"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, February 3, 2010

YANG SISA DIHIDANGKAN



KUMPULAN KAMI KE GARUT.


TERSENTAK dan terkejut pendengaran buat seketika apabila terdengar pembicara mengatakan: "Patutkah yang sisa dihidangkan pada Allah?" Pembicara adalah pengusaha sebuah Pasentren moden yang memberi penerangan pada kami dalam satu rangka lawatan ke Bandung baru-baru ini. Saya bersama beberapa teman ketika itu sedang membuat lawatan sambil belajar dalam usaha membantu seorang Pengusaha membangunkan sebuah Pasentren terpadu di Garut, tidak jauh dari Bandung. Ketika itu kami sedang mendengar jawapan pada satu soalan yang bermaksud: "Kalau kita hendak rumuskan, apakah ada suatu kekuatan dalam usaha kita yang kita harus titik beratkan yang boleh menjadi tunjang kejayaan di Pasentren ini?"




DUDUK KANAN SEKALI: PENGUSAHA PASENTREN

Dengan spontan beliau menjawab : "SOLAT AWAL WAKTU DALAM BERJEMAAH DI MASJID SECARA BERTERUSAN (ISTIQAMAH). Ini amalan datuk saya yang mengasaskan pasentren ini, diturunkan pada bapak saya dan sekarang pada saya. Saya membuat pembaharuan dengan memodenkan Pasentren ini, iaitu kami laksana juga perusahaan Pertanian secara komersil kepada sebahagian peserta. Dari mulanya lagi kami didik dengan prinsip tersebut. Kami denda mereka yang masuk berjemaah secara masbuk'. Kami didik supaya mereka bersedia awal untuk solat dan solat tepat pada waktunya. Tidak ada penangguhan melainkan jika ada kecemasan. KALAU MENANGGUHKAN WAKTU SOLAT ADALAH SEPERTI MENGHIDANGKAN SISA PADA ALLAH SWT." Subhanallah...

Ini yang membuat saya terkejut dan termenung sebentar. Lantas saya rasa tidak sedap perut mendengar kata-kata itu kerana saya adalah seorang yang sering solat lewat waktu.Ada sahaja sebab dan karenah yang seperti rasa perlu dibuat dan selalunya teringat ketika hendak solat. Hasutan syaitan adalah satu fakta tetapi sebenarnya kita tidak cukup komited dalam pengabdian diri pada Allah swt. Mungkin yang sebenarnya ialah kita belum benar-benar mengenali Allah maka kita belum cukup terdorong untuk solat pada awal waktu itu satu keutamaan dalam apa jua keadaan.

Saya teringat juga semasa saya kecil-kecil dahulu bapak saya yang juga seorang 'santri' di pasentren sebelum berhijrah dari tanah Jawa ke Malaya, membudayakan anak cucu supaya bersedia untuk solat terutamanya maghrib lebih kurang setengah jam sebelum waktu. Kami akan beselawat dan 'puji-pujian' seperti nasyid sementara menunggu bapak siap mandi dan wuduk. Tetapi bila saya besar dan bapak telah pulang dahulu ke Rahmatullah, budaya ini menghilang. Saya juga bertudung rapi semasa kecil tetapi bila bersekolah semuanya hilang. INI ADALAH BUKTI BAHAWA JIKA TIDAK ADA PENGUKUHAN  (REINFORCEMENT) DI LUAR RUMAH, MAKA APA YANG DIAJARKAN LAMBAT LAUN HILANG DITELAN CARA HIDUP 'MODEN'. Betapa penyesalan saya tidak berkesudahan.Saya hanya mampu memohon ampun dan bertaubat semoga saya dapat menghayati Islam seperti yang dicontohi oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad saw.



(SOLAT DALAM APA JUA KEADAAN)
GAMBAR HIASAN DIAMBIL DARI CARIGOLD.COM

Maka teringat juga saya ketika berkerja dahulu. Selalu sahaja mesyuarat habis lambat dan solat 'asar sampai ke jam 6.30 petang atau lebih lewat dari itu. Tidak ada 'break' barang 10 minit pun untuk solat awal waktu. Bila saya ingat kembali rata-rata ramai berfikiran kerja pun penting juga. Dan kalau waktu solat itu panjang maka tidak perlulah untuk berhenti sekejap bagi membolehkan orang menghadap Allah dahulu. Kesal tiada berguna, saya katakan pada diri saya. Kenapa ketika itu saya tidak mahu faham bahawa yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan apa jua usaha kita adalah Allah swt. Tetapi mengapa pula suruhanNya kita ringankan?

Kadang-kadang saya syak ada juga yang langsung tidak solat kerana katanya kita boleh 'qadha'. Saya kurang arif akan prinsip ini. Saya berdoa semoga fenomena seperti ini sudah tidak ada lagi dalam budaya kerja perkhidmatan awam. Saya khuatir kerja-kerja tanpa barakah seperti inilah yang meyebabkan negara kita seperti negara kaya tetapi masih banyak gejala sosial yang belum dapat ditangani dengan memuaskan.

Sekarang saya berusaha supaya solat awal waktu. Jangan sisa yang dihidangkan.Saya juga terus berdoa semoga saya dapat istiqamah dalam menunaikan solat berjumaah. Oleh kerana saya seorang perempuan maka solat di masjid dibolehkan mengikut peraturan yang ditentukan.
WaAllahua'lam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails