"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, July 14, 2016

Erti berkeluarga, cubit peha kiri peha kanan sakit juga........



EID MUBARAK

Sudah menjadi kebiasaan setiap Hari Raya, mereka yang mampu akan merakam gambar keluarga. Berbagai cara yang diaturkan untuk nampak cantik dan bersatu. Tapi keluarga saya ikut dann sahaja....


Saya rasa tidak mengapa.....biar tidak teratur dalam foto tetapi pada hal-hal tertentu, sebuah keluarga harus menghayati ciri didiplin yang syar'ie dan juga mengikut tata susila hubungan manusia yang beradab dan punya nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi. 








Semoga begitu harapan saya kerana begitulah usaha saya menyatukan hati-hati anak cucu dalam keluarga kecil dan juga sama pentingnya dalam keluarga besar.Proses mengasuh dan mendidik anak-cucu bukan suatu yang mudah walaupun dari luaran nampak seperti mudah. Mendidik ciri-ciri seperti menyantuni keluarga yang lebih tua dan bersabar serta suka berkorban demi maslahah keluarga memerlukan contoh-contoh dari ahli keluarga yang tua dahulu. Dalam keluarga kecil dan keluarga besar harus juga ada elemen Mentor. Ia lebih mudah difahami dan mudah diikuti.



Dalam keluarga saya tidak mudah hendak mendapatkan satu foto shoot 
yang ada semua ahli dengan teratur. Maka di atas ini saya rakam berbagai ragam untuk kenangan warisan jika kesampaian.
Ini pun masih ada yang tidak termasuk, iaitu 
Muhammad Amin menantu sulung saya.



Sulitnya mendapat kerjasama.......


Membina sebuah rumah tangga sememangnya bukan suatu yang mudah. Mengambil foto pun menjadi suatu yang sulit, inikan pula membina suatu keluarga yang cuba dibina bersamanya elemen mawaddah dan sakinah. Menjadi doa saya yang berterusan semoga keluarga yang saya bina dengan "sweat and tears" ini tidak diganggu gugat oleh elemen-elemen sosial atau elemen dari media sosial atau apa jua yang boleh memecahkan pautan kasih yang dibina dengan peluh bertitisan dan tangisan di malam sepi sendirian.

Selalu orang berkata apa yang terjadi dalam hidup kita, baik atau sebaliknya, itu merupakan satu takdir dari Allah dan ia merupakan ujian. Bukan tujuan saya untuk bercerita definasi takdir dan ujian kerana saya bukan ahlinya. Cuma saya suka fikir-fikir atau setengah ustaz kata: fikir-zikir bahawa apa jua yang berlaku dalam hidup kita ada elemen pilihan pada diri manusia. Bukan semuanya takdir dari Allah dari asalnya. Allah bagi kita intelek atau daya berfikir supaya kita berfikir sebelum membuat sesuatu pilihan. Pasti akhirnya Allah jua yang menentukan kerana manusia tidak ada hak dan tidak ada kekuatan untuk menjadikan sesuatu itu berlaku.

Dalam al Quran Allah ada sebut yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam beragama." Ini bermakna Allah memberi kita peluang berfikir dan membuat pilihan. Allah maha Bijaksana dan maha Adil. Tidak mungkin, dan jitu mustahil, Allah menzalimi hambanya atau apa jua ciptaanNya.

Dalam hal ini selalu saya katakan pada anak-anak yang sedang mengasuh dan mendidik cucu-cucu supaya sentiasa peka akan elemen bahawa kita punya pilihan (a smaller will within the Bigger Will). Maka jangan mudah membuat apa jua kerosakan dan mengatakan itu takdir dari Allah. Maha suci Allah. Subhanallah........

Alhamdulillah, dalam apa jua kesulitan yang saya hadapi hingga umur senja ini, saya bersyukur, setinggi tinggi kesyukuran, keluarga saya mempunyai ikatan kasih yang kuat antara semua ahli....muda dan tua. Semua dengan kehendak Allah jua. Saya tua dan suami saya pun tua. Umur melepasi tujuh-puluhan adalah umur untuk fokus kepada hakikat bahawa Allah akan jemput kita bila-bila masa. Semoga kami tidak disibukan dengan melayani hawa nafsu hidup yang merugikan. Semoga tidak ada sesiapa atau apa jua elemen yang akan mengambil kesempatan atau menerjah menggelincirkan kami dari landasan membina sebuah keluarga bahagia walaupun dalam keadaan serba susah. Namun tidak ada nikmat Allah sedikit pun yang kami dustakan.Berat sama dijunjung, senang sama dijinjing. Hati gajah sama-sama dilapah dan hati kuman sama-sama dicecah. Ibaratnya begitu. Kata Ustaz Bakhtiar Nasir dari Indonesia dalam bukunya "Masuk Syurga Sekeluarga", kita harus total dalam usaha mentarbiah keluarga. Akan saya cuba ikuti. Saya berdoa semoga Allah memberi perlindungan yang kukuh dan menganugerah kebahagian dan juga kesejahteraan. Semoga tidak ada elemen-elemen negatif dari dalaman atau luaran yang akan mengubah secara langsung atau tidak langsung kebahagian dan kesejahteraan yang Allah kurnia. Ya Allah peliharalah kami......

Apa jua situasi, saya berpegang teguh pada prinsip kebergantungan kita hanya pada Allah. Kita merancang...namun Allah pun merancang dan Allah jua yang maha Perancang dan maha Menentukan. Saya belajar mendidik hati semoga redha atas segala ujian kerana ketentuan Allah jua yang terbaik di sisiNYA. Jalan mencapai RedhaNya penuh ranjau. Semoga Allah menurunkan pertolongan dan di akhir liku-liku hidup sebegini nanti, Allah jemput kita menghuni Syurga FirdausNya dengan memudahkan proses hisab atau tanpa hisab dan kekal abadi di sampingNya bersama semua yang kita sayangi. 
Aameen ya Rabb.......








Mohon keampunan Mu ya Rabb....
Semoga mendapat anugerah Rahmat Mu yang tidak terhingga.



......

2 comments:

wati said...

Well said..terima kasih berkongsi rasa dan pandangan..

ngasobahseliman said...

Terima kasih dear Wati sudi singgah. Begitulah laluan hidup. Semoga Allah sentiasa bersama kita.

Related Posts with Thumbnails