"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, October 2, 2018

"HENTIAN FERA".....@ Putrajaya.






Alhamdulillah tahun ini Allah izin saya sekeluarga pindah ke Putrajaya. Tidak pernah bermimpi pun untuk pindah ke sini. Bila kekawan tanya mengapa pindah sekarang diumur tua. Biasanya amat sedikit yang saya tahu mahu berpindah dalam keupayaan tenaga sudah berkurangan. Tambahan pula amat rasa rugi  meninggalkan sahabat handai yang sudah lama berkenalan dalam suasana kampung di tengah-tengah Petaling Jaya.

Apakah jawapan yang dapat saya beri. Maka dengan senyum sinis saya katakan: "Kami pindah sebab nak ikut PM Tun Mahathir. Beliau menerajui negara berpusat di Putrajaya......Kami Peminat yang tidak suka berjauhan."  Teteman saya buat ejekan dan mentertawakan kami. Tidak mengapa..... Asam garam berkawan.




Yang sebelah kiri ini rumah kami di Precint 8.
Sebenarnya kami "diarah pindah" oleh adik suami. Sudah lama dia berhajat meraikan Abang tertua dan diumur tua ini baru kesampaian. Setahun kebelakangan ini kami mengalami kesedihan kerana dua adik suami saya meninggal dunia dalam jarak lebih kurang 6 bulan. Adik suami yang ini semacam tidak mahu rasa terkilan tidak meraikan seorang abang yang sudah berumur senja dan tidak tahu bila pula giliran jemputan Istimewa yang maha Pencipa.

Dia memilih Putrajaya sebab ramai keluarga terdekat sudah pun tinggal di Putrajaya dan di Cyberjaya. Anak perempuan saya pun di sini. Anak lelaki saya yang seorang lagi tinggal di Puchong dan lebih hampir di banding ke Petaling Jaya. Anak lelaki bongsu tinggal sekali bersama kami dan ini memudahkan kami berurusan hal-hal harian. Alhamdulillah...amat memudahkan. Bila sakit pening, amat memudahkan semua keluarga berurusan ziarah dan sebagainya. Allah yang maha menganugerah rezki pada hamba-hambanya. Dan apa jua yang Allah kurnia ia adalah ujian bagi kita......bukan untuk bermegah dan mendabik dada. Semuanya milik Allah jua.


Rumah kami hampir dengan Tasek di Putrajaya. Ini taman berhampiran
dan jika mampu tenaga kami berjalan....exercise kononnya.
Tetapi saya baru sekali berjalan waktu pagi walaupun
 sudah pindah hampir 3 bulan.
Begitu tabiat manusia. Bila tiada sibuk mencari. Bila ada bertangguh diri.
Semoga saya tidak lupa mensyukuri kurniaan Illahi.


Ini perumahan kejiranan berhampiran kami.
Alhamdulilah jiran terdekat sudah memperkenalkan diri 
dan dia memperkenalkan kami pada jiran lainnya dalam
 kumpulan Whatsapp "Muslimah Fera".
 Fera adalah jenis kelumpuk perumahan yang kami huni.
Seperti yang saya sudah jangka, mereka ini muda-muda belaka.... 
dalam lingkungan umur awal empat puluhan. Kami belum
 bersua muka semuanya
 tetapi mereka ramah sekali berceloteh di kumpulan maya.
 Ada yang panggil saya  bonda dan ada yang panggil saya aunty sahaja.
Alahamdulillah saya rasa dimeriahkan. 
Yang hampir sebaya dengan saya ialah ibubapa mereka 
yang tinggal bersama mereka
 atau datang ziarah anak cucunya. Saya masih tertanya-tanya pada diri 
bila agaknya  dapat bersua muka dan beramah mesra bersilaturrahim semua.
 Semoga kesampaian jua.




Di atas ini saya rakam antara saudara mara yang ziarah kami
sejak kami pindah ke sini. 

Seorang anak saya secara santai kata kita eluk beri nama pada rumah ini.
Saya kata pada suami, kita namakan......"Hentian Fera". Itu sahaja.

Sebenarnya dan hakikatnya tempat tinggal ini adalah 
sebuah HENTIAN sementara.
Kita semua dalam perjalanan menuju Destinasi yang Allah telah tentukan.
Di dunia sekarang dalam perjalanan kita,  kita singgah di "RnR" 
untuk menselesakan diri sebelum meneruaskan perjalanaan.
Maka di "Hentian Fera" kita singgah sebentar juga untuk bersiap sedia 
meneruskan perjalanan ke Destinasi yang akhir sekali.
 Di situ bukan Hentian lagi.
Ia satu tempat "Pertemuan Agong".
Tempat Perbicaran kita dengan yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa.
Juga dikenali sebagai Hari Penyesalan.
Sebabnya ramai manusia yang mahu dikembalikan ke dunia supaya dapat 
bertaubat dan beramal soleh.

Kekayaan harta tidak bermakna tanpa Iman dan Taqwa 
terhadap Yang Maha Pencipta.

Saya tidak berhajat bercerita panjang mengenai Hari itu. 
Saya bukan ahlinya untuk bercerita panjang lebar.
 Saya sendiri pun sedang cuba "melengkapkan diri".
Namun semuanya adalah kurniaan Allah jua. 
Antara yang saya cuba baca ialah sebuah buku berjodol "Mengingati Mati" 
yang ditulis oleh Imam Al Qurtubi.
Saya hanya mampu membaca terjemahannya dan masih belum tamat.
Saya terhenti-henti membaca kerana beberapa fakta membuat saya rasa 
amat khuatir  dan rasa amat takut dan saya simpan sebentar
 untuk ambil nafas panjang......
Semoga di "Hentian Ferra" ini  Allah beri ruang dan peluang 
untuk muhasabah diri berterusan dan semoga Allah mengurnia
 Rahmatnya yang tidak terhingga. 
Semoga Destinasi yang pasti tibanya membawa bahagia 
buat saya dan keluarga
 dan semua kita dalam "Pangkuan RedhaNya".


.......

No comments:

Related Posts with Thumbnails