"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, April 20, 2013

....a story to tell






 Setiap lima tahun warga Malaysia akan mengundi memilih pemimpin yang dipercayainya.

Keluarga besar saya mula aktif dalam kempen pilihan raya sejak tahun 80an. Ini kakak saya bersama cucu-cucunya yang saya rakam dua tahun dulu. Berumur 75 tahun, kakak saya ini lebih cergas dan lebih sihat dari saya. Ia pesara  guru biasa di sekolah rendah dan kini aktif bersama sahabat handai di kampung belajar dan mengajar sekadar kemampuannya.

Minat politiknya hanya berasaskan maklumat yang terdapat dari media massa sahaja. Ia buta komputer dan jika anak cucu menunjukan sesuatu padanya maka barulah ia boleh membacanya. Namun ia sering meminta anaknya menceritakan apa yang sedang berlaku sekarang di dunia luar dan di negeri sendiri. Ia suka cerita-cerita mengenai Gaza dan sering bergiat memungut derma dari teman-teman sekampung untuk Palestine. Ia menyerahkan pada saya dan saya akan panjangkan sama ada pada Aman Palestine Bhd  atau Pertubuhan Mawaddah Malaysia, NGO yang saya sertai. Alhamdulilah. Ia tidak suka duduk diam.

Setiap pilihan raya ia akan mengibarkan bendera PAS di hadapan rumahnya dan sepanjang jalan kecil dalam kawasan tanah warisan bapak saya. Minatnya kental kerana padanya itulah sahaja yang ia mampu untuk menyokong perjuangan Islam dalam hidupnya. Semangat perjuangan mempertahankan bumi Islam di Palestine mengerakan  semangatnya.  Semasa emak saya ada ia mengikut kehendak dan fahaman emak saya "berpolitik" dan UMNO adalah asas perjuangannya. Saya hanya mendengar dan melihat dan kadang-kadang "mencabar" pendapatnya. Emak saya pekat UMNO tetapi di pilihan raya yang terakhir sebelum ia meninggal dunia ia mendengar nasihat kakak saya dan ia mengundi PAS.

"Alah...undi PAS pun bukan boleh menang. UMNO jugak yang menang."

"Tak ape Mak," kata kakak saya . "Kita menang di akhirat."

Emak saya diam. Entah apa yang difikirnya. Semoga ia dilandasan yang benar.

Negeri Johor adalah kubu kuat UMNO. Tetapi kakak saya tak hairan. Kalah atau menang adalah satu perjuangan, katanya, macam di Palestine. 

"Aku pun suka nak berjihad."
 Kakak saya diam-diam ia melanggan HARAKAH. Bila saya tanya bagaimana ia beli HARAKAH, ia menjeling saya dan kata: "Bila ada kemahuan, di situ ada jalan. Allah masih bagi aku kederat. Pandai-pandailah aku cari."

Agak saya dia suruh anak atau jiran membelinya. Dan setelah mendadapat maklumat dari orang-orang sekeliling dan dari membaca risalah-risalah alternatif,  minatnya pada PAS tidak luntur walau pun diajak beberapa teman untuk beraktiviti dalam UMNO. Aktiviti UMNO memang menarik sebab ada jamuan sedap-sedap. Tapi kakak saya tidak tertarik.

"Aku dah tahu sekarang. Ustaz kata kita mesti bergantung pada Allah, bukan sesama manusia. Lagi pulak aku dengar juga orang kata UMNO dulu memang bagus, tapi UMNO sekarang jaga periuk nasi sendiri saja. Aku dah tua. Nak ikut cara lain pulak. Aku berdoa Allah redha dengan pilihan aku."

Saya senyum lebar. Kakak saya sedarah sedaging dengan saya...keturunan Jawa kontrak yang berani merentasi lautan bergelora untuk mengubah kehidupan. Maka ia sedang mengubah kehidupan.

Semalam dia menalipon saya. Dia bercerita dia sedang menjahit bendera PAS sebab bendera yang dia dapat dan pasang tinggi telah di curi orang, agaknya dirobek-robek dan  dimusnahkan. Entah siapa yang curi. Aku letak kat kawasan rumah aku, itu pun ada orang dengki.

Pada pilihan raya yang dahulu pun dia menjahit bendera sendiri. Dibelinya kain hijau dan putih dan dijahit mengikut kemampuannya. Besar saiznya, Bulan yang dijahit tidaklah bulat macam yang dicetak. Tapi dia tidak peduli. Janji nampak bulat. Warna hijaunya pun tak berapa tepat. Tapi dia kata itu tak ape. Janji hijau.

Saya salute kakak saya. Dia mengatakan saya masih goyang sebab tak pasang bendera kat rumah saya di Petaling Jaya. Saya katakan: "Di bandar orang dah cukup paham. Undi tu rahsia. Dia pangkahlah apa yang dia suka. Allah kan maha melihat dan maha mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi...."

"Engkau jangan cakap lain, buat lain."
"Eh...takkan kita nak bermusuhan pulak. Dalam Islam kita boleh berbeza pendapat, tapi kita tetap bersaudara. "
Dia diam. Tentu dia boleh agak apa dalam hati saya kerana  saya selalu cerita padanya yang  Islam di Malaysia tak kuat. Orang yang mengaku beriman suka kutuk-kutuk ulamak tanpa usul pereksa. Apa yang saya tahu saya cerita padanya. Lagi kuat semangatnya untuk memastikan PAS menang.

"Bila engkau nak balik tengok bendera aku," kakak saya menggesa saya. "Engkau ambik satu pasang kat rumah engkau."

"Dah tak sempat nak balik." saya katakan padanya.
"Esuk nak ke Tangkak. Ikut kawan kempen."
"Kempen PAS ke UMNO ?" Kakak saya menggesa saya lagi. 
"Esuk kita ceritalah. Yang pasti kita doa supaya yang menang  orang yang berilmu, beriman dan bertaqwa. InsyaAllah pertolongan Allah hampir."

"OK, aku suruh anak-anak aku doa. Harap-harap diorang ikut pilihan ku."

Seorang Ibu tetap seorang Ibu. Mahu anak-anaknya mendengar nasihatnya.

Sama-sama kita tunggu....
Semoga sentiasa dalam redha Allah.
Ameen, Ya Rabb....

No comments:

Related Posts with Thumbnails