"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, February 10, 2015

Ruang berbicara....




Ruang ini cantik tetapi nampak seperti sunyi. Jika dapat ditanya pasti kerusi itu juga akan kata ia kesunyian.

Hidup ini ibaratnya demikian.

Kemewahan di sekeliling kita, tetapi kita akan kesunyian jika ruh dan minda kita kekosongan. Itulah (kata ustaz) ramai kita lihat manusia di sekeliling kita mencari perhatian dengan berbagai alasan.

Kita dituntut supaya mencari hanya yang Benar dan dibenarkan. Tidak boleh ikut gerak hati dan minda intelek dan perasaan dalaman. Takut kecundang dalam perjalanan.

Ada golongan yang menarik perhatian ramai tanpa tujuan berasaskan Kebenaran.  Seperti ada kumpulan elite dan bertaraf intelek yang meminta undang-undang syar'i dikaji semula untuk memastikan keunggulan Perlembagaan.

Ada diantara teman-teman saya yang dahulu seangkatan dengan sebahagian  golongan yang saya sebut di atas tadi. Teman-teman saya ini rasa dukacita. Tetapi kami bukan ahlinya untuk berkata dan berbicara secara terbuka. Cukuplah kami merendahkan suara dan berkata-kata dengan merujuk pada Ahlinya. Malaysia akan terus bergolak dalam hal ini selagi mana orang-orang Islam belum mengerti apa itu Islam sebenarnya. Ayuh kita terus menimba Ilmu Islam dengan harapan kita tidak tersasar punca dan tidak tersasar arah tuju hidup kita.

Kumpulan teman-teman saya ini (saya tidak)  bukan ahli masyarakat biasa. Dahulunya mereka memegang jawatan yang punya "kuasa" mentadbir jenntera negara. Tetapi mereka amat berhati-hati dalam berbicara sesuatu yang jika silap akan buruk akibatnya untuk kehidupan yang abadi yang pasti akan tibanya.

Maka kami suka berkumpul memadu bicara dan meningkatkan Ilmu yang masih belum tegap di dada.  Ada agenda tetap semasa berkumpul kerana menyedari bahawa kami sudah di Dewan berlepas menanti giliran Pesawat tiba. Masa itu Ibadah dan sering kami diingatkan supaya  jangan lagha dan jangan leka. Maka antara keutamaan kami ialah bertadarus alQuran sepanjang hayat tidak kira masa. Kami menyedari bahawa dengan usaha ini pun kami masih belum sempurna, kerana dahulu kami sering tersasar tujuan dan ada kalanya hilang panduan. Semoga Allah mengampunkan dan memberi kami ruang dan peluang menegakan Kebenaran.





Tiga minggu lepas kami khatam Quran buat sekian kalinya. Ada yang khatam sepenuhnya dan ada yang khatam mengikut jadual kumpulannya. 

Alhamdulilah dan Alhamdulilah pada permulaan dan penghujung kata. Saya  rakam di sini bukan untuk berbangga tetapi untuk mencermin diri betapa jauhnya kami dari kewajipan yang dituntut oleh agama. Alhamdulilah Allah memberi kesedaran pada kita. Tidak kira latarbelakang apa pada diri kita,  kita wajib bertaubat dan kembali pada NYA. Apa pun kedudukan dalam masyarakat, apa pun gelaran, ia tidak memberi makna di sisi yang maha Esa jika hati masih sangsi tentang  siapa yang maha berkuasa dan masih ragu bahawa kepadaNYA akan kembali segala urusan dunia.  



Bila berbicara kami berhati-hati semoga tidak menyakiti sesiapa. Ini tuan rumah tempat kami sering berjumpa dan ia sedang memaklumkan program ruang bicara untuk tahun 2015. Format Tadarus akan diubah untuk memasukan elemen taddabur yang kita akan baca dari kitab yang muktabar yang dipilih dari nasihat ustaz/ ustazah kita.

Setiap hari umur semakin berkurangan.  Maka kami akan menumpu masa untuk aktiviti yang ada nilai tambah sahaja sebelum sampai titik akhirnya kami berjumpa.  Tidak ada kemampuan menyelesai masaalah dunia, masaalah di Malaysia pun tidak terjangkau usaha. 

Sebenarnya ramai diantara teman-teman saya di sini yang punya aktiviti lain dan melaksana program yang memberi munafaat pada ahli masyarakat yang memerlukannya. Mungkin kerdil dipandang mata tetapi kami pasrah bulat pada yang maha Pencipta semoga mendapat pembelaan dariNYA. Program menjaga hubungan antara sesama manusia sama pentingnya. Semoga Allah meredhai usaha kami semua. Dan doa kami semoga Allah menerima taubat kami dan juga menganugerah semoga bertemu di Syurga Firdaus tanpa hisab, dengan Rahmatnya semata-mata. Aamiin.....

......

2 comments:

Al-Manar said...

Berusaha memberi yang menefaat kepada yang berada disekelilng kita itulah yang menambah taraf kita sebahai 'khalifah' disisi NYA.

ngasobahseliman said...

Betul sekali. Cuma kekadang sukar melakukannya. Perlu membujuk hati.

Related Posts with Thumbnails