"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, April 15, 2015

Dia ibu @ super mom ?........




Ini cerita anak perempuan saya. Allah anugerah 5 orang anak padanya  dan semuanya lelaki, hero-hero belaka. Yang tua dan yang kedua Allah kurnia  mereka istimewa. Dalam masyarakat kita, mereka disebut juga anak OKU. Huzaifah yang tertua dalam kategori ADHD (Attention Deficient Hyperactive Disorder) dan Akif dikira anak Otisma. Di gambar sebelah kiri ini mereka di bawa beraktiviti bersama-sama anak- anak dalam Persatuan istimewa yang lain, terutamanya yang Otisama. Hari itu hari lahir Akif dan ia dira'i bersama anak-anak lain. (Foto-foto ini kiriman anak saya).



Pada saya saat-saat seperti ini amat penting bagi mereka dan bagi saya sebagai Embah atau nenek mereka. (Saya ada menulis mengenai mereka dalam entry saya sebelum ini). Huzaifah  berumur 10 thun dan Akif 8 tahun. Mereka belum mahir seperti anak biasa dalam membaca dan mengira. Mereka memerlukan kesabaran ibu-bapa yang agak luar biasa.





Yang penting ibu-bapa redha dan terus berusaha. Mereka tidak "menyimpan" anak-anak di rumah sahaja kerana malu anak-anak mereka OKU. Mereka beraktiviti bersama dan berunding bersama atas beberapa masaalah yang serupa. Cuma masyarakat biasa  yang kurang peka dan membiarkan mereka bersama mereka yang OKU sahaja. Kepedulian untuk membantu belum lancar seperti diharapkan. Tetapi kommuniti yang Istimewa ini  saya perhatikan tidak rasa kecewa kerana mereka yakin Allah menjadikan mereka ibu-bapa terpilih untuk memengurus, mengasuh, mendidik anak-anak Istimewa. Selalu saya katakan pada anak saya bahawa Allah tidak mencipta mereka sia-sia.

Alhamdulilah dan saya sentiasa bersyukur anak perempuan saya tidak duduk diam. Ia sentiasa  berusaha bagaimana mahu mendidik dan mengurus anak supaya dewasa nanti mereka boleh berdikari tanpa ibu dan ayah di samping. Saya amat memahami seharian suntuk ia sentiasa sibuk. Bila ditugaskan keraja luar ia akan membawa anak-anaknya di bantu oleh suaminya (di mana sesuai) dan bila ada pembantu rumah, oleh pembantunya. Rumahnya tidak sentiasa kemas seperti rumah orang lain. Seperti kapal tongkang pecah. Bila saya komen, dia masih  mampu senyum tertawa.

Pakaiannya tidak bergosok. Ia memilih yang boleh "drip dry" basuh terus pakai. Namun baju anak ke sekolah mesti bergosok kemas. Itu satu disiplin yang saya rasa baik kalau dapat berterusan. Kini ada pembantu sementara dan dia dapat mencari masa pergi exercise untuk tidak jadi obese. Sikap yang memerlukan tenaga untuk sentiasa berkejaran. 

 Bila saya pergi waktu cuti dan hujung minggu, kenalah saya membantu serba sedikit mengikut kederat yang ada. Saya perhatikan menyediakan makanan adalah antara tugas yang rumit kerana kesukaan mereka amat berbeza. Anak yang normal juga punya karenah yang mengikut perangai abang-abangnya. Ini menjadikan tugas ibu lebih rumit. Itulah saya rasa kagum juga dengan anak saya ini. Alhamdulilah Allah kurnia tenaga dan akal fikiran yang membuatnya agak relaks walaupun seharian tugasnya berat berbanding keluarga biasa.

Anak saya ini  masih mampu bertemu teteman bersilaturrahim,  mengikut suaminya dalam kumpulan pengajian kelas agama dan apa jua yang terdaya. Saya  perhatikan  "Balancing-Act" yang luar biasa. Alhamdulilah Allah kurnia kekuatan dan kesihatan. 




Foto berbasikal ini saya amat suka melihatnya. Teringatkan semasa saya menjaga Akif yang baru dilahirkan di Tokyo 8 tahun yang lalu. Anak saya champion berbasikal walaupun  semasa bersekolah kemahirannya amat terhad, Selalu sahaja jatuh dan luka. Di Tokyo ia pergi kemana pun  untuk grocery dengan basikal sahaja. Pernah juga barangan yang dibeli hilang ditinggalkan di basikal semasa membeli barang yang lain. Cerita seperti ini jarang kedengaran bagi orang Jepun. Tetapi ia berlaku. 

Saya tinggal bersamanya di Tokyo selama hampir 3 bulan semasa ia berpantang melahirkan Akif. Kenderaan baginya di Tokyo hanya basikal untuk destinasi dekat. Jika perlu membawa Huzaifah begitu keadaannya seperti foto di atas.  Semasa Akif bayi ia menggendong Akif seperti orang Jawa menggendong anaknya dengan kain batik lepas Indonesia. Alat Gendong yang modern tidak terdaya membeli kerana Biasiswanya terhad. Dia tidak rasa kekok atau malu tidak bergaya macam ibu-ibu muda di bandar raya yang hebat itu. Dia di University Waseda mengikuti pengajian Sarjana. Itu fokusnya . Waktu itu anaknya belum disahkan istimewa. Doktor masih memberi harapan anaknya normal. Hanya di Malaysia pengesahan akhirnya di lakukan oleh pakar tempatan.

Semoga Allah terus memberi ruang dan memudahkan menjaga dan mendidik anak-anak ini. Ada ibu-bapa yang lebih usahanya kerana peringkat "keistimewaan" anak-anak berbeza. Anak saya menjaga dua sekali gos membuatnya kekadang keletihan. Saya menjadi "mangsanya" untuk berkejaran membantu. Kekadang ia minta pertolongan adik beradik sepupu yang tinggal berhampiran untuk membantu terutamanya semasa Akif berumur 4 atau 5 tahun kerana selalu sahaja ia lari "menghilangkan diri" bila mendapati pintu rumah tidak berkunci. Ini antara ciri anak Otisma. Alhamdulilah kini sudah hampir  melepasi masaalah itu setelah mengikuti program therapi......dengan izin Allah jua.

Saya memerhati kesibukan anak saya penuh empathy dan simpati. Walau apa pun, saya bersyukur ia dapat menjalani dan melalui kehidupan secara sederhana. Dia menyedari bahawa susahnya dia, masih ada orang yang lebih susah darinya. Kami berkongsi falsafah hidup yang amat berlainan dari orang lain kerana situasi kami berlainan. Semoga Allah sentiasa bersama dan memudahkan segalanya, bukan kami sahaja tetapi setiap ahli kommuniti anak-anak dan dewasa istimewa.

Aamiin ya Rabb....


HARDSHIP AND EASE WALAK HAND-IN-HAND IN THIS WORLD, 
AND EMBRACING THEM BOTH AS BEING FROM THE SAME 
BENEVOLENT SOURCE ENSURES THAT 
WE WALK WITH GRATITUDE FOR OUR BLESSINGS
AND GRATEFULNESS FOR OUR CHALLENGES.

SHEIKH HAMZA YUSUF.


...

2 comments:

Dakwat kanan said...

Terima kasih Mak Cik kerana sudi berkongsi. Kekuatan dan semangat anak Mak Cik dalam menghadapi ujian dari Allah yang sangat istimewa ini menyedarkan saya untuk turut bersyukur, dan kuat semangat seperti dia. Semoga Allah memberi yang terbaik dari sisiNya melalui ujian ini.

ngasobahseliman said...

Alhamdulilah. Terima kasih Kalam Ibad singgah sebentar. Mak Cik insya Allah doakan Allah mudahkan pengajian di sana dan pulang dengan ilmu dan pengalaman yang dapat dimunafaatkan pada diri dan masyarakat....seterusnya ummah. Mak Cik pun ada anak saudara di konya (tak silap). Baru setahun masuk tahun kedua rasanya. Dia anak adik ipar mak Chik.
Semoga sihat-sihat di sana dan ceri selalu. Salam.

Related Posts with Thumbnails