Gambar diambil dari imglanding.htm
Bagi tiap-tiap mukmin yang beriman dan bertaqwa, kewujudan Rasulullah saw tersemat dihati setiap detik pernafasan. Ini kerana ikrar mengakui bahawa Beliau ialah Rasulullah adalah sebahagian dari Kalimah Syahadah. Dan kalimah ini harus sentiasa bermain di bibir dan dihati sanubari.
Dengan yang demikian tidak akan timbul perbalahan bagaimana cara mahu mengingati hari kelahiran Rasulullah. Apalah erti meraikan hari kelahirannya tetapi kita tidak menerima dan melaksanakan ajarannya. Mempercayai Rasulullah bukan satu ritual harian semata-mata dan jauh sekali satu ritual tahunan. Menggigit mesej AlQuran yang dibawa olehnya sekuat-kuatnya itulah yang beliau mengharapkan dari setiap Muslim Mukmin dan kemudian kita disuruh mengembangkannya pula kepada setiap manusia di mana jua. Rasulullah diutus untuk manusia sejagat tidak seperti Nabi-nabi yang lain yang hanya khusus untuk umatnya.
Dalam alQuran Surah An Nahl ayat 125 Allah swt berfirman yang bermaksud:
"Serulah ke jalan Tuhan mu Wahai Muhamad dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik: Sesungguhnya Tuhan mu Dialah jua yang maha mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah juga yang maha mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."
Tafsir Pimpinan Ar Rahman menjelaskan ayat tersebut seperti berikut :
Pertama - dengan hikmah kebijaksanaan iaini dengan penjelasan yang tepat dan betul, berdasarkan dalil dan bukti.
Kedua - dengan nasihat kebenaran yang baik iaini denga pengajaran yang menarik dengan menyebut peristiwa-peristiwa yang mendatangkan i'tibar, supaya mereka mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Ketiga - Hendaklah berbahas dengan golongan yang menentang dengan cara yang sebaik-baiknya, iaitu dengan lemah lembut dan kata-kata yang baik kerana ini dapat melembutkan tentangan mereka.
Berkaitan dengan perkara diatas baru -baru ini saya dalam satu kelas pengajian telah diterangkan dengan lebih lanjut lagi bahawa erti "hikmah" dalam ayat tersebut bukan sahaja bermaksud bijaksana, tetapi ia bermakusud supaya kita menjelaskan sesuatu dengan contoh perbuatan dan amalan kita sendiri. Dengan lain perkataan, " kita sendiri buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang" barulah kita boleh menyeru pada orang lain perkara yang sama. Ini elemen dakwah yang kadang kala tidak dititik beratkan. Kita tidak boleh seperti "ketam menyuruh anaknya berjalan lurus".
Pada pemerhatian saya, apa yang berlaku dimasyarakat kita kini ialah adanya elemen seperti KETAM itu tadi. Ada yang mengatakan "cakap tak serupa bikin" dan lain- lain lagi. Dalam al Quran pun kita sudah di tegur kenapa manusia berkata sesuatu yang ia sendiri tidak bermaksud untuk membuatnya.
Maka jika kita benar-benar sayang Rasulullah saw, buat apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Tidak usah berdebat bagaimana mahu meraikan hari kelahirannya. Tidak ada erti selagi kita sebagai pemimpin keluarga, masyarakat atau negara masih belum mahu bertaubat dan masih mahu menegakkan benang yang basah tetapi dalam masa yang sama menyuruh orang lain berbuat baik. Ingatlah Allah maha mengetahui segala perilaku kita. TIdak perlu kita berpura-pura dan berselindung itu ini. Dan saya sendiri pun mengingatkan diri saya perkara yang sama. Tetapi kuasa saya hanya dalam keluarga. Maka kalaulah ketua masyarakat dan ketua negara benar-benar yakin (haqul yakin) bahawa Allah maha melihat, maha mendengar dan maha mengetahui, alangkah bahagianya negara kita ini. Itulah doa saya. Amin.
No comments:
Post a Comment