Kami tersesat-sesat jalan untuk ke Royal Selangor Golf Club hari semalam. Bukan susah pun tetapi untuk warga Emas perjalanan yang mudah pun boleh jadi susah. Dari Kg Tunku ke Bukit Kiara hanya setengah jam sahaja yang diperlukan, tetapi kami mengambil masa hampir sejam.
Untuk apa ke sana dalam umur sebegini. Ah! ! kami meraikan Hari lahir Guru-Guru tersayang yang sudah lebih 50 tahun kini sejak saya tamat tingkatan lima di Pontian Governmant English School, Johore. Mereka berumur genap 77 tahun. (Guru kami yang lain ramai yang sudah kembali dahulu).
Generasi kini tidak hairan peristiwa yang saya ingin kongsikan kali ini. Apa ada pada Hari Kelahiran....Apa ada pada Guru?
Itulah bezanya dahulu dan sekarang. Guru adalah yang terhebat bagi kami. Dia marah, dia rotan, dia baling buku, dia dera murid berdiri lama dan berbagai lagi.....kami tetap sayang guru. Sebab guru marah hari ini.....esuk dia senyum seolah-olah semalam tidak ada apa-apa berlaku.
Guru kami yang duduk di tengah, Ms Tan Li Kiang dan yang berdiri di tengah itu Mr Peter namanya. Dahulu memang kita panggil begitu....sekolah Inggeris lah katakan. Suami saya di kiri sekali dan di kanan sekali itu Tan Sri Sulaiman Mahbob, orang kampung saya semasa di Pontian. Kami semua "graduate" tingkatan 5 bersekali melainkan Zainal yang berhijrah ke MCKK di tingkatan 4.
Class of 1964 pada tahun lepas mengadakan jamuan makan malam agak meriah sekali. Genap 50 tahun bertemu berpisah dan bertemu lagi. Saya hanya melihat foto yang ditunjukan oleh Tamyes yang berpakaian baju putih. Tan Sri Sulaiman junior setahun dan Chua yang duduk di kiri itu junior dua tahun. Suami saya tidak berkenaan. Dia menemani saya kerana saya kurang mengerti tempat itu.
Birthday cake yang di atas itu kiriman teman sekelas kami yang sekarang menetap di Singapura. Terima kasih Keng Feng. Saya bercakap dengannya di telefon sambil menikmati cake yang amat sedap sekali. Zainal juga menumpang semangkok kerana hari Lahirnya jatuh pada hari itu. Yang rajin menghubungi setiap kami ialah Tamyes, Zainal, Dato Isa dan Ibrahim.Ibrahim berdiri dua dari kiri dan di kirinya ialah Dato Isa. Lawak orangnya dan tidak berhenti tertawa sepanjang kami bersama. Ibrahim agak pendiam. Zainal menjadi regu Isa membuka berbagai cerita.
Itulah perjalanan hidup. Sistem pendidikan waktu itu dapat menjalin kemesraan antara kaum. Dulu hingga kini. Ada kalanya abang Keng Feng bernama Keng Jee yang menetap di Australia mencari masa menghadirkan diri dalam perjumpaan kami. Hebat kemesraan kami.
Alhamdulilah. Namun kini saya tidak mahu mengatakan sama ada sistem kita dapat menjalin "pautan kasih" seperti itu. Kita tanya diri kita masing-masing.
Namun kami sedar bahawa Kurniaan Allah tidak serupa. Maka kami bersyukur pada apa yang ada. Semoga ada hikmahnya walaupun kami berlaianan agama. Allah itu maha Bijaksana dan kami memohon dikurnia rahmatNya sentiasa.
.....
No comments:
Post a Comment