"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, March 23, 2015

Menterjemah Cinta...





Bunga Mawar lambang cinta....antara manusia dan manusia yang hatinya sudah disisipi naluri berbagai budaya.........

Maka apa erti cinta...

Tersentuh di hati ingin bicara cinta seorang teman yang punya prinsip memegang erti cinta yang luar biasa....cinta antara diri dan suaminya.

Ia berumur 51 tahun dan diceraikan suaminya hampir tiga tahun yang lalu kerana suaminya berkahwin dengan seorang wanita lain yang dianggapnya lebih baik dari dirinya. Ia lebih muda dan lebih lincah perwatakkannya. Teman saya ini pernah meyakinkan saya bahawa ia redha menjadi isteri tua dan dengan rela hati  memaafkan suaminya kerana ia yakin suaminya memalingkan dirinya  semata-mata tergoda dan bukan memilih kerana akhlaknya. "Derita"  hatinya bukan suatu yang mudah difahami, namun ia tetap setia dan yakin suatu hari nanti ia akan kembali padanya. Walau apa sekali pun, ia amat yakin bahawa  apa yang Allah takdirkan baginya pasti suatu yang terbaik baginya di sisi Haliknya.

Sebelum bercerai mereka tinggal berjauhan, amat berjauhan merentasi lautan. Dia menyebut pada saya jarang-jarang sekali suami pulang melihat keadaan, dan bertanyakan khabar langsung tidak ada  dalam kiraan. Selalu ia tinggal berseorangan dan keseorangan. Sesekali dia cerita juga demikian. Dahulunya ia guru terlatih di sekolah menengah  kebangsaan dan bersara awal kerana mahu menumpu membantu urusn perniagaan suaminya yang selalunya kesibukan. Apabila suaminya jarang pulang, ia minta izin suaminya untuk menyertai kami berurusan dalam bidang pendidikan supaya fikirannya sibuk dengan suatu yang bermunafaat berpanjangan.  Ada sekali ia mengatakan pada saya: "Kak, suami saya dah dikidnap orang...dah lama tidak kedengaran, berhadapan pun tidak..."  Saya kagum kerana ia berkata dengan senyuman. Saya perhatikan ia sentiasa tenang, redha hatinya jelas terbayang di air mukanya yang tidak pernah muram. Mungkin kerana ia banyak membaca dan masa lapangnya tidak terguna untuk menghasihani diri berpanjangan. Dia juga suka berurusan dengan badan-badan sukarela yang sehaluan dengan fikrahnya sejak dahulu hingga sekarang. Dan kesibukan itu saya percaya telah membuatnya  cerdas untuk bersilaturrahim dengan kekawan. Ia pandai menyimpan rahsia hati dan pada kami semua ia banyak berkorban.

Bicara di atas  adalah seperti bicara biasa dalam masyarakat kita kini. Agaknya sudah banyak diceritakan dalam novel sastera atau dalam drama TV di mana jua.  Dalam keluarga besar saya, peristiwa seperti ini ada juga terjadi.

Di mana ada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan....

Ada ahli keluarga yang mudah menerima dan tidak kurang pula yang hanya senyum bila ditanya. Ada yang berfalsafah, dan ada yang ingin memerhati sebelum bersuara. Berbagai reaksi dan berbagai rasa. Itulah manusia.......

Sering kita dengari di kuliah-kulih terbuka atau di laman sosial yang kini makin rancak membicarakan fenomena-fenomena seperti ini yang masih dianggap "controvercial". Ini adalah salah satu darinya. Secara peribadi saya juga mendengarinya  dengan fikiran terbuka kerana Islam membenarkannya. Cuma ada suara-suara yang agak terkilan kerana mungkin mereka berpendapat syarat-syarat ketat yang dimaktubkan tidak diambil kira oleh sesetengah mereka yang mengambil tindakan untuk keselesaan dirinya sahaja. Entahlah....hanya Allah yang maha mengetahui segalanya.

Teman saya ini redha semata. Itu yang kami lihat dan di hati hanya Allah yang maha Bijaksana mengenalinya. Beberapa teman mahu meregukan dia denagn pihak yang difikirkan sesuai dengannya. Sering ia bersahaja mengatakan ia masih ingat pada "Si Dia" dan lebih suka bersendirian hidup mengingat detik-detik gembira mereka bersama. Memori sangat indah padanya tidak mungkin boleh dilupakan begitu sahaja. 

Namun.....
Satu hari kami agak "terkejut" mendengari bahawa ada lamaran yang membuka hatinya. Dipendekan cerita,  kini mereka sudah diijabkabulkan dan semua keluarga dan sahabat handai sudah rasa lega dan amat gembira kerana dia sudah bertapak di bumi nyata. Dia kata pasti dirinya tidak akan ingat lagi pada "Si Dia".  Yang pergi biar pergi mengapa hati di biarkan "tersiksa". Itu saya yang kata. Di hatinya sering ia bercerita bahawa biar Allah yang menentukan apa akhirnya. Kebahagiaan adalah milik Allah, semuanya milik Allah. Maka kita tidak perlu berduka nestapa tentang sesuatu yang telah hilang dari kita. Dia yakin dalam apa jua, kalau kita redha dan sentisa bersyukur dengan kurniaan yang maha Pencipta, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik darinya.

Itulah  cerita teman saya, yang ada caranya sendiri  menterjemah cinta. 






Alhamdulilah, semoga ia terus bahagia di bawah lindungan kasih sayang yang maha Esa. Cinta manusia ada yang boleh "membawa" ke Syurga dengan izin dan limpah rahmatNya. Ada yang Allah uji dengan panas terik dan hujan ribut buat seketika. Disangkan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari........

Mungkin hujan berpanjangan. Tetapi Allah kurnia pelangi diakhirnya. Pelangi di mata dan pelangi di hati semoga untuk selamanya.

Suami saya mengenali teman saya ini. Dan sesekali saya bercerita mengeni fenomena poligami yang ahli masyarakt kita selalu memperkatakannya. Ada yang membawa hujah dari  hujah-hujah yang biasa didengarinya. Ada yang benar-benar mahu mempertahankan tindakanya dengan membawa hujah yang katanya dari alQuran dan Hadith yang tidak boleh dipertikai oleh sesiapa jua. Ada yang kebingungan tertanya-tanya mengapa pentadbiran syarat-syarat dan proses mengenainya dalam negara kita kurang kemas dan kurang memihak pada isteri yang sudah ada terlebih dahulu dari yang kedua dan yang  ketiga dan yang seterusnya. 

Sehubungan dengan ini saya pernah dipinjamkan sebuah novel Tauhid oleh seorang teman lama yang berjodol "SEBARKAN CINTA MU"  yang ditulis oleh Fatimah Syarha Mohd. Noordin yang diterbitkan oleh PTS dalam tahun 2012. Beliau adalah lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ijazah pertama Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan dan Ijazah Sarjana dibidang Fiqh dan Usul al-Fiqh. Beliau juga punya kelulusan lain yang berkaitan yang membuat saya yakin akan kesahihan penulisannya.


Saya belum membaca sepenuhnya tetapi apa yang saya baca  sudah cukup untuk saya mengukir semula fahaman saya mengenai poligami yang dahulunya saya terima dengan hanya mengunakan fikiran dan emosi. Dalam buku ini ada banyak fakta yang ditakrif oleh penulis yang membuat saya mahu mengkongsikan bacaan buku ini. Antara yang menarik perhatian saya ialah Rasulullah salallahualaihiwasalam menggambarkan "tidak serononya rasa hatinya jika anak perempuan kesayangannya di sakiti. (fahaman saya dalam konteks poligami). Ini jarang mahu diperkata oleh pihak yang mahu mencari keselesaan dirinya sahaja.

Bacalah sendiri buku ini untuk menilai kesahihannya, atau sekurang-kurangnya untuk tahu bahawa ada beberapa fakta yang tidak pernah kita dengar. Rupa-rupanya adalah Hdith yang diiktiraf sahih baginya yang boleh memberi kefahan yang lebih mendalam.

Sering juga saya mendengari orang lelaki mengatakan bahawa junjungan kita Nabi Muhammad salallahualaiwasalam suka akan tiga perkara. Dan yang ketiga ia suka akan perempuan. (He loves women). Dan ini digunakan sebagai sumber bukti bahawa poligami itu sememangnya sesuatu yang amat digalakan mengikut "sunnah" Nabi kita. Dahulu apabila saya mendengarinya saya mendiamkan diri sahaja dan tidaklah saya suka berbicara membabi buta. Diam itu lebih baik.....

Kebetulan baru-baru ini saya mengikuti sebuah siri ceramah dalam you tube oleh Shaykh Hamzah Yusuf mengenai hal ini. Sila rujuk"Women Shariah and Islam" yang dirakam pada tahun 2013. 
Beliau mengatakan fakta Rasulullah (SAW) suka wanita bukan dalam konteks hubungan jasad lelaki wanita (sexuality) tetapi dalam konteks bahawa Rasulullah (SAW) mahu mengutarakan bahawa beliau amat menghargai sifat-sifat unggul wanita terutamanya dari segi sifat kasih sayang dan belas kasihan dalam mengendali sebuah keluarga. Rasulullah amat kagum dengan sifat-sifat itu dan mahu mengatakan pada ummatnya supaya sama-sama menghargami anugerah ini dari Allah pada kaum lelaki yang rata-rata kaum lelaki agak kekurangan.

Saya tidak mahu berlebihan hujah kerana takut keterlaluan dalam bicara sesuatu yang bukan ahlinya. Rujuklah sendiri.






Cinta adalah suatu perasaan yang amat peribadi. Ini pendapat saya sahaja. Sukar hendak diperkata atau dibicarakan. Ia terserlah dalam tindak tanduk seseorang dan pembawakan diri seseorang. Selalunya jika seseorang itu benar-benar ikhlas dalam cinta ia akan terzahir tanpa disedarinya. Cinta bukan sesuatu yang diperkata dibibir. Ia perlu pembuktian....pada Allah yang maha Pencipta terutamanya. Cinta kita hanya relevan dalam paradigma Iman dan Taqwa, pada sesama manusia dan semua makhluk dan ciptaan Allah yang lainya. Mungkin dilain bicara kita cerita penterjemahan Cinta yang lain pula......

Cinta itu indah....seindah mawar, malah tidak terkata. Kita lihat semula nama-nama Allah yang terkait denganNya........sifat maha kasih dan maha sayang (ar Rahman dan ar Rahim).


Apalah manusia.....

Saya pun manusia, penuh dengan segala kekurangan dan kelemahan.......
Seorang sang suami  dari keluarga besar saya pernah berkata mengenai "menduakan cinta": Saya tak sanggup menjadi sebab isteri saya dimurkai oleh Allah hanya sahaja saya berkahwin lagi dan isteri saya tidak lagi setia pada saya dan mengambil tindkan yang tidak syarie dan menjejaskan dirinya di hadapan Mahkamah yang maha Agong. Kalau saya kahwin lagi belum pasti masaalah saya selesai semuanya tetapi saya mengundang masaalah lain. Mungkin sebab itu juga kedudukan saya sebagai suami tidak lagi selari dengan kehendak Allah. Mungkin seronoknya sebentar, tetapi padahnya berpanjangan. Saya kasihan isteri saya!

Akhir kata, saya tidak ada apa-apa lagi yang hendak saya katakan. Sama-sama kita bertekad menyelesaikan masaalah tanpa mengundang masaalah lain. Sama-samalah kita mohon petunjuk Allah semoga apa jua tidakan yang kita lakukan ada nilai tambah yang kita redha dan Allah pun meredhai. 

Semoga Allah mengampuni dan melimpahi kita semua dengan Rahmatnya yang tidak terhingga.
Aamiin ya Rabb.

....

No comments:

Related Posts with Thumbnails