"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, November 7, 2018

"Sorong Papan Tarik Papan...." @ keluarga sakinah

Tahun 2018 ini hampir ke penghujungnya.

 Alhamdulillah Allah kurnia kesihatan yang mencukupi untuk menjalankan tanggong jawab sebagai isteri, ibu dan nenek pada keluarga yang sederhana besar bilangannya. Lumrahnya hidup, tidak ada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan dan tidak pernah dirundung kemarau. Lahirnya kita ke dunia Allah sudah sediakan berbagai rezki dan ujian hidup semata-mata kerana Allah mahu mendekatan kita kepadaNYA.

Maka malam kelmarin anak-anak buat "get-togather" keluarga tanpa perancangan. Dua hari sebelum itu suami dan saya mengingati  tarikh ulang tahun kami dihijab-kabulkan. Alhamdulillah. Di bawah ini foto terkini semua ahli keluarga anak-anak saya ada bersama....termasuk pembantu yang setia. Lima belas orang kesemuanya dan seorang cucu saya meninggal ketika dilahirkan. Cucu saya yang tertua berumur 13 tahun dan yang terkecil sekali berumur satu setengah tahun. Jika Allah panjangkan umur, laluan hidup masih terlalu jauh. Semoga umur yang dianugerah membawa munafaat buat semua.




Untuk menjamu selera kami tidak bersusah payah memasak berbagai hidangan itu dan ini. Anak perempuan saya pergi membeli bahan-bahan untuk masakan "Steam-Boat" versi sendiri yang anak-anak kecil pun boleh menikmatinya.

Alhamdulillah masih ada baki dan anak saya bawa pulang kerana saya dan suami sahaja tidak mampu menghabiskannya.
Alhamdulillah semua rasa terhibur dalam suasana keluarga bahagia. Selalu sahaja saya katakan pada anak-anak bahawa  untuk bahagia kita tidak perlu wang ringgit yang lumayan yang membolehkan kita berbelanja itu dan ini.

Tidak semua dalam kehidupan kita ini yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Yang penting harus ada keikhlasan dan rasa tanggongjawab mengikut apa yang disyariatkan. Kita harus ada sikap  "give and take" dalam apa jua masaalah keluarga yang perlu dilalui bersama. Kita ambil yang jernih dan buang yang keruh. Ibarat kata "sorong papan tarik papan". Semangat maaf memaafkan, mahu pujuk memujuk dan ada sikap bertolak ansur harus sentiasa ada di dada dan ringan dikata-kata.

Untuk membolehkan kita bertolak ansur, kita harus bina kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Dan ikatan kasih sayang hanya boleh terbina jika kita patuh pada perintah dan larangan Allah. Buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang tanpa mencari helah dan tanpa rasa iri hati dan hasad dengki. Untuk tujauan ini kita tidak boleh melalui jalan lain. Ia semestinya melalui apa yang diajarkan dalam prinsip Rukun Islam dan semestinnya menghayati apa yang termaktub dalam rukun Iman. Tidak ada jalan lain.

Untuk mencapai ketenangan dalam hidup kita harus mengikuti wasilah atau jalan yang Allah telah tentukan sama ada terus melalui alQuran atau yang di sampaikan oleh Rasulullah saw dalam hadith-hadithnya. Kita pegang kuat bahawa kebergantungan kita hanya pada Allah sahaja.Dan tidak ada kekuatan melainkan dariNYA.

Jangan kita  ikut apa yang disarankan oleh pegangan agama lain seperti pergi meniru proses "pakar-pakar" yang mempromosi cara  "meditation", atau lain-lain cara yang sama dengannya. Untuk memastikan kita faham apa yang diwajibkan, maka kita semestinya berusaha menuntut Ilmu dari guru yang mursyid, guru yang bertauliah dan guru yang pasti tidak menyesatkan kita. Untuk tujuan ini kita harus bersungguh-sungguh mencari hingga puas dihati. Jangan cari jalan pintas yang boleh menggelincirkan. Kira harus mencari teteman  dan sahabat handai yang takut pada Allah, yang taat pada segala hukum-hukum yang ditentukan. Teman-teman ini boleh memberi nasihat yang membina dan boleh menunjukan kita Ustaz dan guru mana yang kita harus hampiri dan dampingi sebagai sumber Ilmu yang dapat membawa kita ke jalan yang diredhai Allah. Semoga dengan cara ini Allah kurnia tahap Iman dan Taqwa yang tinggi. Semoga kita dikurnia Redhanya dan RahmatNya yang tidak terhingga dan kita selamat di dunia dan di akhirat.



Itu sahaja coretan saya. Dalam saya mengingatkan anak-anak saya juga mengingatkan diri sendiri kerana tidak ada manusia yang sunyi dari kelemahan dan kesilapan. Semoga Allah mengampuni segala kekurangan dan kelemahan dan apa jua dosa yang senghaja atau tidak senghaja. Semoga Allah terima amalan-amalan yang tidak sempurna ini dan semoga Allah sentiasa memelihara.
Aamiin ya Rabb.....


.........

No comments:

Related Posts with Thumbnails