"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Wednesday, February 17, 2010
CERITA LAMA
Rasa amat seronok bila dua orang pegawai lama saya menziarahi saya di rumah kerana mendapat tahu saya ada masaalah jantung. Seorang baru bersara dan seorang lagi akan bersara dalam masa dua tahun.
Alkisah berceritalah kami tentang sakit dan penyakit dan bertukar maklumat mengenai teman-teman saya yang sama bertugas yang telah pulang ke Rahmatullah. Saya rasa insaf betapa pendek sebenarnya umur kita di dunia ini. Dan saya rasa amat takut juga kerana banyak perkara pokok yang belum selesai, terutamanya untuk hidup dengan melaksana semua perintah Allah swt. Saya amat takut kerana mungkin saya juga salah di sisi Allah kerana hukum hudud belum terlaksana dan berbagai lagi perkara mungkar yang boleh dielak tetapi tidak dielak. Saya hanya mampu bertaubat dan cuba berbuat sesuatu yang dalam masa jangka panjang boleh menghindar manusia dari berbuat mungkar. Alhamdulilah saya mendapat teman-teman yang sentiasa mengajak saya untuk membantu mereka berusaha bersama menubuhkan sekolah Islam terpadu, program membina genarasi anggun berteraskan Quran dan sunnah dengan harapan akan terbina generasi yang cinta alQuran dan dapat menyumbang secara positif kepada kehidupan dunia selaras dengan kehendak Allah untuk membangununkan barisan Ululalbab. Alahai! sumbangan saya amat sedikit, sedikit sekali. Tetapi doa saya semoga Allah akan melihat saya sebagai hambanya yang telah berusaha. Saya insaf kerana sedang dihambat umur yang entah bila akan menemui kesudahannya.
Kita boleh bercerita mengenai sakit dan mati tetapi saya sentiasa beringat bahawa kita tidak boleh duduk ditikar solat semata-mata dan menuntut ilmu tanpa mencari masa bagaimana ilmu itu boleh dijadikan amal. Saya berbincang agak lama dengan tetamu-tetamu saya mengenai hal ini. Tetamu saya yang masih bekerja menceritakan perihal budaya kerja yang ada sekarang. Saya nampak seperti cerita lama juga. Kalau kita mahu mencapai "kejayaan" dalam perkhidmatan, maka pandai-pandai membawa diri. Jangan banyak menentang arus dan faham-fahamlah siapa yang berkuasa.
Saya banyak mendengar dan tidak memberi pandangan kerana sudah tidak berada di arus perdana maka saya khuatir apa yang saya katakan nanti tidak relevan. Cuma saya mengatakan bahawa hanya satu yang pasti difikirkan kalau kita mahu menepati konsep bekerja kerana Allah dan mahu mencapai kejayaan. Perbetulkan perbuatan solat, menuntut ilmu yang sewajarnya supaya kita tahu apa erti Taqwa dan kesannya pada budaya kerja. Kenapa tunggu bersara baru sibuk menuntut ilmu. Bila masa pula kita boleh laksanaknya. Ilmu tiada harga jika ia tinggal sebagai ilmu.
Bila bercerita mengenai keadilan dalam pergerakan kerjaya, naik pangkat dan tata tertib saya hanya mampu bercerita tentang pengalaman saya dahulu sahaja. Jangan pilih bulu. Jangan kita pinggirkan mereka yang ikhlas dan yang mahu menegakan kebenaran. Jangan kita membuat percaturan apa jua asal sahaja kita dapat mengekalkan kedudukan yang istimewa. Lambat laun Allah akan menunjukan yang benar itu benar, dan yang batil itu batil. Janji Allah pasti tertunai. Maka pada malam itu saya menasihati anak saya yang masih dalam arus perdana dalam perkhidmatan supaya jangan lagha, jangan terlalu yakin kalau kita sihat hari ini maka esuk kita pasti sihat. Dan jangan terlalu pasti bahawa kalau kita tidak sakit maka maut masih jauh tempatnya. Kerja tanpa merujuk pada Allah boleh berjaya tetapi tiada barakahnya. Lihat saja negara yang membangun tanpa Islam. Mereka mereka kaya dan berkuasa di dunia. Tetapi mereka sentiasa dalam ketakutan Liha t surah An Nur ayat 55 akan janji Allah.
WaAllahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment