Kami juga berpeluang melawat beberapa sekolah. Saya terlepas pandang mencatat sekolah ini di bandar mana. Cuma saya ingat sekolah ini dibina oleh pemerintah. Tetapi oleh kerana 80% adalah murid-murid yang beragama Islam maka pengurusan sekolah dibenarkan menyesuaikan pengajaran dan pembelajaran menikut kehendak ibu-bapa Islam sebaik mungkin tanpa menjejas kepentingan yang lain. Saya tidak berpeluang bertanya banyak perkara kerana masaalah bahasa. Ketua rombongan kami sahaja yang tahu Mandarin dan maklumat tidak dapat dipastikan ketepatannya. Cuma kami kagum kerana guru-guru ramai yang Islam dan di bawah ini dua orang guru yang melayan kami. Yang seorang itu ialah pelajar Malaysia yang sedang belajar bahasa Mandarin dan sedikit sebanyak dapat membantu kami berfahaman.
Di atas adalah sebahagian dari murid-murid yang kami temui. Riang dan 'curious' melihat tetamu asing. Nampak seperti mereka ingin berkata sesuatu...tetapi apakan daya. Mereka hanya tertawa....kami pun tertawa. Ini adalah sekolah menengah. Di bawah pula kami rakam foto bersama pengetua yang sedang uzur tetapi tetap berjumpa dengan kami dan senyum-senyum menyatakan kegembiraan menerima kedatangan kami melalui ketua rombongan kami.
Saya perhatikan sekolah ini menitikberatkan kebersihan dan murid-murid dilatih untuk membiasakan diri dengan budaya kebersihan.
Anak-anak dimana-mana serupa sahaja. Orang dewasalah yang mewarnainya, terutama sekali ibu bapa, kemudian guru dan seterusnya ahli masyarakat. Harus ada kesedaran dan komitmen untuk membentuk arah tuju yang Benar bagi kanak-kanak. Pertamanya dari segi ILMU dan serentak dengannya konsep Iman dan Taqwa.
Saya menulis entry ini berasaskan sedikit maklumat yang saya perolehi melalui google. Pendidikan Islam secara madrasah yang bergabung dengan masjid adalah dibiayai oleh kerajaan dan swasta. Ada beberapa NGO seperti China Islamic Association dan Cawangan-cawangannya di daerah-daerah menerima dana dari Kerajaan China. Namun masyarakt Islam tidak bergantung sangat pada dana itu. Geran dari masjid dan individu-individu tertentu amat membantu masyarakat Islam setempat. Antaranya adalah di bandar Kunming sendiri. Kurikulanya meliputi pengajaran alQuran, sejarah Islam, bahasa Arab dan juga mempelajari kebudayaan dan sastera China kerana itu asas untuk assimilasi dari dahulu lagi.
Dari sebuah penulisan, saya memahami bahawa Yunnan adalah satu-satunya daerah yang amat bergiat membangunkan masyarakat Islam. Mereka membina semula Institusi-Institusi Islam selepas ia hapuskan semasa pemerintahan Mao ze Tong semasa "Cultural Revolution" dahulu. Dalam kurun 13 dan 14 Yunnan menarik minat ramai pelajar Muslim untuk meningkatkan pengajian dan pengetahuan Islam. Dan ramai Ilmuan dari Yunan yang dijemput ke daerah-daerah lain untuk mengembangkan Islam. Sekarang ramai terdapat pelajar-pelajar yang pergi menuntut di negara-negara Islam termasuk Malaysia. Maka sekarang banyaklah buku-buku yang dapat diterjemahkan ke Bahasa Mandarin dan Islam berkembang dengan lebih pesat lagi.
Di Yunan pendidikan wanita menjadi teras utama. Kalau wanita terdidik, Negara dapat munafaatnya. "Educate a woman -Educate a Nation". Maka di Yunan beberapa Independant Islamic Schools dibina khas untuk wanita.
Kami berpeluang melawat sebuah Institusi khas untuk remaja wanita. Tersergam Indah bangunannya. Kami menemui beberapa pelajar secara tidak rasmi. Mereka suka menjawab pertanyaan sedikit-sedikit dalam bahasa Arab dan Inggeris. Saya kagum dengan usaha mereka kerana tidak bergantung pada pemerintah. Rata-rata pelajar berumur dari 17 tahun hingga 23 tahun. Kebanyakan mereka akan berpeluang menjadi guru untuk sekolah-sekolah rendah dan menengah jurusan Islam.
Saya rakam dibawah ini beberapa foto bersama mereka.
Ini teman saya dengan seorang guru di kolej tersebut.
Saya kagum dengan usaha menentukan kesinambungan pendidikan Islam antara genarasi. Saya terfikir : Kenapa di Malaysia kerja-kerja dakwah untuk keturunan China seperti tidak dapat dirasai. Mungkin kerana pendakwah Islam yang ada tidak menguasai bahasa Mandarin. Atau mungkinkah kerana peraturan-peraturan yang ada menghalang kegiatan berdakwah pada mereka.
Kalaulah orang Malaysia keturunan China tahu bahawa di Negara China bilangan China yang beragama Islam lebih ramai dari orang Islam di Malaysia, saya rasa mereka tidak akan ragu-ragu untuk menerima Islam.
Maka dari segi politik tidak akan ada kekhuatiran untuk menerima hasrat kerajaan melaksana hukum-hukum Islam sepenuhnya.
Mungkin di Malaysia stategy berdakwah salah fokus. Mengapa diperbesarkan isu hudud walhal itu hanya sebahagian dari kebaikan agama Islam.
Undang-undang jenayah sivil jika kita perhatikan betul-betul adalah tidak berperikemanusiaan. Lihat hukum sebat, contohnya. Habis tersiat kulit dan daging. Hukum sebat dalam Islam hanya untuk memalukan bukan untuk mencederakan hingga parah.
Isu potong tangan dan rejam pun salah cara menerangkannya. Mungkin mereka ini melihat contoh yang di buat di sesetengah negara Africa yang sebenarnya pada pendapat saya tidak menepati kehendak Islam sebenarnya.
Saya tidak bertujuang berbicang panjang lebar dalam isu ini kerana saya buka ahli pakar. Cuma saya berfikir-fikir sendirian perihal Cina dan Islam di Malaysia. Saya amat takut saya tidak dapat berlepas diri dalam hal ini di hadapan Mahkamah RabbulJalil nanti.
Mohon keampunan Mu ya Rabb...
...
No comments:
Post a Comment