"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, October 10, 2013

Cakap-bual ketika di klinik .....







Kebelakangan ini saya kena berulang alik dari Puchong ke HUKM dan klinik Premiernya di Bandar Tasek Selatan menguruskan masaalah cucu Fatima Sufiya yang belum lega dari sakit kuningnya walaupun sudah hampir 3 minggu.

Usaha ini mudah  dan ringan bagi kami kerana Allah kurnia kenderaan untuk memudahkan perjalanan. Bayangkan bagi rakyat yang kurang upaya bagaimana mereka menyelesai masaalah ini.Namun Allah itu maha adil dan maha bijaksana. Pastinya setiap kita Allah mudahkan berbagai cara mengikut kehendakNya. Alhamdulilah masih ada ruang dan peluang  untuk berikhtiar.

Kadang-kadang terdetik juga dalam hati bila laluan jalanraya memaksa saya merangkak dalam kenderaan. Pastinya lenguh kaki yang usang ini. Kemudian berpusing-pusing pula untuk parking. Kepala juga merasai sakitnya. Terfikir-fikir kalaulah Allah uji dengan yang lebih berat dari ini...

Tetap bersyukur,  nasihat teman saya.

Ramai sekali pelanggan di Klinik HUKM  Premier. Katanya begitu hampir setiap hari. Selepas menunggu hampir sejam sampailah giliran Fatima. Lega sebentar tetapi terkejut sedikit bila masuk menemani anak saya dalam bilik yang kecil untuk pemeriksaan. Amat kecil sekali untuk 2 orang doctor berjumpa pesakit dan dicelah-celah itu menunjuk ajar pula doctor-doctor muda untuk berbagai pengkhususan. Di situ ada juga seorang jururawat bertugas. Kemudian ada pula sebuah katil untuk memeriksa pesakit. Maka saya keluar kerana amat tidak selesa. Saya takut dikira  menggangu pula. Sebenarnya saya ingin mendengari bersama masaalah yang dihadapai dengan harapan dapat membantu anak saya sebaiknya.

Saya duduk di luar sebaris dengan pelanggan lain. Saya berbual dengan wanita muda disebelah saya dan menyatakan pemerhatian saya bahawa bilik pemeriksaan itu terlalu kecil. Ia senyum sahaja. 

Saya rasa tersendiri dan bersendirian......

Saya renung bilik  yang kecil itu dan terbayang kesempitan zahir dan batin yang mungkin ada. Saya terfikir sama ada keadaan yang tidak selesa berbanding setengah  klinik yang saya pergi, menjejas kecekapan dan keberkesanan yang diharapkan oleh pelanggan dan juga  kepuasan kerjaya bagi doctor-doctor yang terlibat.

Dalam saya berfikir-fikir, dan bercakap seorang diri, saya terdengar seorang pelanggan / pesakit 3 kerusi dari saya bercerita tentang masaalah lama menunggu berjumpa doctor dengan seorang pesakit lain disebelahnya. Katanya ini disebabkan kurang bilangan doctor berkhidmat kerana ramai doctor yang lari ke sektor swasta untuk mencari pendapatan yang lebih tinggi. Ia kata bahawa penjawat awam ramai yang bersikap mementingkan kebendaan. Disebut olehnya termasuk guru-guru yang tidak mahu berkhidmat di luar Bandar.

Amboi....mudahnya bercakap. Panas telinga saya mendengarinya kerana analisa seperti itu boleh mengelirukan. Saya hanya melihatnya bercakap penuh keyakinan. 

Saya diam sahaja...

Saya merasai rakyat Malaysia rata-rata dididik sukakan keselesaan. Maka pastinya mereka mencari keselesan dalam hidup........

Mengapakah tidak di sebut pemimpin-pemimpin yang mencari keselesaan dalam hidup hingga terjebak dengan penyelewengan dan rasuah. Pastinya ia takut berbual terang-terangan. Atau ia seorang yang naïve.... Ini suatu masalah Negara yang belum ada tindakan yang benar-benar tegas.

Kan  "Kita akan menuai apa yang kita semai". Masaalah ini memerlukan penyelesaian yang menyeluruh. Pemimpin perlu ada integriti yang boleh ditauladani oleh rakyat. Barulah kita boleh mencapai kemajuan dan dalam masa yang sama rasa selesa sejahtera di mana jua. 

Semoga cucu saya sembuh segera dan saya boleh menyambung rutin harian saya termasuk tugasan di SmarTop Tangkak.

Mohon keampunan Mu, ya Rabb.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails