"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Sunday, January 11, 2015
Jangan dibiarkan kosong.....
Ini pemandangan waktu senja di Pantai Lido Johor Bahru. Di seberang sana ialah Singapura. Saya masih terkilan mengapa Singapura mudah sahaja dilepaskan pada kepimpinan yang tidak sealiran dengan Islam. Rakyat Palestin bermati-matian mempertahankan tanah air mereka dari dirampas Zionist Israel.
Kita di Malaysia melepaskan Singapura "with a stroke of the pen". Atas nama undang-undang dan atas nama keselamatan jangka panjang. Walaupun saya tidak terlibat secara langsung, saya takut saya tidak dapat berlepas diri dari tanggongjawab memelihara tanah kepunyaan orang Islam. Semoga Allah mengampuni.
Sebenarnya saya ingin bercerita lain dan catatan di atas tadi hanya melayan hati yang gundah....bila melihat bumi Allah "tercemar" di seberang selat sana!
Saya rakam foto itu di musim cuti sekolah yang baru lalu. Suami dan saya membawa anak cucu balik kampung dan singgah di Johor Bahru seketika untuk menziarahi seorang teman kerana sudah rasa berzaman tidak kunjung mengnunjung untuk bertanya khabar.
Teman ini adalah teman akrab, setia di hati walau pun berjauhan. Kami bersama tinggal di SIGS Hostel semasa menuntut di English College, yang sekarang bernama Kolej Sultan Abu Bakar Johor Bahru, di pertengahan tahun enam-puluhan. MasyaAllah sudah begitu lama. J......namanya. Seorang guru terlatih dalam bahasa Inggeris dan kelulusan peringkat Sarjana diperolehi dari University di UK. Setelah bersara dia menjadi guru alQuran, khusus bidang Tajwid. Disamping mengajar, dia sambung belajar dalam bidang lain menerusi seorang tuan guru.
Teman saya ini punya sifat yang serious bila mengaji al Quran atau mempelajari sesuatu dalam bidang apa jua yang diminati. Maka bila "bersembang" dia tidak akan becerita sesuatu yang akan membawa kesuasana lagha, atau melalaikan. Ia akan pastikan apa jua yang kita buat akan ada nilai tambah dalam urusan hidup terutama dalam saat-saat yang amat hampir samapinya garis penamat.
Ia selalu sahaj mengingatkan saya:" Kita jangan lagha, setiap minit, setiap saat hati kita berzikir walau pun mulut kita sedang memperkatakan sesuatu yang lain."
Tersentap hati saya kerana ini suatu yang serious. Tidak pernah saya memikirkannya begitu.
"Jangan biarkan hati kita kosong. Bila-bila masa kita boleh dipanggil balik. Sebab itu kita cuba sedaya upaya sentiasa dalam mengingati Allah, sentiasa buat sesuatu yang Allah redha."
Saya tergamam hendak bertanya.
Kemudian bertanya juga akhirnya.
"Macam mana nak buat dua benda dalam satu masa, dalam satu saat?"
"Jangan tanya soalan itu. Buat sahaja semua amalan soleh sedayanya. Sentiasa bisikan pada hati untuk berzikir. Buat sahaja. Yang lainnya anugerah Allah. Mohon padaNya . Insy Sya Allah, dengan Rahmatnya yang tidak terhingga, Allah yang akan membawa kita rapat padanya. Fikir, usaha, doa dan tawakal. Kita hendak jadi golongan Muqorrobiin.... Semoga Allah masukan kita dalam golongan itu......golongan yang sentiasa dalam dakapan kasih sayang dan redha NYA.
Saya diam.......
Teman saya bercakap sambil menuang teh dalam cawan saya. Riak mukanya biasa sahaja.
"Kita cuba sentiasa berada dengan orang-orang yang akan membantu kita menambah ilmu dan beramal dengannya, jaga hubungan kita dengan Allah dan jaga hubungan kita sesama manusia." Dia menyambung lagi sambil berjalan ke bilik tamu untuk menjemput suaminya dan suami saya masuk ke dapur minum teh.
Hati saya berdebar seketika....tetapi saya rasa agak blurr juga.... Subhanallah....
Maka saya buka topik lain untuk cerita-cerita santai. Sambil bercerita hati saya tetap terpaku pada saranannya.
"Datang selalu kita boleh SEMBANG panjang-panjang, lama-lama."
Saya faham maksudnya. Sememangnya dia suka bercerita pengalamannya semasa dia berada di Yamen dua tahun dahulu. Dia di sana tidak lama, sebulan sahaja. Tetapi banyak yang ia suka kongsikan dengan saya.
Dua tahun dahulu dia menghadiahkan saya sebuah buku wirid dan doa yang dia dapat di Yamen dan minta saya ikut mana yang boleh. Saya masih ketinggalan.
Balik ke rumah saya dan suami hanya berbincang berduaan semoga Allah menunjuki jalan.
Jangan biarkan kosong.....satu detik pendedahan yang menakutkan...
Rasa diri amat jauh.
Mohon keampunan Mu ya Rabb....
Mohon keampunan Mu ya Rabb....
Aku amat fakir dan kerdil di sisi Mu...Semoga Engkau redha akan daku seadanya....
Aamiin ya Rabb...
.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment