"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, June 8, 2017

Jangan rugi macam saya rugi......


Hari ini Ramadhan yang ke 13. Alhamdulilah. Saya ingin kongsikan rasa sesalan kerana tidak jaga makan dan pemakan sejak muda. Saya kes diabetik yang agak serious dan sudah 2 kali tidak dapat menghabiskan puasa kerana Hipo.....gula dalam darah terlalu rendah. Doktor saya sudah maklumkan saya untuk tidak berpuasa bila hipo kerana bahaya kena stroke.

Saya rugi kerana tidak cukup hati-hati menjaga kesihatan. Maka sukalah saya saranankan supaya serious dalam memilih jenis makanan semoga sentiasa sihat. Jangan rugi macam saya rugi.

Satu perkara lagi saya rugi. Semasa saya bekerja dahulu pun saya tidak ambil pot/kisah untuk menganggotai mana-mana NGO sebagai wasilah untuk berkhidmat pada masyarakat dan ummah secara teratur. Kini kederat fisikal makin hari makin berkurangan. Saya berfikiran waktu itu bahawa saya akan aktif bila bersara nanti. Tiada siapa menasihati saya bahawa bila bersara kesihatan akan menjadi penghalang untuk aktif dan masa menjadi berkurangan kerana digunakan untuk berehat dan merawat bila kesihatan tergendala. Saya berpeluang hanya sedikit menjadi sukarelawan Aman Palestin secara tidak rasmi dan membantu dalam aktiviti FUND RAISING sejurus selepas bersara. Saya juga menjadi ahli biasa dalam Persatuan Mawadah Malaysia, tetapi hanya seketika membantu dalam mencari dana untuk membiayai aktiviti sosial.

Rugi rasanya.....

Saya rugi maka saya nasihatkan anak saya dan anak-anak buah saya untuk aktif dalam NGO yang komited membantu masyarakat dan ummah secara umumnya. Jangan tunggu bersara dari kerjaya. Jangan abaikan waktu muda.

Waktu muda saya juga kurang aktif menimba Ilmu untuk memahami Islam lebih mendalam dan meningkatkan amal soleh dalam kehidupan. Saya berumur 30 atau 31 tahun apabila saya memaksa diri membaca terjemahan alQuran dalam bahasa Inggeris untuk pertama kalinya. Mungkin dalam tahun 1979 atau 1980. Sudah lupa bila. Lepas itu barulah terdorong sedikit-sedikit untuk memperbaiki diri. Proses yang amat perlahan bila saya lihat kembali sekarang. Tidak cukup tumpuan.

Saya rugi maka saya sentiasa mendorong pegawai dan staf saya semasa saya masih bekerja supaya berusaha untuk mula awal dan tekun mempelajari Ilmu Islam kerana ia sangat luas. Saya didorong oleh seorang teman untuk mengambil Diploma Pengajian Islam di UKM pada tahun 1985-1987. Saya turuti nasihatnya. Tetapi kemajuan saya amat lembap sekali. Hingga kini pun saya hanya tahu sedikit sekali.

Saya rugi......

Banyak yang saya rugi.....
Dalam usaha menginfakan masa dan tenaga dan wang ringgit juga saya amat ketinggalan kerana tidak memahami ibadah membantu sesama insan dan ambil peduli juga kepada haiwan yang Allah tuntut dalam alQuran. Saya cuba mengubah haluan apabila saya dengari Ustaz dalam kelas yang diaturkan. Ayat dibawah ini membawa kesan pada fikiran. Memberilah sebanyak yang mungkin walaupun sendiri kesusahan. Berat dan saya heret kemahuan. Semoga Berterusan.


A133

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
(A-li'Imraan 3:133) |


A134
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
(A-li'Imraan 3:134


Banyak sekali yang saya ingin kongsikan akan perihal kerugian. Ada sedikit kesenangan Allah berikan tetapi lagha membazir masa yang kini hangus ditelan usia zaman. 

Sesalan.....

Tetapi tidak mungkin semuanya saya ceritakan. Cukuplah setakat ini untuk pengajaran.

Dalam Ramadhan ini semoga Allah mengampuni segalan kekurangan dan kelemahan dan segala dosa yang amat berat timbangan. Saya rugi dalam banyak hal, yang tersembunyi dan yang nyata. Semoga Allah tutup aib kesalahan. Semoga Allah masih mengurnia ruang dan peluang untuk berkorban demi Kebenaran. Taubat nasuhah semoga dapat saya lakukan berterusan dan Taufik dan Hidayah dari Allah saya pohonkan. Tidak tertebus segala kesalahan. Hanya limpah Rahmatnya yang diharapkan semoga hidup ini Allah corakkan berlainan dan jalan mencari Redhanya sentiasa Allah dorongkan. Semoga di akhir nanti api neraka Allah hindarkan dan Syurga Firdaus Allah kurniakan dengan Rahmatnya yang tiada tepian dan mendapat kebahagian yang berkekalan.

Aamiin ya Rabb...



.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails