"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Tuesday, April 28, 2020
Rasa kasih pada Ibadah...@ Ramadhan Kareem 1441 Hijrah @ Covid-19.
Alhamdulillah.
Hari ini hari kelima puasa Ramadhan. Ada 9 cucu bersama saya tahun ini. Saya rasa amat bersyukur kerana ini pertama kali saya berpuasa bersama keluarga 2 orang anak lelaki. Anak bongsu saya sememangnya tinggal dengan saya. Anak kedua lelaki saya bersama saya kerana "terperangkap" dengan peraturan PKP kerana wabak Coronovirus yang melanda Malaysia dan seluruh dunia yang bermula dari negara China. Mereka ziarah saya semasa cuti sekolah tetapi tidak menyangka akan terperangkap denghan arahan PKP hingga hari ini.
Benar kata Ustaz-ustaz. Setiap yang Allah Izin berlaku pasti ada Hikmahnya. Setiap ujian pasti ada sesuatu yang Allah mahu kita berfikir-fikir dan memahami qadha dan qadar Allah swt. Jangan kita tumpu pada kesusahan dan kesulitan yang harus dilalui tetapi kita lihat hal-hal positif yang berlaku dan membawa munafaat pada keluarga.
Ramadhan kali ini saya berpeluang bersembang dengan cucu-cucu yang berumur 9 hingga 12 tahun mengenai kehidupan secara amnya. Bukan suatu yang mudah duduk lama dengan cucu-cucu yang terkurung. Tetapi saya usaha melalui memantau kebolihan mereka mengerjakan solat harian, bacaan alQuran dan kini solat Tarawih pula. Rutin ini agak ganjil buat mereka. Dahulu yang lelaki bolih ikut ke Surau untuk solat. Tetapi kini semua duduk di rumah.
Anak lelaki bongsu saya menjadi Imam Solat Fardhu dan Tarawih. Kami solat 8 rakaat sahaja dan Witr 3 kerana tidak mahu "membebankan" cucu-cucu yang kecil.
Alhamdulillah rasa seronok. Tetapi ada juga yang "ponteng" kerana tertidur sejurus selepas berbuka puasa. Saya releks sahaja. Latihan puasa yang panjang agak mencabar daya ketahanan mereka. Saya senyum sahaja memerhatikan "karenah" mereka mengenai pilihan makan. Saya cuba cerita-cerita sedikit mengenai kesan berkurung kerana virus yang menyebabkan susah untuk sentiasa keluar membeli makanan yang mereka gemari. Saya tambah juga saranan supaya mereka insaf bahawa ada anak-anak di luar sana yang tidak cukup makan kerana ramai ibu bapa yang terpakasa diberhentikan kerja waktu PKP ini.
Semoga termasuk dalam akal mereka dan terkesan dihati mereka. Tarbiah pada anak anak seperti cucu saya perlu kesabaran dan kasih sayang yang kreatif. Cara saya membesar dahulu tidak sama dengan masa kini. Maka tahap kesabaran dan kebijaksanaan perlu suatu yang saya sendiri harus bertekad kuat. Saya katakan pada pembantu rumah saya supaya masak yang simple-simple sahaja supaya tidak membazirkan rezeki yang Allah kurnia. Kita tidak tahu berapa lama lagi masaalah Wabak Virus ini akan berteruasan. Maka kita harus juga berjimat cermat. Semoga segera selesai dan mereka bolih bersekolah semula dan hidup kembali normal.
Itu sahaj sedikit coretan hidup dalam kurungan dalam rumah. Usaha untuk membina rasa kasih bukan suatu yang mudah dalam apa jua keadaan. Keadaan yang ada sekarang sebenarnya menimbulkan kesulitan. Saya rasa sedikit sulit kerana mereka terkurung. Orang dewasa terkurung pun bermasaalah. Inikan pula anak-anak kecil.
Hanya doa yang tidak putus-putus yang dapat dipanjatkan semoga masaalah virus ini akan berakhir dalam suasana yang tidak timbul masalah yang lebih besar. Semoga Allah memudahkan segala usaha dan urusan.
Aamiin ya Rabb.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment