"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, November 8, 2010

MEMBAWA MASAALAH KE DALAM SOLAT

 




Umur saya kini sudah masuk zone kritikal, iaitu lebih enam-puluhan. Bila berada dalam zone ini maka saya sentiasa diperingatkan supaya jangan lagha dan lalai. Ibarat  pokok yang daunnya sudah kering. Jangkaan gugurnya daun lebih mudah sekali tanpa tiupan angin.

Solat jangan hanya yang wajib-wajib sahaja. Yang sunat-sunat hendaklah di kira wajib pada diri sendiri. Itulah pesanan seorang teman Ustazah yang sering saya dengari.  Dan  apabila bercerita mengenai solat, kita hendaklah mengosongkan minda dan hati dan fokus semata-mata pada Allah, penuh mengingati.

Erti "mengingati"  Allah di dalam solat saya cuba sedaya upaya untuk menghayati. Belum berjaya sepenuhnya setakat ini. Ingatan masih mengembara ke sana sini, ingat berbagai perkara dan masaalah  yang seharusnya ditinggalkan jauh ke tepi. Berdirinya kita seharusnya setiap detik untuk mengabdi diri. Saya pujuk-pujuk diri ini semoga mengerti erti pengabdian yang dituntut oleh Ilahi

Pada satu malam pengajian ( pada pertama kalinya ) kami diberi penjelasan dalam sessi ceramah mingguan  bahawa kita boleh membawa "apa jua masaalah", terutamanya masaalah yang besar ke dalam solat. Kata Ustaz Solat adalah Wasilah untuk berdoa. Allah lihat diri kita dengan teliti ketika kita memanjatkan hasrat hati yang kita buat penuh khusyuk yang kita ulang berkali-kali. Allah perhati kesungguhan ini. InsyaAllah, kata ustaz akan Allah tunai mengikut apa yang terbaik pada diri mengikut kehendakNya yang maha bijaksana maha mengetahui.

Rasulullah menerima wahyu menukar Qiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram ketika dalam solat. Selalu sahaja Rasulullah mengharap-harap pertukaran Qiblat ini dan Allah menunaikannya. Kekhusyukan dan keikhlasan adalah ciri utama yang membawa doa kita dalam solat naik ke pangkuan Ilahi. Kata ustaz seharusnya  ada kebersentuhan "Hati" oleh pemohon kepada yang "menerima permohonan", iaitu Allah swt yang maha agong dan  maha tinggi. Maka akan terbukalah pintu keredhaan dan akan tertunailah permohonan, dengan Rahmatnya kepada hamba-hambanya yang Allah kasihi.

 Ya Allah,
Yang maha Pengasih, maha Penyang
Langit-langit dan Bumi luas terbentang
Aku keseorangan dalam  mencari penyelesaian
Hanya Engkau yang aku sembah dan hanya pada Engkau aku mohon pertolongan.
Wahai Tuhan, Pencipta sekian alam
Tanamkan dalam hati ini kekuatan dan keyakinan iman
Dan dalam minda ini keberanian dan keinsafan
Untuk bekalan ku mencari jalan terbaik meringan beban
Mengikut sunnah kekasihMu Nabi Muhammad saw yang Tersayang
Ya Allah.....
Yang maha mendengar segala rintihan
Limpahkanlah pada ku ilham untuk mendapat penyelesaian
Kerana tiada sesuatu yang bergerak melainkan Engkau berkehendakan
Walau sebesar zahrah sekalipun, semuanya  Engkau yang punya Engkau yang Mentadbirkan
Ya Allah,
Engkau Tuhan yang maha Perkasa dan maha Bijaksana
Jauhkan aku dari pemikiran dangkal yang membawa manusia ke lembah hina
Aku takut berlumba-lumba tetapi hakikatnya meraba-raba  dalam gelap gelita
Hanya untuk mencari penyelesaian hidup selesa di dunia
Ya Allah....
Kewujudan Engkau adalah benar, bertemu pengadilan Engkau adalah benar
Neraka itu benar, Syurga itu benar
  Peliharalah aku dan ibu bapaku dan keluarga ku dari kemurkaan mu
Semoga kesudahan  kami dalam keampunan dan keredhaan
Mendapat kurnian Taman-taman Indah Pilihan bersama semua yang kami sayang.
Allahuma Ameen, Ya Allah Ya Tuhan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails