Foto Ehsan Google search.
Saya bertemu Doktor di IJN (Institut Jantung Negara) hari ini. Tidak lama saya menunggu, sekadar 45 minit lebih kurang.
Saya telah ada temu janji dengan seorang pakar dan saya rasa agak lega kerana ingin tahu apa sebenarnya masaalah jantung saya kali ini.
Bika saya masuk di biliknya, ia sedang membaca laporan saya. Itu kiraan saya. Saya berdiri seketika menanti arahannya.
"Sila duduk", katanya. Saya duduk. Suami saya menemani saya kerana saya kurang kederat untuk memandu sendirian.
Doktor bertanya soalan-soalan yang telah saya cerita semasa saya diperikasa di Unit Kecemasan dua minggu yang lalu.
- Sakit di mana.
- Ketika mana sakit.
- Tidur atas satu bantal atau dua atau tiga bantal.
- Adakah sakit bila tarik nafas.
- Sekarang makan ubat apa.
- Berbagai.......saya dah lupa.
Sebelum ditanya selanjutnya saya bercerita apa yang telah di lakukan oleh Doktor saya semasa saya mengikuti satu kajian di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Saya telah buat ingeogram (maaf salah ejaan) lebih kurang 2 atau 3 tahun lalu dan didapati tidak ada saluran yang bermasaalah. ECG saya pun clear dan normal. Panjang juga saya bercerita. Tetapi semuanya hanya dikira sebagai maklumat latar belakang kerana dia merupakan lapuran lisan sahaja. Tidak ada data dan maklumat rasmi yang lainnya. Maka ia tidak boleh membuat apa-apa keputusan apa sebenarnya masaalah saya.
Saya rasa sedikit kecewa bila Doktor memberi gambaran bahawa kes saya perlu diperiksa semula, mengikut prosidur IJN. Saya diminta setuju dan lantas diberi surat kebenaran untuk ditanda tangan kepada Doktor untuk berbuat apa yang difikirkannya sesuai dengan masaalah saya. Doktor menyebut prosidur teknikal tetapi saya sudah tidak ingat. Saya yakin pada kepakarannya dan bersetuju serah sahaja atas budi bicaranya. Saya tidak ada pilihan kalau mahukan rawatan.
Doktor memberi tahu saya bahawa ia tidak akan memberi apa-apa ubat pada saya hari itu kerana kes saya kabur dan saya alah dengan Asprin. Terdiam seketika dan hanya melihat mukanya kerana saya kehairanan mengapa tidak diberi ubat walhal saya rasa Janyung saya bermasaalah.
Kepada siapa lagi saya harus mengadu hal? Saya di kira sakit tetapi tidak sakit......?
Kemudian Doktor menyebut mengenai heart attack. (Doktor banyak berbahasa Inggeris, mungkin kerana saya banyak bertanya dalam bahasa Inggeris). Saya minta penjelasan lanjut. Rasa bimbang juga mendengarinya.
"Walaupun saya tidak memberi apa-apa ubat, tidak bererti awak tidak akan kena heart attack."
Mula-mula saya takut bercampur bingung. Kemudian cepat-cepat saya beristighfar memohon ampun, memohon Allah memudahkan urusan saya menjaga jantung saya. Saya lihat terus muka doktor dan entah mengapa saya senyum. Bukan saya senyum padanya. Saya senyum sendirian kerana waktu itu juga saya teringat apa kata Ustaz saya mengenai Jantung.
Mungkin saya sudah cerita sebelum ini dalam blog saya mengenai peranan otak dan peranan jantung dalam tubuh kita. Jantung sahaja organ dalam tubuh yang tidak boleh dan tidak dapat diarah oleh Otak kita. Jantung bertindak sendirian. Jantung tidak mengikut arahan otak. Ustaz mengatakan itu tandanya bahawa Jantung kita kenal Allah walaupun otak kita mungkin tidak kenal Allah. Allah berurusan terus pada Jantung, dalam bahasa kita. Maka tup..tup... saya terkata pada Doktor:
"Tak apelah doktor kalau tak ada ubat. Saya pun yakin bahawa umur kita Allah sudah tahu bila akan samapi detik akhirnya. Kita mati, maka Jantung berhenti....Bukan Jantung berhenti baru kita mati."
Ustaz kata bila sampai waktu dan detiknya, Allah akan arah Malaikat ambil nyawa kita. Pisahkan Ruh dari badan. Bila sudah ada arahan itu maka Jantung akan ikut arahan dan berhenti. Tetapi dari segi kebiasaanya kita tidak mengetahui apa yang kita tidak dengari, iaitu hal-hal yang ghaib. Maka kita merasakan seolah-olah Jantung berhenti baru kita mati.
Saya rasa doktor tidak faham "bebelan saya". Saya pun terus bangun untuk beredar dan tunggu diluar untuk membolehkan doktor menulis apa yang perlu ditulis untuk membolehkan saya mendapatkan tarikh temujanji yang akan datang. Doktor senyum bila saya mengucapkan terima kasih. Tidak dapat saya duga apa yang ada di fikirannya mengenai apa yang saya katakan.
Sepanjang perjalanan pulang saya terus berfikir-fikir apa hikmahnya saya harus terus merasakan "discomfort" di dada saya hingga saya bertemu lagi dengan doktor pada 19 Mei setelah menjalani satu prosidur pada 24 April ini. Itu pun hanya Allah yang maha tahu.
Suami saya kata: Allah uji sedikit supaya kita bersabar dan yakin (betul-betul yakin) bahawa hanya Allah yang maha mengetahui mengenai ciptaanNya. Ilmu yang ada pada doktor pun hanya sekelumit yang diizinlkn untuk manuasia menjalani hidup di dunia ini. Tiada kekuatan melainkan kekuatan Allah. Dan tidak akan bergerak sebutir zahrah pun kalau Allah tidak mengizinkannya.
Kini saya lega setelah berfikir dengan Hati dan bukan dengan Otak semata-mata. Semoga Allah menganugerah keampunanNya dan memudahkan urusan hidup saya hingga samapi Temujanji denganNya dan Allah kurnia yang terbaik di sisiNya.
Aamiin ya Rabb....
.....
No comments:
Post a Comment