"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, November 22, 2014

Mengira cucu ?.....





Saya ada 12 orang cucu. Yang tua berumur 9 tahun dan yang kecil sekali berumur 3 bulan. Bukan saya suka mengira cucu, tetapi itu hakikatnya.

Rata-rata manusia tetap suka mengira, mengira itu, mengira ini, mengira harta atau apa sahaja. Ada yang suka mengira anak-cucu, seronok katanya. Ada yang berpendapat bertanya bilangan cucu tidak mengapa sebab itu lumrah orang berumah tangga.

Tetapi sering kita lupa. Ada orang yang tidak punya anak atau anak saudara atau siapa jua dan ia hidup sebatang karah. Pastinya hatinya tersedih bila ditanya ' anak berapa'  atau ditanya 'dah ada cucu ke belum'. Setengah orang tidak berfikir atau memerhati sebelum bertanya. Ia kurang peka.



Ramai kita yang kurang sensitif. Sewajarnya kita harus berhati-hati bila bertanya. Saya pula tidak mengapa ditanya bagaimana cara sekali pun kerana sudah faham perangai manusia yang biasa-biasa. Allah sudah mengatakan bahawa suami dan anak-anak atau isteri dan anak-anak, termasuk cucu adalah hiasan hidup semata-mata. Jangan kita tersilap tafsir dan merasakan bahawa kaya anak cucu itu bererti akan gemilang masa depannya. 

Kita harus berwaspada ke mana harus ditumpu perhatian kita. Kita bersyukur apa jua yang Allah kurnia.

Bercerita mengenai anak-cucu, saya rakam di sini foto bayi dan anak-anak kecil yang kami asuh dan didik di Taska SmarTop Subur Fitrah. Saya selalu mengatakan pada guru-guru di SmarTop Subur Fitrah bahawa bayi dan anak-anak kecil yang kita asuh, didik dan kita santuni adalah juga anak-anak kita. Kata setengah ustaz, takrif anak soleh yang mendoakan kedua ibu-bapanya bukan semestinya anak kandung semata-mata. Maka anak yang kita didik dan besarkan termasuk anak angkat dan sebagainya adalah juga anak-anak yang boleh mendoakan kita. Maka kita tidak harus putus harapan sekiranya Allah tidak mengurnia kita zuriat warisan. Allah swt itu maha Adil dan maha Bijaksana.

Setiap kali saya melawat dan mengodit pengurusan Tadika dan Taska saya akan duduk beberapa ketika bersama anak-anak ini dan melihat bagaimana mereka diurus dan diasuh. Saya perhatikan karenah dan kelincahan mereka yang berbeza antara individu. Semua baik belaka kerana mereka masih putih bersih. Fitrah anak-anak menjadi asas utama proses mengasuh dan mendidik. Saya berfikir-fikir sambil memerhati. Adakah hasil usaha kami ini menepati hasrat mahu menyumbang pada pembentukan Insan Kamil dan pembentukan kesejahteraan ummah sejagat. Kecil sahaja usaha ini tetapi kami menyimpan harapan semoga Allah memberkati.



Semoga terlahirlah warisan anak-cucu yang akan membela Kebenaran yang Hakiki. Bukan hanya sebuah retorik, tetapi sebuah jihad tulus iklas.

.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails