"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Sunday, February 21, 2010
APA SALAHNYA BERHIBUR
Baru-baru ini saya dijemput menikmati hidangan Nasi Dagang di rumah seorang teman di Taman Tun Dr. Ismail. Teman saya ini amat prihatin dengan kebajikan sahabat handai dan beliau suka menjalin silaturrahim sebaik mungkin. Beliau adalah seorang teman yang bersara awal dari perkhidmatan awam kerana antara lain beliau mahu memfokus kepada pengajian dan tidak mahu menyesal kemudian.
Saya datang agak lewat dan setibanya saya di sana teman-teman lain telah hampir habis makan. Mereka sedang bercerita kisah-kisah lama semasa di asrama dan semasa melancung ke luar negara dizaman muda-muda dahulu. Mereka bergelak ketawa dan bersembang berterusan. Saya mendengar sambil makan berseorangan. Dicela-celah gelak ketawa saya terfikirkan adakah ini bentuk hiburan bagi warga emas, iaitu bersembang santai. Saya katakan sembang santai kerana asasnya hanyalah fakta nostalgia. Saya tinggalkan sahaja fikiran saya di situ dan tidak lama kemudian saya minta diri untuk pulang.
Semasa di rumah saya bercerita pada suami pemikiran saya mengenai hiburan warga emas. Saya membangkitkan kisah kumpulan "Roti Canai" yang suami saya mengaggotainya sama ada aktiviti bertemu dan makan-makan serta bersembang bersama setelah solat Subuh adalah juga bentuk hiburan. Dia gelak sahaja dan katanya jangan terlalu serious menganalisa apa itu hiburan warga emas.
Kemudian saya teringat pula satu program bersantai yang dilaksana oleh satu kumpulan wanita yang kebanyakannya berumur enampuluhan.Saya dijemput sama untuk menyertainya.Objektif utama ialah jalinan silaturrahim. Aturcara program tersebut meliputi aktiviti menyanyi secara kumpulan, zikir barat, berpantun, pertunjukan menggubah bunga dan pertunjukan pakaian beragam.Semuanya wanita dan tempatnya tertutup. Sebenarnya saya agak keliru dan tertanya-tanya sama ada ini juga bentuk hiburan warga emas. Maaf kata saya kurang selesa untuk menyertainya. Saya takut saya jadi lagha dan terbabas dari mengingati Allah setiap masa. Maklumlah saya ada sakit jantung dan takut sedang lagha saya dipanggil pulang. Semoga Allah lindungi.
Semasa saya berumur empatpuluhan awal dahulu saya menghadiri kelas pengajian seorang professor di University Islam Antarabangsa yang ketika itu di lokasi Petaling Jaya. Terpaku dihati saya pesanan beliau bahawa kita tidak perlu berhibur secara orang lain berhibur. Yang baiknya kita berhibur dengan cara yang mendatangkan ketenangan semasa berhibur dan setelah berhibur dan rasa tenang untuk seterusnya. Dan jangan sampai hiburan itu melekakan kita dari mengingati Allah. Kita boleh dipanggil pulang bila-bila masa tidak semestinya umur tua dan sakit terlebih dahulu. Masih terngiangiang di ingatan akan pesanan itu.
Tetapi tidak bererti kita duduk di masjid sentiasa dan duduk di tikar solat semata-mata. Seorang teman mengatakan aktiviti Usrah adalah satu bentuk hiburan. Menjamu selera selepas usrah juga mendatangkan keseronokan. Dalam pada itu juga kita menjalin silaturrahim termasuk bersama mereka yang berumur lebih muda. Membawa berjalan-jalan anak-anak dari keluarga yang kurang kemampuan juga adalah satu hiburan, membantu mengurus rumah-rumah anak yatim dan miskin pun satu hiburan dan lain lain lagi sepertinya. Kita masih boleh bergelak ketawa dan masih boleh bersantai. Tetapai kita sentiasa berpesan-pesan yang mendatangkan munafaat. Berziarah atau musafir bersama keluarga dan sahabat handai adalah juga hiburan kerana kita membentuk persaudaran yang lebih erat disamping melihat kecantikan bumi ciptaan Allah dan mengambil itibar dari pengalaman-pengalaman yang di lalui.
Setakat ini sahaja pandangan saya. Mungkin satu pandangan yang agak sempit. Saya cuma ingin berkongsi pendapat. InsyaAllah saya boleh terima pandangan lain yang lebih baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam sobah. i quite agree that hiburan mesti ada kaitan dengan berpesan ke arah kebaikan. Demi masa...surah al asr kita semua rugi KECUALI 4 jienis insan, beriman, beramal soleh, berpesan dengan kebenaran dan dengan kesabaran. So kena kreatif juga mengubah cara hidup yang sudah lama embedded dalam jiwa masyarakat.Imam Hassan Albana berceramah ringkas dalam pusat hiburan, dia macam ikan di laut tak masin dek garam di pub-pub yang dia pergi. So kita kena jadi ikan yang tahan dalam suasana hiburan yang mendominasi masyarakat hari ini. Di Shah Alam saya mensyaratkan mereka buka 10-15 sesi 'education' semasa berkaraoke. One daya pmm kena tampil beri sumbangan ya? golongan ulul albab ke...janji dah sampaikan.
Post a Comment