"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Saturday, May 10, 2014
Memunafaatkan "waktu kecederaan".....
Kalau kita peminat bola sepak atau apa jua jenis sukan yang serupa caranya, kita tahu apa itu "waktu kecederaan" atau "masa kecederaan". Ia waktu yang genting bagi penentuan kalah menang pertandingan mengikut pertaruhan atau kiraan manusia biasa.
Dalam kehidupan, umur warga emas, umur senja, atau apa jua istilah yang kita guna, ia adalah seperti berada dalam "waktu kecederaan" dalam rangka hidup seseorang insan di muka bumi ini. Jika kita melepasi umur enam-puluhan, maka kita sudah dalam waktu kecederaan. Setengah orang membuat analogi bahawa mereka yang sudah melepasai status "6 series" adalah seperti penumpang pesawat di dewan menunggu untuk berangkat ke destinasi. Ada yang Allah beri peluang dibenarkan transit di lapangan terbang lain tetapi ada yang terus sampai ke destinasi dan tidak kembali. Destinasi itu jelas bagi ramai penumapang, tetapi bagi sesetengah penumpang ia tidak jelas seperti penumpang MH370. Semoga Allah meredhai mengikut kehendakNya, kerana Dia yang maha pencipta.
Semalam dulu saya menerima jemputan ke rumah seorang hartawan dan ahli koporat yang berjaya. Saya tidak mengenalinya secara peribadi tetapi saya ikut sama kerana saya dalam kumpulan mengaji di mana ketua kami meminta saya hadir sama.
Majlis itu membuat saya berfikiran...
Ia dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah tetapi ada yang tidak bersama, bukan kerana uzur syari'e. Ada yang bersama tetapi tidak mengikut peraturan yang ditentukan. Tidak menutup aurat sepenuhnya dan ada yang memakai solekan/hiasan kuku yang saya percaya tidak telus air wudhu melaluinya.
Selepas solat adalah acara biasa, iaitu membaca surah Ya Siin dan diikuti dengan membaca tahlil. Saya sebenarnya kurang selesa dengan majlis seperti itu dalam suasana seperi itu kerana saya khuatir ia disalah-fahami bahawa itulah dia rupa-wajah Islam atau itulah dia tuntutan Islam yang sudah cuckup komprehensif. Saya khuatir ada diri-diri yang berfahaman jika kita ada acara seperti itu, kita sudah cukup melaksana tuntutan Islam.
Sambil berfikir mata saya melihat-lihat sekeliling, (lahir dari hati yang belum cukup suci dan cukup pasrah pada Ilahi).
Rumahnya sangat cantik, mewah serba serbi dan memang berdiri tesergam. Dahulu saya kagum tetapi sekarang saya bisikan pada hati saya supaya menginsafi diri....(semoga tidak seperti memandang anggur masam @ sour grapes).
Saya tidak banyak berbual-bual kerana saya tidak mengetahui latar belakang tetamu-tetamu yang ada. Maka saya lebih banyak mendengari. Antara yang dibualkan ialah pengalaman mengembara ke negara orang, tinggal di hotel mewah dan naik pesawat kelas bisness. Mereka bercerita juga hal anak-cucu dan kejayaan kerjaya mereka. Berbagai lagi cerita yang berkisar mengenai kehidupan santai.
Perlahan-lahan saya terus befikiran........
Saya merasai ruginya jika waktu kecederaan hanya untuk bersantai. Tidak sedikit pun bercerita tentang destinasi yang pasti datang. Ada seorang yang bercerita sedikit bahawa dia sudah tidak lagi berparty sana sini. Dia lebih suka menonton TV dan membaca. Ada juga disebut ia bangun malam tetapi tersasul menggunakan istilah. Katanya ia bangun malam solat tajwid. Saya rasa ia mahu sebut tahajjud. Saya senyap sahaja. Alhamdulilah, walau pun tersasul-sasul ia ada usaha untuk membuat perubahan pada dirinya. Membuat perubahan pada diri bukan suatu yang mudah.
Pada jam 11 malam kami beredar pulang.
Saya amat bersyukur Allah masih menganugerah saya ruang dan peluang membetulkan kesilapan saya dan membaiki kekurangan saya. Semoga Allah mengampuni segalanya kerana saya tidak akan terdaya memperbaiki diri sepenuhnya. Saya insaf dan sedikit pun saya tidak meminggirkan mereka kerana hanya Allah jua yang punya kuasa mutlaq untuk mengukur dan menilai. Allah maha Pengasih, maha Penyayang dan maha Pengampun. KepadaNya kita memohon taufik dan hidayah, dan kepadaNya sahaja kita bergantung harapan. Saya sendiri masih ditahap mahu bertekad lebih kuat dan mahu melupakan haru-biru hidup yang merugikan.
Mohon pertolongan Mu ya Rabb.....
.......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment