"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Friday, July 13, 2018
Just Thinking @ Sekadar Berfikir-fikir
Alhamdulillah, rasa sihat dalam umur yang senja ini. Alhamdulillah rasa damai.
Maka hari ini ruang fikiran menjelajah agak jauh. Terniang-ngiang saranan ahli masyarakat dalam media sosial menyatakan kekhuatiran nanti jika BN tidak berkuasa memerintah negara, Melayu akan menjadi bangsat.
Dalam umur yang lanjut ini saya sudah tidak memikirkan sangat saya "Melayu" atau saya tulin "Jawa" kerana saya masih boleh bertutur bahasa Jawa harian. Saya itu sayalah.........
Semasa bapak saya ada, Jawa Klasik pun saya boleh faham. Tetapi kini sudah pupus. Namun saya berkeyakinan dalam apa jua keadaan saya tidak akan jadi bangsat asal sahaja saya ikut nasihat ibu bapa dan berpegang teguh pada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw.
Maka saya tidak begitu ghairah saya ini keturunan apa.
Kebelakangan ini agak ramai ahli dalam masyarakat kita seperti amat takut "Melayu" akan hilang di dunia. Agaknya takut Melayu akan pupus, bukan setakat bahasanya, tetapi pupus yang total.
Saya teringat sedikit cerita sejarah yang melakarkan bahawa sesetengah kaum itu hilang dari muka bumi ini. Boleh rujuk di sini jika suka. Kaum yang dibinasakan Allah.
Sesuatu kaum itu binasa kerana keingkaran terhadap Allah....... keengakaran yang sudah tidak ada sempadan. Saya yakin jika Melayu benar-benar berakhlak mulia seperti contoh Rasulullah, orang kafir di negara kita ini akan malu, respect dan mungkin takut... ye takut. Tetapi apabila Melayu pemalas, sambil lewa, tidak jujur dan lain-lain sifat yang tidak baik, maka janganlah mengharap supaya bukan Melayu akan kagum dan respect.
Kekadang kita berselindung dibelakang fakta Agama. Maka Agama pun jadi isu untuk marah pada yang bukan Melayu.......
Maka kita juga mempersoalkan mengapa kerajaan PH melantik pegawi-pegawai tinggi yang bukan Melayu dan kafir pula. Dakwaannya pasti ini akan mengganggu gugat kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Kita sentiasa melihat keluar apabila memperkatakan sesuatu masaalah. Jarang sekali kita melihat perihal diri kita sendiri dari dalaman. Yang salah sentiasa orang lain sahaja......
Jika begini masaalah tidak akan selesai.
Senyap-senyap saya berfikir jika kita berusaha kuat untuk "menjemput" bukan Islam menjadi Islam, maka saya rasa kita boleh mendapat kepuasan dan keyakinan yang bertambah hari demi hari bahawa orang bukan Islam tidak akan menzalimi orang Islam......
Mereka tidak akan bersifat sombong dengan kita kerana kita berbaik dengan mereka dan dan memberi kefahaman atas kebaikan Islam melalui contoh diri dan bukan setakat berkata-kata sahaja.
Hari ini dan sekarang ini orang Melayu yang menganiya orang Melayu secara terang-terang. Saya sendiri tidak menyangka bahawa orang Melayu ditipu oleh orang Melayu. Bukankah itu yang kita baca dari media sosial. Saya kurang arief dan betulkan kalau saya silap.
Masaalah di Malaysia kini amat berat dan amat rumit. Maka janganlah mudah tuduh menuduh tanpa melihat dari fakta luaran diri dan fakta dalaman diri sendiri.
Itu sahaja catatan saya kali ini....
Sekadar berfikir-fikir...
Dan saya insaf atas daya pemikiran saya sendiri kerana kurang Ilmu, kurang pengalman, kurang kebijaksanaan dan amat sedikit Iman dan taqwa. Hanya Ilmu, Iman dan Taqwa sahaja yang dapat memimpin kita ke jalan yang lurus dan doa yang tidak putus-putus semoga Allah menurunkan Limpah RahmatNya dan menganugerah kita kesejahteraan dunia dan akhirat.
Aamiin ya Rabb.....
................
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment