"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, July 12, 2016

Meniti rindu.....




Sebelum hari raya saya sudah katakan pada kakak saya rasa rindu saya pada saudara di kampung yang sudah lama saya tidak menjenguk mereka. Kampung ini adalah kampung yang jauh noooon di Penerok, dekat dengan Kukup yang terkenal dengan Tanjung Piai sebagai point paling selatan di benua Asia.

Semasa saya kecil saya selalu ikut emak saya menoreh getah di kampung yang lebih dalam, di pinggiran hutan.( Saya pernah cerita sejarah saya membesar dalam entry blog saya yang lama-lama dahulu.)



Ini keluarga yang saya ziarahi pada Syawal ke dua. Yang pakai baju biru itulah yang dahulunya semasa mudanya selalu membantu emak saya mengurus kebun getah dan juga membantu memproses getah keping. Anak-anak generasi sekarang sudah tidak tahu proses ini kerana ramai pekebun kecil menjual getah cair nya ke satu orang tengah yang memprosesnya di kilang. 

Saya panggil dia Wak Noh dan isterinya Kak Timah. Kini Wak Noh berumur lewat lapan-puluhan dan sangat uzur. Dia sudah tidak dapat bersuara kerana "vocal chord" nya sudah tidak berfungsi. Abangnya yang juga membantu kami kini sudah kembali ke Rahmatullah. Rasa sedih saya amat sangat tetapi saya tahankan supaya tidak mengubah suasana hari raya.Kami bersembang melalui Kak Timah. Dia berumur lewat tujuh-puluhan. 

Saya ambil nasihat ustaz. Ziarahilah "teman sekerja" emak dan bapak kita sebagai tanda penghargaan kita pada mereka. Emak sudah lebih sepuluh tahun meninggalkan kami dan bila bersembang dengan kak Timah saya ingat semula peristiwa saya melalui umur remaja saya. Kami hidup susah tetapi  ketika itu saya sentiasa riang kerana ada saudara yang mahu membantu emak saya. Sering mereka memberi hutang duit untuk saya beli buku dan apa jua keperluan sekolah. Saya rasa amat terhutang budi dan Hari Raya kali ini saya cari jalan juga untuk ke rumah mereka. Semoga Allah kurnia umur panjang dan dapat bertemu lagi........




Ini rumah mereka kini.




Saya ziarah juga Kak Komah yang saya selfie di sini. Dahulu dia tinggal jauh dari kami dan emak hanya ajak kami ke rumahnya apabila emak saya mahu "mengaji" dan bertanyakan beberapa hal agama pada suaminya yang jauh lebih tua darinya dan sudah lama meninggal dunia. Waktu itu susah mahu mencari Ilmu tetapi dengan bimbinga bapak, emak saya rajin mencari "guru" walau jauh. Dahulu kami berjalan kaki berbatu untuk ziarah menziarahi melalui kebun-kebun getah yang penuh semak samun. Bukan seperti kebun getah sekarang yang bolih dikira tidak ada semak samun.

Rasa sayu dan penuh keinsafan mengingat semula hidup saya lima puluh lima tahun yang lampau......



Alhamdulilah, berkat doa emak bapak  dan usaha gigih mereka saya tamat persekolahan ketahap yang termampu. Semoga Allah mengganjari mereka yang membantu kami dan usaha mereka diterima sebagai amalan soleh yang menjadi bekalan hidup di akhirat nanti.

Kak Komah kini hampir 90 tahun umurnya dan sudah banyak lupa-lupa. Dia seperingkat umur dengan kakak saya yang tertua. Kakak saya sudah pulang selamanya 7 tahun yang lalu. Semoga Allah mengasihani mereka semua dan mereka mendapat tempat istimewa di sisiNya.

Semoga kerinduan ini menguatkan tekad untuk beramal mendekatkan diri padaNya, Allah yang maha Pencipta.
Aameen ya Rabb....


......

No comments:

Related Posts with Thumbnails