Saya dan suami solat sunat Eid Adha pagi itu di sebuah surau kecil di kawasan rumah anak saya di Puchong Permai.
Jemaah perempuan tidak ramai. Maklumlah ini kawasan generasi muda dan pastinya sibuk dengan anak-anak di rumah. Saya toleh kiri dan kanan dan sohih saya sahaja yang rupa tua dikalangan mereka.
Usai solat saya melihat-lihat keliling surau dan nampak 4 ekur lembu yang akan diqurbankan. Alhamdulilah. Kecil bangunan surau tetapi besar jiwa jawatankuasanya dan jemaahnya. Imam surau juga muda, kata suami saya. Tetapi khutbahnya dapat memukau minda. Yang penting dia bercerita mengenai syirik dan berpesan jangan terjebak sedikit pun. Saya perhatikan kemudahan dan peralatan masjid amat berkurangan sekali. Kemudahan sajadah pun amat terhad. Tetapi jemaah lelaki melimpah hingga ke khemah di luar. MasyaAllah. Saya dapat merasai semangat sayang pada Islam.
Di rumah anak, saya berehat dan bersembang mahu mendengari cerita-ceriti hidup anak sekeluarga yang jarang-jarang dapat peluang bersama lama seperti hari itu setelah solat sunat Eid Adha. Tidak banyak yang dapat diceritakan. Saya simpati dengannya kerana agak lama juga ia menghidap sakit tulang belakang yang kronik. Maka tidaklah ia dapat bergiat cergas. Namun ia cuba berusaha solat awal waktu di surau atau masjid. Semoga kesihatannya pulih segera.
Hinggalah ke petang.....
Cuaca nampak seperti mula mendung. Cepat-cepat saya mengangkat barang-barang masuk kereta. Cucu-cucu masih kecil maka saya buat kerja sendiri. Saya perlu pulang ke Kg. Tunku menyambung tugasan yang menunggu untuk dibereskan.
Alahai....rasa tidak bertenaga. Tapi apakan daya. Yang dahulu didahulukan.
Hampir sebulan saya di rumah anak di Puchong. Sarah baru melahirkan dan saya membantu semampunya dalam masa pantang. Baby Fatima Sufiya lahir sihat tetapi kini masih bertarung dengan sakit kuning yang berpanjangan. (prolonged jaundice) yang tidak pernah saya saksikan. Bersyukur semasa diuji, sering sahaja saya diingatkan. Semoga Allah memperkenan doa-doa keluarga dan sahabat handai dan Fatima sihat segera dengan Rahmat Allah jua.
Eid Adha kali ini saya seronok dapat berkampung di Puchong Permai. Riuh rendah dengan gelak ketawa cucu-cucu yang belum faham erti berqurban. Cuma riang ria berkejaran dan bersilat berbagai ragam. Mereka berlawanan sama sendiri hingga kedengaran jeritan tangisan kerana ada yang tewas dalam menunjukan siapa hebat berebut mainan.
Itu fitrah manusia saya kira. Mahu tunjuk siapa berkuasa. Ada sifat tamak tidak mahu berkongsi mainan dan suka ria bersama.
Kadang-kadang seharian saya perhatikan telatah cucu-cucu dan bertanyakan diri: Sikap dan sifat yang ada pada mereka adakah dipelajari atau semula jadi. Saya rasa kedua-duanya sekali. Umumnya bila dewasa trait yang sama wujud, cuma berbeza rupa dan cara. Hanya iman dan taqwa yang dapat membezakannya. Saya rasa begitu.
Anak menantu saya di Puchong berumur 29 tahun dan sudah ada 3 puteri dan satu putera. Belum berpengalaman dalam banyak perkara dan saya ambil kesempatan bercerita-cerita perihal hidup berkeluarga. Alhamdulilah, ia nampak selesa bertimbal balik dan gelak ketawa bila kedengaran lucu dalam cerita-bual saya. Ia memilih menjadi suri rumah sepenuh masa walaupun ada pilihan untuk bekerja seperti teman-teman diUITM dimana ia belajar dalam bidang Imaging. Saya dapat merasakan terjalin kemesraan. Itu hikmah duduk lama bersama dan buat seketika saya lupakan kerja-kerja saya di Tadika SmarTop Tangkak yang perlu ditunda.
Semasa saya bekerja dan belum ada anak yang berumah tangga, sering saya dan teman-teman bercerita-cerita jenis menantu yang saya suka. Hebat kriterior yang saya senaraikan hingga semua gelak ketawa dan berkata: Keliling dunia 10 kali pun puan, tidak akan jumpa manusia dalam senarai yang yang puan cari itu. Saya pun gelak sama. Manakan ada dua manusia serupa. Saya suka menantu yang seperti saya.
Syok sendiri......
Saya katakan menantu saya harus ada sifat-sifat positif keturunan Jawa kontrak yang berani mengharung gelombang lautan untuk sesuap nasi dan kepingan bumbung dikepala. Saya tahu itu tidak realistik. Mana ada keturunan Jawa tulin sekarang ini.
Maka saya tertawa sendiri dihati....
"Jangan ego," kata kawan saya waktu itu. Hubungan manusia harus berasaskan kasih sayang yang tidak mengira balasan. Kita yang tua harus mahu bertolak ansur dan bersikap membina kerana setiap manusia dalam satu keluarga harus lengkap melengkapi, barulah sempurna. Dan semoga anak-anak bersabar dengan orang tua yang mudah lupa.
Jika Fatima Sufiya terus sihat, mungkin saya tidak akan berada berpanjangan di Puchong. Masa amat terhad sekali dan banyak tugas yang harus disempurnakan di Tadika SmarTop kerana penghujung tahun sudah terlalu hampir. Maka dalam umur yang ada kini, saya memacu diri takut tidak kesempatan kerana garis penamat tidak dapat dikompromikan.
Mohon keampunan Mu ya Rabb....
No comments:
Post a Comment