan juga rasanya.

Namun saya beranikan diri dan menerima hakikat sebenar. Apa yang doktor buat tidak akan sama dengan apa yang asli yang Allah ciptakan. Allah maha Pencipta dan manusia hanya mampu buat apa yang terbaik. Terdetik degup hati saya memikirkan sambil cuba bertahan sakit yang sedikit itu.  Pastinya tidak serupa jika kena pembedahan yang lebih serious. Saya berdoa merayu-rayu semoga Allah kurnia yang terbaik.

Pengalaman kecil ini memberi kesedaran yang besar buat saya. Jangan ambil ringan semua kurniaan rezeki yang Allah beri pada kita. Saya beryukur walaupun tidak sama kesannya, ia masih limpah kurnia Allah yang tidak terhingga pada saya. Teringat kembali apa Allah katakan:

A001
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).
(Al-Kauthar 108:1) | 

A002
Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
(Al-Kauthar 108:2) | 

A003
Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
(Al-Kauthar 108:3


Kata Ustaz dalam taddaburnya mengatakan sembelihan korban melambangkan arahan  supaya manusia banyaklah  berkorban apa jua sebagai tanda mensyukuri segala kurniaan Allah. Apa jua yang Allah kurnia buat kita harus kita kongsikan dengan orang lain. Jangan bermegah dengan kekayaan yang ada tanpa mahu berkongsi terutamanya dengan fakir miskin dan siapa jua yang memerlukannya.




Seminggu selepas pembedahan saya akur berbaris berjumpa doktor di PPUM. Saya cuba bertenang walaupun saya tidak tahu apa akhirnya. Ingat pesanan ustaz. Mohon pada Allah semoga Ia kurnia hati kita sentiasa redha atas segala ketentuannya.

Kata doktor masih ada sedikit luka yang belum pulih. Dalam sebulan insyaAllah ia akan pulih. 

Saya terima sahaja nasih doktor untuk terus mengambil ubat titis mata dan buat apa yang sudah diajarkan oleh jururawat semasa di dalam Wad.

Saya pulang rasa lega dan menginsafi hakikat kehidupan yang sementara ini. Allah maha Kasih Sayang pada hamba-hambaNya. Janganlah kita mengengkari janji kita yang telah kita buat semasa diAlam Ruh: "alastu birabbikum Bala syahidna."

A172
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
(Al-A'raaf 7:172) |


Itu dulu perkongsian buat kali ini.
Allah maha Memerhati.......

............

No comments:

Related Posts with Thumbnails