"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, November 29, 2010

APABILA SEORANG KAKAK..........


..........HAMPIR SEPERTI SEORANG IBU.

Entah mengapa tahun ini saya terkenang banyak perkara dalam melalui EidulAdha. Saya teringat pengorbanan kakak saya yang tertua yang telah pulang ke Rahmat Allah 3 tahun dulu dalam usia 83 tahun. Beza umur dengannya lebih kurang 20 tahun. Kakak saya itu ibu tunggal dari muda lagi dan ia tinggal bersama emak dan bapak dan mengasuh 3 orang anaknya. Kakak saya inilah yang buat sarapan untuk kami  dan bekalan untuk ke sekolah. Oleh kerana kami ramai (termasuk anak-anak kakak saya yang no. 2) terpaksalah ia bangun awal pagi. Dia akan pergi menoreh dahulu dalam gelap-gelap dan bila hampir subuh ia akan balik untuk masak sarapan dan lain-lain tugas yang semestinya dibuat supaya kami kesekolah agak terjaga dan teratur. Kami semua berjalan ke sekolah sejauh hampir satu kilometer. Kami lapan orang kesemuanya yang agak sebaya dan tugas kakak saya seperti "house mother" dalam asrama.Kami membantunya bila pulang dari sekolah. Kami bantu cari daun-daun di belukar untuk bungkus tempe. Kakak saya ini pandai buat tempe dan ia dikirimkan di kedai untuk dijual dengan bayaran upah jual. Begitu pengorbanan seorang kakak.

Saya ingat pengorbanan kakak saya yang no. 2 semasa tinggal bersamanya semasa bersekolah Di English College di Johor Bahru di tingkatan enam dalam tahun 1965-66. Kakak ini juga telah pulang ke Rahmat Allah pada tahun 1981 ketika umurnya 53 tahun disebabkab 'stroke'. Semasa itu saya di US menghadiri pengajian Sarjana dan cepat-cepat saya tambah credit hours dalam satu semester supaya dapat segera pulang. Kakak ini amat istimewa bagi saya. Saya tahu dia amat sayang pada saya. Keluarga kakak saya ini  miskin dengan 10 orang anak. Suaminya seorang tukang kayu dan kerjanya membuat rumah-rumah di kampung.(Kg Melayu Majidee). Satu ketika yang tidak akan saya lupa buat selamanya ialah suatu hari dia datang ke asrama SIGS Johor Bahru dengan memikul sekantung buah rambutan untuk saya dan kawan-kawan dengan menaiki bas. Saya sudah lama tidak balik, dia 'kangen' dan dia hendak pastikan saya rasa buah rambutan di pokok di belakang rumahnya. Bayangkan dia sanggup pikul kantung (seperti guni) dan tidak rasa malu. Ketika itu tidak ada orang datang ke asrtama begitu cara. Anak-anak orang yang berada yang di ziarahi menaiki kereta melihat sahaja perihal kedatangan kakak saya yng sahih-sahih menampakan kakak saya "orang kampung". Dia nampak seronok saya terus sahaja bagikan buah rambutan itu pada kawan-kawan yang ada di sekeliling. Kemudian saya hantarkan dia pulang ke perhentian bas. Saya akan rasa amat sayu setiap kali saya mengingat peristiwa itu.

Kakak saya yang ke 3 kini hilang deria penglihatan kerana penyakit kencing manis. Pengorbanan istimewanya pada saya ialah usahanya menyalin buku-buku teks darjah satu dalam tahun 1954 untuk saya belajar mengheja dan membaca kerana kami tidak mampu untuk membelinya. Ketika itu saya belajar menggunakan "papan batu". Anak-anak dan cucu-cucu saya tidak akan mengerti pengorbanan seperti ini.






Banyak lagi kisah-kisah jalinan kasih sayang kakak-kakak pada adik bongsu. Tidak dapat saya ceritakan kesemuanya dalam blog ini. Hasil kegigihan mereka bersama emak dan bapak,  saya berjaya dalam pelajaran dan pendidikan walaupun tidak keperingkat cemerlang. Alhamdulilah. Allah kurnia kejayaan pada sesiapa yang dikehendakinya. Kita hanya perlu ikhtiar. Itu pesanan Allahyarham emak saya.

Gambar bersama kakak yang ke 4 dan ke 5 beserta anak saudara di Pontian
menjamu selera sempena juga meraikan ulang tahun perkahwinan saya.



Tahun ini saya ingin merakamkan detik-detik bersama kakak-kakak saya yang masih ada yang semuanya sudah menjangkau lebih 70 tahun. Saya tidak berpeluang berbuat begitu dengan kakak yang pertama dan kedua. Semoga cucu-cucu saya berpeluang membaca entry ini satu hari nanti dan semoga ia akan memahami erti kasih sayang saudara sekandung dan erti pengorbanan yang tua pada yang muda dan erti penghargaan yang muda pada yang tua. Kata Allahyarham P.Ramlee kasih saudara sama berada. Semoga dalam keluarga saya nanti kita tidak menilai kasih sayang dengan hal-hal kebendaan.

Semoga Allah meredhai semua usaha kami dan semoga emak dan bapak mendapat ganjarannya. Semoga Allah mengampuni dan meredhai. Ameen.

4 comments:

Makbonda61 said...

Salam puan,

Begitulah orang baik dan berbudi.
Ada disenangi,
tiada di rindui,
mati diratapi,
sumbangan dihargai,
didoakan keampunan dan kesejahteraan walau telah menghadap Ilahi.

Harimau mati meninggalkan belang,manusia mati meninggalkan nama.

ngasobahseliman said...

Semoga nama yang ditinggal nama yang baik, nama yang disebut-sebut malaikat untuk mendapat syurga tanpa hisab.Sama-sama kita doa. Salam.

Kerabu Jantung said...

Bestnya ada ramai adik beradik dan saling sayang menyayangi pulak.
Sememangnya kasih sayang antara ahli keluarga mengatasi segala yang ada di atas dunia ini.
Yang dah pergi tetap dirindui dan yang masih ada sangat disayangi....
Semoga dapat bersama pula di akhirat kelak....

ngasobahseliman said...

Dear Kerabu Jantung. Terima kasih sudi baca. Sekarang ini yang saya fikir-fikir kalaulah ditakdirkan semua kakak saya pergi dulu dari saya, agaknya macam mana saya akan mengendali diri. Memang ada anak, tetapi kakak saya macam jadi "pillars" of my life. Saya hanya mampu berdoa semoga Allah memudahkan dan meredhai kami dan kita semua. Salam.

Related Posts with Thumbnails