"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, December 25, 2013

"Seni Berfikir...."



Ini lukisan mural di dinding Tadika SmarTop. Seni lukis menjadi hobi seorang Murobiah kami. Dia menyumbang tenaga menghias sekolah dluar waktu mengajar.
Teacher Farah namanya.


DiSmarTop kami mengadakan mesyuarat teacher-staff dua minggu sekali dalam keadaan biasa dan antara yang kami selitkan dalam agenda perbincangan ialah 'kebolehan berfikir'. Saya secara peribadi suka topik ini kerana fakta ini yang membezakan sama ada kita dapat melihat dan merasai sesuatu dengan lebih jelas dan tepat atau kita boleh tersalah tafsir dan dengan itu memegang sesuatu maklumat atau kepercayaan yang sebaliknya. Semasa bekerja dahulu saya di arah menghadiri beberapa sessi latihan mengenai kebolehan mengurus dan antara yang terpenting dalam menjana kebolehan ini ialah kebolehan berfikir.

Saya masih terkial-kial memperbaiki diri kerana bukan mudah untuk berfikir maka saya katakan berfikir itu ialah "satu seni". Tidak semua orang yang berpendidikan tinggi boleh berfikir dengan betul. Tidak semua orang yang dikatakan bijak bandai boleh sentiasa berfikir dengan betul. Saya sendiri menyedari bahawa saya sendiri secara peribadi pun boleh tersasar-sasar dalam berfikir. Kadang-kadang pun kecundang. Semoga allah mengampuni...

Saya pernah ditanya: apakah fakta yang membuat seseorang itu berfikir dengan betul.

Kita fikirkan bersama. Saya bukan ahlinya hanya cuma ingin berkongsi sesuatu untuk memantapkan daya fikir sendiri. Semoga saya dapat "mempengaruhi" anak-cucu cara berfikir yang betul dan wajar. Setakat itu sahaja kemampuan yang ada.Namun cita-cita yang terpendam ialah untuk menjadi ahli fikir yang berwibawa berwadahkan iman dan taqwa.

Baru-baru ini saya menonton National Geography dan ia bercerita mengenai bagaiman Otak kita boleh mengelirukan kita. Saya ingin kongsikan sedikit di sini dalam konteks kita sering bertelingkah kerana kita tidak menyedari bahawa otak kita boleh "menipu" kita. Otak manusia banyak menyimpan PRASANGKA (prejudices) hasil dari pengalaman hidup dan pengalaman kerjaya yang dilalui atau dari pembacaan yang dibuat atau dari apa jua dokumen atau bahan dalam teknologi moden kini yang  dikaji dan diteliti.Kalau kita sudah amat terbiasa berfikiran berasaskan semua ilmu dan fakta yang ada pada diri, memanglah susah untuk kita bertukar haluan dan corak dalam berfikir. RESET MINDA kata pendakwah terkenal Professor Dr  Muhaya  dalam ceramahnya yang sering diulang-ulang dengan menggunakan berbagai contoh.

Proses untuk Reset Minda memerlukan pembacaan yang luas atau dengan mendengari berbagai ceramah atau dengan meneliti dengan rapai apa jua yang berlaku di sekeliling kita dengan fikiran terbuka. Buangkan semua bentuk prasangka. "Kosongkan hati" buat seketika demi mencari kebenaran dalam memikirkan sesuatu hal.

Kalau kita sanggup berbuat demikian dan dikemaskan pula dengan doa yang tidak putus-putus semoga Allah meanugerah kebijaksanaan , maka insyaAllah kita boleh berfikiran sewajarnya tanpa menyelewengkan fakta dengan senghaja. Dengan cara ini juga kita boleh mengenal pasti fakta logik yang tidak betul., iaitu "logical falacies". Ada yang menggunakan erti logical falacies sebagai logika songsang. 

Ia nampak seperti betul tetapi sebenarnya tidak betul. 
Contohnya: (saya masih ingat contoh yang diberi oleh Professor DiRaja Ungku A. Aziz semasa saya  menghadiri kuliah beliau tahun I di University Malaya pada tahun 1969)

Katanya: "If you drink beer with ice, you will get drunk. If you drink brandy with ice, you will get drunk. If you drink vodka with ice you will also get drunk. The common factor is ice. Therefore logically it is ice that caused a person to be drunk. It seems like it is logical, but of course that is false.

Seperti itu kita boleh terperangkap dengan fakta logik dalam fikiran kita. Kadang-kadang bersebab kerana otak kita malas berfikir. Hanya mudah ikut sahaja. Kadang-kadang kita terperangkap kerana mengikut siapa yang mengatakan sesuatu fakta itu. Biasanya kalau orang itu orang yang terkenal dalam organisasi atau masyarakat, ada kecenderongan bagi yang mendengar untuk mempercayai apa jua yang dikatakan.

Maka bagaimana kita boleh menghindari perangkap seperti itu?

Saya tiada jawapan yang tepat dan sempurna kerana saya pun bukan pakar berfikir. Saya juga masih terkejut-kejut dalam memikirkan sesuatu. Cuma dari pengalaman yang ada  saya suka kongsikan satu fakata yang semua kita sering berhadapan dengannya. Iaitu apabila kita melihat sesuatu kejadian atau mendengari sesuatu cerita, janganlah kita terus membuat apa jua kesimpulan sebelum kita membuat analisa sekurang-kurangnya dari dua sudut pemerhatian. Terbaik jika kita dapat melihat gambaran penuh berasaskan 360 darjah sekeliling. Ingat juga bagaimana orang lain berfikir dan cuba elakan segala prasangka. Isu "empathy" harus juga kita ambil kira. Isu 'EGO" dalam diri juga harus kita bendung dalam proses berfikir itu kerana ini elemen yang boleh menyelewengkan kita dari landasan yang benar. Dalam berfikir bukan isu "Aku" yang harus ditekankan. Kita mencari kesaksamaan dan keadilan dalam berfikir untuk mencapai sesuatu keputusan. Kita berfikir untuk mencari kebenaran dan bukan untuk membenarkan apa yang kita fikir.......

Dalam reality hidup sememangnya kita tidak dapat meyakinkan semua orang dan kita tidak dapat membuat semua orang menerima pendapat kita. Kita cuma mengharapkan ramai yang boleh menerima atas sebab-sebab kewarasan pemikiran dan berasaskan fakta-fakta yang betul.

Sebenarnya isu kebolehan berfikir ini merupakan suatu yang perlu perbicangan yang mendalam dengan contoh-contoh yang telah disokong dengan kajian saintifik. Maka saya sudahi di sini sahaja idea saya yang hanya "touch-n-go" ini. 

Namun demikian apa yang lebih penting dari berkebolehan berfikir ialah keberanian untuk menghujahkan pemikiran kita. Tidak bermunafaat kalau kita hanya bijak berfikir tetapi takut mahu mengeluarkan pemikiran kita dan berani mempertahankan kebenaran pemikiran kita itu.

Semoga Allah menunjuki jalan yang benar.
Ameen....

....

2 comments:

wati said...

Aminn..

ngasobahseliman said...

Terima kasih doakan sama. Untie ingin berkenalan....Salam.

Related Posts with Thumbnails