Sudah lama saya tidak mengikuti kumpulan "Tadarus sepanjang hayat" yang diurus oleh seorang teman karib di Kelana Jaya. Hari ini saya menunaikan hajat teman untuk bersama supaya di akhir sessi nanti saya boleh mengetuai doa memohon kesejahteraan dunia akhirat semua ahli kumpulan di samping mendoakan anaknya yang akan melahirkan seorang lagi anak bila-bila masa kini.
Saya pergi ke rumahnya tergesa-gesa kelewatan kerana ada program di Masjid pada pagi itu. Tadarus sudah bermula dan saya menyelit duduk dalam satu kumpulan yang berada di muka pintu dapur. Saya kenal semuanya. Ternyata saya yang tertua. Saya hanya senyum dan duduk menanti giliran.
Sejam berlalu dan tamatlah sessi tadarus. Saya bangun dan pergi menjumpai teman-teman ahli baru yang belum saya temui sekian lama.
Di sudut sebuah meja seorang teman lama senyum ceria memandang ke arah saya.
"Oh Sham", saya gugup mengingati namanya. "lamanya tak jumpa..."
"Ingatkan dah tak kenal", dia manarik tangan saya memberi isyarat untuk duduk di sampingnya.
"Eh...manakan gitu. Kita kan serupa....suka membantah jika yang dikatakan boss tidak munasabah..."
Kami gelak terkuat sedikit mengimbau kembali cerita lama semasa bekerja...
"Sihat ke?" Sham bertanya dan kami sama sama merenung muka.
"Ahamdulilah....lutut sakit sikit bila turun naik tangga."
"Ahh...sikit. You tengok kaki I" Sham menarik kainnya dan saya terkejut melihat kedua kakinya memakai seperti sarung keras untuk menahan kekuatan supaya boleh berjalan.
"Kenapa...patah ke?" saya cuba bersimpati dengannya.
"No...." ringkas jawabnya dan tiba-tiba keriangannya kelihatan berubah di muka.
Saya pun serentak rasa terhiba melihat keadaan kakinya. Dulu ia lincah dan sekarang katanya dia kena guna tongkat dan pada hari-hari yang agak berat, ia kena guna kerusi roda.
Saya tergamam untuk bertanya seterus bagaimana ia mengurus diri seharian. Tidak berapa lama dulu saya sudah mendengari cerita sedihnya bahawa ia sudah berpisah dengan suaminya kerana suaminya berkahwin dengan seorang gadis jauh lebih muda darinya. Katanya ia mengambil keputusan mengundur diri kerana tidak mahu berkongsi kasih seorang suami.
"Don't look sad, Sobah. I am managing okay," katanya bila memandang muka saya. Sememangnya saya seperti rasa mahu menangis melihatnya demikian dalam usia sebegini lanjut ditinggalkan suaminya. Kasih anak-anak tidak akan serupa.
Lantas ia bangun berjalan perlahan mengambil juadah yang terhidang. Teman-teman lain membantunya.
Saya terduduk seorang buat seketika......
Kemudian bangun dan makan.... pura-pura seperti saya tidak rasa apa-apa.
Di rumah saya ceritakan perihal teman saya ini pada suami. Saya teringatkan sebuah entry dalam blog Genta Rasa yang berjodol "Mencari kecantikan isteri bukan isteri yang masih cantik".
"Kenapa seorang suami tidak boleh menerima kekurang isteri di masa tua dan berkorban menahan kemahuan nalurinya semata-mata untuk menghargai segala pengorbanan yang di buat oleh isteri semasa mudanya ?"
Suami saya senyap sahaja....saya sudah jangka ia tidak akan komen sesuatu yang mungkin merumitkan lagi perasaan saya.
Begitulah manusia....
Maka saya letak foto di atas yang saya rakam baru-baru ini di Tangkak semasa mencari tapak untuk membina sebuah sekolah jika ada rezki yang turun dari langit yang tidak disangka-sangka.
Ia gersang dan ditinggalkan....
Bukan semua manusia bolih menerima hakikat umur tua.
Saya mendidik hati untuk menerima seadanya. Biar Allah yang mengaturkan segalanya......
Sebuah iktibar hidup....
....
No comments:
Post a Comment