"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Thursday, February 18, 2010
AIR TANGAN IBU.
Apa yang kita istilahkan sebagai kemajuan di dunia hari ini telah banyak merosakan cara hidup orang timur yang saya anggap amat penting dalam proses membentuk perbadi anak-anak dalam keluarga. Antara yang saya ingin perkatakan di sini ialah budaya memasak untuk anak-anak yang proses berbuat demikian menghasilkan suatu yang di istilahkan sebagai "air tangan ibu". Ada elemen barakah ibu di situ, insyaAllah. Mungkin ibu-ibu muda hari ini ramai yang sudah tidak tahu apa itu "air tangan ibu".
Malam ini tadi saya "berleter" pada anak perempuan saya supaya berusaha sendiri memberi anak-anak makan kerana karenah anak hanya ibu yang paling mengetahui. Pengasuh anak-anak tidak akan memahami dan kebanyakan mereka tidak prihatin dan tidak ada kesabaran untuk mengendali karenah anak-anak yang sedang membesar. Saya telah mencadangakan (mengarahkan sebenarnya) pada anak saya untuk bangun pagi-pagi pada hari kerja dan menyediakan makanan anak-anak supaya pengasuh hanya perlu menghidangkan dan menyuapkan jika perlu. Saya rasa ramai ibu-ibu bekerja yang tidak ada kesempatan untuk membuat tugas ini. Saya berpendapat ini tugas paling utama kerana kesan air tangan ibu tidak ada bandingan dari segi keberkesanan untuk membentuk perbadi anak, terutamanya jika anak itu anak kandung sendiri. Tidak akan sama air tangan ibu dengan air tangan pengasuh. Tambahan pula pengasuh tidak prihatin dalam memilih jenis makanan yang perlu diberi pada anak-anak. Salah-salah hari bulan anak-anak akan hanya diberi nasi dengan telor dan kicap. Mungkin juga anak-anak akan diberi mee segera sahaja kerana itu mudah untuk disediakan. Walaupun sudah dipesan untuk memasak makanan yang berkhasiat dan bahan-bahannya pun sudah disediakan, tetapi tidak ada jaminan ini akan dilaksana kerana kebanyakan mereka bersikap acuh-tak-acuh.
Saya rasa sememangnya tidak ada dalil yang tepat dan langsung mengenai perkara ini. Ini mungkin hanya dianggap sebagai petua orang-orang tua. Tetapi dari segi realitinya pasti ada kesannya. Bila ibu yang memasak dan ibu yang melayan makan, interaksi emosi pasti ada dan sentuhan fisikal ibu dan anak pasti membawa kesan positif yang tidak boleh ditukar ganti (no substitute) baginya.
Hari ini ramai keluarga bergantung pada makanan segera kerana ketiadaan masa yang mencukupi. Saya khuatir ini adalah alasan semata-mata. Saya percaya kalau kita betul-betul komited pasti kita akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan tugas ini kita buat sendiri. Kita boleh kurangkan masa tidur atau masa bersantai yang hanya dengan suami tanpa kehadiran anak-anak. Kita boleh berkongsi dan berkerjasama dengan suami dalam menyelesaikan kerja-kerja rumah supaya isteri sebagai ibu ada masa untuk memasak dan melayan anak-anak. Pepatah inggeris mengatakan "the hands that rock the cradle rules the world". Tugasan Fitrah seorang ibu jangan kita abaikan.
Wallahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment