"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, June 24, 2010

"A ROAD MAP TO RETIREMENT" / A JOURNEY TO AN END.

Baru-baru ini saya membaca blog seorang yang sedang menghidap penyakit barah payudara. Antara tema blognya ialah "....a journey to an end". Beliau merasakan hidupnya tidak lama lagi dan perlu membuat persiapan yang sewajarnya. Beliau tidak bersungut sama sekali malahan bersyukur kerana diberi amaran yang dapat memperingat diri bahawa satu hari nanti  kita tidak ada di tempat ini. Kita akan pergi atau dikembalikan, sama ada mahu atau tidak mahu, sama ada bersedia atau tidak bersedia.  Saya rasa  agak tersentuh dan lantas teringat pada firman Allah yang selalu disebut-sebut oleh Ustaz dalam pengajian. Katanya : "Setiap yang hidup akan menemui mati". Al Quran mengatakan dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud seperti berikut:
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari Qiamat sahajalah disempurnakan pahala mu. Barangsiapa dijauhkan diri dari neraka dan dimasukkan didalam syurga maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."
Dan banyak lagi ayat-ayat yang mengingatkan manusia bahawa hidup ini amat sementara bagi semua, yang tua atau muda, yang kaya atau miskin, yang sihat atau sakit, yang bersenang-senang atau yang sentiasa disibukan.Namun Allah swt tidak membiarkan manusia ciptaanNya menjalani hidup ini tanpa pedoman  Manusia diajar bagaimana memilih antara yang baik dan yang buruk dan yang mana Allah suka dan yang mana Ia benci. Maka Kitab-kitab yang menjadi panduan dan ikutan diturunkan dari beberapa peringkat zaman. Yang wajib diketahui ialah Kitab Taurat (nabi Musa AS), Kitab Zabur (nabi Daud AS), Kitab Injil
 (nabi Isa AS) dan  Al Quran (nabi Muhamad SAW).


 Hidup ini adalah satu perjalanan. Ramai yang telah mengakui hakikat ini dan telah selalu diperkatakan bahawa setiap perjalanan pasti ada destinasi yang dituju.  Dan selalu juga diperbincangkan mana satu yang lebih penting : Perjalanan atau Destinasi?  Ada yang mengatakan: "Never mind the destination, just enjoy the journey." Ia itu "Jangan kita  kira di mana destinasi asalkan sahaja kita dapat menikmati perjalanan itu." Saya rasa pendapat ini kurang tepat. Pada saya kedua-duanya amat penting. Allah telang menegaskan bahawa tidak Ia menciptakan  manusia dan Jin melainkan untuk mengabdikan diri padaNya.


ingat semasa pergi bagaimana kembali

Saya amat bersimpati dengan mereka yang menghidap penyakit yang belum ditemui cara perubatan yang jelas. Saya sendiri ada penyakit "tiga serangkai" sejak umur empat puluhan. Alhamdulilah.


Allah memberi kejutan awal pada saya dan semoga saya tidak lagha dalam perjalanan hidup ini. Doa teman-teman dan sanak -saudara memberi rangsangan untuk meneruskan perjuangan dalam baki umur yang sedikit ini.

Dalam senario hidup ibarat mengejar masa dan meniti ranjau-ranjau yang tajam saya berpeluang berbicara dengan seorang anak muda yang telah memulakan kerjayanya di luar negara baru-baru ini. Saya bersembang  dalam satu majlis tidak begitu rasmi antara lain  mengenai isu semasa di negara itu. Dalam pada itu saya sempat juga bercerita mengenai diri bahawa saya seorang yang telah "bersara" dan sekarang sibuk sedikit dengan kerja-kerja NGO (Badan -badan sukarela bukan Kerajaan). Ditakdirkan saya duduk di majlis itu berhadapan dengan Boss pegawai ini dan beliau menyelitkan komen mengapa saya bercerita mengenai persaraan walhal pegawai ini baru memulakan kerjayanya. Saya menjawab selamba mengatakan bahawa ia relevan supaya pegawai muda mewmpunyai ROAD MAP untuk menuju dunia "persaraan" secara awal-awal lagi. Allah swt sentiasa mengingatkan kita bahawa dihujung kehidupan itu adalah kematian, dan kita diingatkan untuk bersedia menghadapi maut yang sesaat tidak boleh dicepatkan atau dilewatkan, maka tidaklah salah kita berfikir -fikir awal dalam perjalanan  kerjaya untuk menemui penghujungnya kerana suatu hari nanti kita akan bersara atau disarakan.

Dengan adanya "road map" ini kita dapat berfikir, merancang dan merangka misi dan visi kerjaya kita. Masa berkerja selama lebih kurang 35 tahun bukanlah suatu masa yang panjang jika kita melihat ke belakang.(secara hind sight). Dalam menghadapi situasi ke hadapan kita akan merasakan bahawa 35 tahun itu lama dan panjang. Tetapi jikalau kita tidak mempunyai falsafah halatuju yang sempurna maka apabila 35 tahun itu selesai, kita akan terkapai-kapai tidak tahu apa yang perlu dibuat selepas itu. Kajian telah dibuat oleh seorang pegawai awam semasa membuat PhDnya bahawa hanya lebih kurang 20% peratus pegawai tidak menhadapi masaalah psikologi dan sosial selepas bersara. Yang lainya mengambil masa yang agak  panjang untuk menyesesuaikan diri masing-masing.

semasa naik ingat bagaimana turun

Bagi saya pula, penyesuaian diri dalam persaraan tidak begitu sulit kerana maklumlah saya keturunan "pendatang dari seberang" dan telah dididik dan dibesarkan sebagai seorang yang sentiasa peka mengenai cara menghadapi kehidupan yang serba kekurangan.( "I have learnt to be a survivor".) Alhamdulilah, segala puji bagi Allah. Tambahan pula saya didampingi oleh teman-teman yang punya daya ketahanan hidup yang boleh dicontohi dan kuat dalam semangat memperjuangkan Kebenaran. Maka saya sedikit sebanyak mendapat habuan tempias keseronokan merentas kehidupan yang serba mencabar ini. Maka alam persaraan tidak menjadi masaalah dari segi penggunaan masa dan tenaga.Alhamdulilah.

Saya yakin jika kita ada "Road map" yang rapi dan komprehensif  ia dapat membantu memilih dan membuat dasar-dasar awam yang baik untuk keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai penjawat awam dan apabila dianugerah kesempatan menjawat jawatan-jawatan tinggi, maka tugas merangka dan melaksan program yang baik tidak akan menjadi masaalah. Dan jika dalam masa yang sama kita selalu bemujahadah dengan Allah swt, maka kita akan mendapat kekuatan untuk melawan arus sekiranya ada senario yang demikian. Maka apabila sampai ketika untuk bersara, kita tidak akan ada banyak perkara yang kita akan rasa terkilan ,(regrets). Kita akan berasa lega dan dapat meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran denagan cara yang lain pula.

Dalam generasi saya dahulu, ramai penjawat awam bila bersara akan bercerita mengenai kejayaan yang dicapai. Amat jarang-jarang sekali saya mendengar mereka mengatakan mengenai  "keterkilanan" mereka, seolah-olah semuanya baik dan seolah-olah kita tidak ada apa-apa lagi yang akan dipertanggong jawabkan di hadapan RabbulJalil..WaAllahu'alam. Saya hanya mampu memerhati. Bagi diri saya, detik persaraan dari kerjaya penjawat awam adalah ibarat satu detik penialian oleh Alla swt. (Moments or Truths). Maka dalam majlis kecil saya diraikan, saya tulis dan baca sajak yang tidak sepertinya di bawah ini sebagai menyimpulkan apa yang ada dalam hati dan minda saya mengenai hidup dan kehidupan, dan persaraan sebagai tanda aras keberkesanan saya sebagai hamba yang sepatutnya menghambakan diri pada Allah semata-mata.. Saya kongsikan di sini sebagai ingatan muhasabah diri yang berterusan bagi saya jua. 

BAYANGAN SAKARATUL MAUT

Mei 2003..........
Detik pemisahan bermula
Garis lintasan ditanda
Gementar dan gemuruh rasa dijiwa,
Bagai dihampiri Sakaratul Maut yang pasti tibanya
Detik itu di panggil 'bersara'
Ditafsir juga ibarat sudah sampai masanya
Setiap bicara dinilai semula,
Setiap langkah diukur jauhnya
Hembusan nafas ditanya semua

Degupan jantung tidak terkecuali darinya.

Di mana agaknya kita ..................................
Rasa kaku untuk memikirnya
Apatah lagi untuk menjawabnya.
Masih banyak yang belum sempat diperkata
Kerana takut digelar buta mata.
Masih banyak yang belum dicuba 
Kerana takut digelar mengada-ngada.
Masih banyak yang belum dilaksana 
Kerana takut digelar pelampau yang tidak mengerti batasan kuasa.


Buntu dan serabut bila pula mengenang,
Laluan-laluan yang diredah tanpa perhitungan,
Janji-janji yang tidak dan belum tertunai,
Tiada ilmu yang benar-benar dimunafaatkan,
Menzalimi diri dan insan sekeliling tanpa kesedaran
Itu disangka kejayaan.








 Haru sungguh kini dirasa,
Yang disangka unggul rupanya hayalan semata.
Yang disangka sejahtera hanya bayangan jua.
Seperti Musafir kehausan di padang pasir kering kontang
Melihat "mirage" disangka air ibarat tasik terbentang
Kecewa .........
Hakikat tekadnya tidak tercapai
Hajatnya tidak kesampaian.

bila tiada "road map" yang  jelas dan nyata
yang terang nampak gelap jua.

Teringat pula tindakan-tindakan dihari silam
Impian hati memacu usha dan tenaga tanpa kiraan 
Menyusun langkah mengikut arah tiupan angin melawanan pesanan
Kerana takut papa kedana di pentas dunia dan keseorangan
Kerana takut dipinggirkan dari golongan yang dianggap berjaya dan terhias kenamaan.
 
Agenda akhirat, pahala dan dosa jarang-jarang sekali dibincangkan
Kononnya itu lambang kemunduran minda dan akal fikiran.
Alangkah dangkal hati budi dan ceteknya iman,
Tidak yakin Rahmat Allah mengatasi segalanya, sejahtera aman.

Detik 2003.................
Tidak mengira anugerah gelaran pada nama,
Tidak mengira harta dan pengaruh kuasa sekelilingnya
Tidak mengira paras rupa dan waris yang ada...
Hanya perlu beri penjelasan bicara hati dan gundahnya jiwa
Yang didengari jelas RabbulJalil jua bagi penetapanNya
Di mana agaknya kita.......................................






Tidak mampu jasad kerdil ini menjawabnya,
Hanya maghfirah yang Esa jua dipohon dipinta
Melutut sujud membenam muka menitiskan air mata
Semoga jasad dan Ruh ini diterima dan terbela,
Mendapat kurnia RahmatNya yang tidak terhingga
Taman-taman Syurga tempaat berlabuh buat selamanya. 

WaAllahua'lam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails