"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, May 18, 2014

"Ini Pasu Bunga...." kakak mengajar membaca.


Masih terniang-niang suara kakak saya mengajar saya membaca di darjah satu dalam tahun 1954. Setiap Hari Guru  saya akan ingat permulaan saya tahu membaca.



Guru pertama yang rasmi adalah kakak saya sendiri yang membawa saya ke sekolah bersamanya apabila ia di lantik menjadi guru. Sekolah itu jauh dari rumah dan setiap pagi saya bangun awal untuk berjalan sejauh satu kilometer untuk menaiki bas di perhentian bas bandar Pontian Johor. Kakak saya diarah mengajar di Kukup, lebih kuran 30 kilometer dari Pontian, yang sekarang ini menjadi tumpuan pelancung dari Singapura untuk makanan laut yang segar-segar.

Kini kakak saya sudah meninggalkan kami pada tahun lepas. Masih sayu rasa dihati. Dia bukan sahaja mengajar saya membaca tetapi dialah juga yang "memaksa" saya untuk belajar menjahit dan menyulam. Saya akan buat sedikit arahannya dan bila ada peluang saya akan lari terus menyembunyikan diri kerana saya tidak suka belajar menjahit. Itulah karenah kanak-kanak.... tidak mengerti apa yang baik padanya.

Semoga semua ilmu itu menjadi warisan ilmu yang dimunafaatkan dan kakak saya menerima anugerah redha Allah dan semoga ia sejahtera di alam barzah menanti pertemuan dengan yang maha Pencipta. Aamiin....

Entah mengapa pada Hari Guru kali ini saya terpaku kenangan saya padanya yang mahukan saya menjadi "budak pandai". Di waktu itu siapa yang pandai belajar dia tidak perlu lagi berpanas berhujan bekerja di bawah pokok getah dan di ladang nenas. Ini fahaman orang tetua dahulu.

Jasa seorang kakak yang tahu pentingnya ilmu. 

Kini saya bersama 2 orang teman mengendali pendidikan pra sekolah di Tangkak Johor. Selain dari mahu bersama teteman yang terus berjuang walaupun diumur senja, ia merupakan usaha sentimental untuk menjalin hubungan rapat dengan profession guru, satu profession yang mulia dari semua segi. Untuk mendapat serpihan barakah seorang guru pun jadilah......Mohon redha Mu ya Rabb....



Maka pada 15 Mei kami adakan Hari Guru.Ini adalah satu  lagi aktiviti 'extra curricula' di Pra Sekolah SmarTop Subur Fitrah Tangkak, Johor.

Kami mendidik anak-anak kecil menghargai dan mera'ikan guru dan pengasuh mereka. Alhamdulilah, amat meriah sekali walaupun secara kecil-kecilan. Tiada tetamu khas pada hari itu. Hanya keluarga sekolah sahaja menyayikan lagu mengenai guru setelah bacaan Al Fatihah yang diketuai seorang anak murid dan diikuti beramai-ramai.



Pihak pengurusan menghadiahkan cenderahati pada semua guru dan juga kepada staf am kerana kegigihan mereka membantu guru termasuk ketua chef dapur kami di SmarTop.



Alhamdulilah...setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan pada Ilahi yang meanugerah kemampuan, kesihatan dan masa untuk sama-sama menjalin silaturrahim semua warga SmarTop. Kami memerlukan saat-saat seperti ini dalam usaha menerapkan persefahaman dalam menjalankan tugas-tugas harian. 

Ibarat kami dalam sebuah keretapi kehidupan menuju satu destinasi yang jauh tetapi harus bermula pada permulaan yang memerlukan semua jentera berfunsi dengan efisyen. Nanti ada yang berhenti di mana-mana perhentian, tetapi dengan izin Allah pasti ada yang baru menggantikan tempatnya dan terus meluncur kehadapan. Semoga semuanya berjalan lancar.

Pengurusan SmarTop amat peka pada pentingnya menjaga kepentingan dan kesejahteran guru-guru dan pengasuh anak-anak kecil kami kerana itu adalah satu amanah. Semoga Allah kurnia pada kami kesihatan dan kebijaksanaan dan amanah ini dapat kami terapkan dengan baik.

Saya turunkan di sini sebahagian wajah-wajah gembira pada hari itu.










Pada hari sebelumnya, dalam mesyuarat khas Hari Guru kami berbual bicara mengenai profession guru. Persaan syahdu jelas dimuka guru-guru dan ada yang sebak dan tidak dapat menahan airmata berjujuran. Saya turunkan di bawah ini kesimpulan bual bicara kami dalam bentuk Sajak Sasterawan Agung Usman Awang yang dideklimasikan pada hari itu.

GURU  OH  GURU....

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana ia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu kota
Di bangunan tua sekolah di Ulu Trengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun di akhir kehidupan mu, guru ku
Budi yang diapungkan di dulang Ilmu
Panggilan keramat "cik gu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

****



Semoga Allah mengampuni semua,
Semoga Allah melimpah kurnia Rahmatnya yang tidak terhingga,
Semoga Allah terima semua amalan walau sekecil mana
Di Syurga Firdaus kita berjumpa buat selamanya.

Aamiin...ya Rabb.
....

No comments:

Related Posts with Thumbnails