"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, February 21, 2018

"Ye, Nyonya...saya akan buat...."






Bunga melambangkan wanita dan tidak kira bunga apa sekalipun. Namun bunga Mawar adalah terunggul. Dan Allah menciptakan wanita itu unik sekali.
Namun hari ini saya hanya ingin untuk bercerita perihal seorang wanita yang membuat saya berfikiran serba salah....atau lebih tepat kalau saya katakan saya kecewa dan rasa tidak selesa dengan lintasan-lintasan di hati saya mengenainya.

Saya mengenali wanita ini sejak saya bekerja hingglah bersara. Pintar orangnya dan dari definasi budaya Melayu wanita ini baik budinya. Beza umur saya dan dia ialah lebih kurang 12 tahun. Dia masih sihat, alhamdulillah,  dan oleh kerana ia memlih hidup berseorangan maka ia tinggal sendirian di rumahnya yang agak sederhana mewah dan dibantu oleh seorang pembantu rumah. Adik beradiknya tinggal berdekatan.

Semasa bekerja saya rapat dengannya dan sebelum saya berkahwin saya selalu bertandang di rumahnya kerana saya suka mendengari cerita- cerita yang dibawanya dari semasa dia belajar di dalam negeri hingga belajar di negara asing. Ia banyak menghadiri latihan dalam perkhidmatan dan banyak juga persidangan hal-hal professional yang dihadiri di luar negara. Maka selalu saya teruja dapat menumpang pengalaman dan belajar sesuatu dari perjalanan hidup orang-orang yang dahulu dari kita.

Setelah saya berumah tangga jarang-jarang sekali saya dapat bersembang santai dengannya. Saya sibuk dan dia masih sibuk juga hingga umurnya melewati 70 tahun. Dia bekerja secara kontrak dalam bidang Nutrition. Saya selalu mengkagumi sifatnya yang suka bekerja tanpa penat.

Banyak sifatnya yang saya suka tetapi rasa kurang selesa bila dia membahasakan dirinya sebagai "Nyonya" dan minta pembantu rumah memanggilnya demikian. Kenapa Nyonya........bisik hati saya.

Bila tersempat  saya semak erti Nyonya di google. Secara rengkasnya ia diguna oleh seseorang yang bersuami dan hidupnya mewah. Tetapi ada juga yang menggelar dirinya Nyonya jika ia rasa statusnya lebih tinggi dari mereka yang disekelilingnya. Oh agaknya itu sebabnya pembantu rumahnya memanggilnya Nyonya. Entahlah......

Ini tidak penting sebenarnya dari segi hubungan saya dengannya. Tetapi pembantu rumah saya memanggil saya "ibu" dan memanggil suami saya "bapak". Maka panggilan nyonya membuat saya rasa agak kekuk dan rasa semacam  saya berada dalam suasana budaya asing. 

Manusia.......tetap manusia, punya pilihan masing-masing.

Saya rasa kekuk kerana seperti tidak ada rasa "bonding" kekeluargaan. Tetapi kenapa saya mesti rasa kekuk kerana itu bukan hak saya untuk memilih sesuatu baginya. Saya rasa sayang pada wanita ini dan ingin mengatakan sesuatu yang saya rasa lebih baik....iaitu minta pembantu kita panggil kita ibu kerana dengan itu ada rasa kemesraan keluarga dan pastinya pembantu akan juga buat sesuatu baginya atas nama kemesraan dan kasih sayang dan bukan atas nama makan gaji semata-mata. 

Apa yang mencetuskan saya ingin menulis perihal ini ialah kerana dalam satu ziarah saya ke rumahnya dia bercerita dia  selalu lewat bangun pagi untuk solat Subuh kerana tidak terjaga dari tidur. Saya bertanya sama ada ia berpesan pada pembantu untuk menggerakannya. Tidak, katanya kerana itu hal peribadi katanya.

Saya terdiam seketika kerana bingung saya memikirkannya.....

Saya bertekad untuk bertemu dengan adiknya yang tinggal berhampiran rumah saya untuk memikirkan cara mana pembantu rumahnya dapat membantu dalam hal peribadi seperti solat dan sakit pening. Maklumlah kami  dalam lingkungan umur warga emas dan perlu ada kepedulian antara kenalan dan sahabat semoga dapat membantu satu sama lain walaupn dalam hal-hal peribadi. 

Atas prinsip kasih sayang, saya akan cuba mendidik hati sendiri untuk terus peduli.......


........

No comments:

Related Posts with Thumbnails